backup og meta

Bagaimana Untuk Mengawal Kemarahan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/05/2023

    Bagaimana Untuk Mengawal Kemarahan

    Kemarahan adalah emosi yang normal dan sihat. Tetapi jika kemarahan menjadi di luar kawalan, anda mungkin akan berdepan dengan masalah yang boleh merosakkan perhubungan, kesihatan dan kewarasan fikiran anda. Walaupun ia mungkin satu cabaran untuk mengawal kemarahan agar sentiasa berada dalam kawalan, berikut adalah beberapa cara mudah yang mungkin dapat membantu. Artikel ini akan membantu anda untuk memahami kemarahan yang anda hadapi dan beberapa tip untuk mengendalikannya.

    Kemarahan bukan satu emosi yang tidak baik

    Emosi marah bukan sesuatu yang boleh dianggap baik atau buruk. Apabila anda dianiaya atau teraniaya, marah dianggap sesuatu yang normal. Walau bagaimanapun, reaksi kemarahan anda mungkin boleh menimbulkan masalah, kerana anda mungkin membahayakan diri anda atau individu sekeliling anda apabila anda marah.

    Seandainya anda seorang yang mudah panas hati, anda boleh belajar untuk meluahkan emosi anda tanpa menyakiti sesiapa. Dengan melakukan itu, ia bukan sahaja membuatkan anda merasa lebih baik, malahan, individu di sekeliling anda mungkin akan lebih menyukai anda.

    Selain itu, meluahkan kemarahan dengan cara berhemah dapat membantu anda membina perhubungan yang lebih baik, mencapai matlamat dan memberikan anda kehidupan yang lebih baik dan memuaskan.

    Beberapa tip untuk mengawal kemarahan

    Sejukkan hati

    Jika jantung anda berdenyut dengan lebih cepat dan pernafasan anda menjadi cepat, atau anda merasakan ketegangan di bahu atau mengepal penumbuk, anda sedang alami tanda sedang marah. Ini adalah masanya untuk anda mengamalkan beberapa perkara berkaitan cara pengurusan kemarahan.

    Lakukan pernafasan mendalam untuk memberikan ketenangan kepada ketegangan yang anda hadapi dan memperlahan denyutan jantung anda. Berjalan di sekitar kawasan juga boleh membantu anda melepaskan sedikit tenaga.

    Cara lain adalah dengan membuat kiraan dari 1 hingga 10 secara perlahan-lahan, tumpukan kepada pengiraan untuk memberikan masa kepada pemikiran rasional kembali kepada anda. Kembali mengira jika kiraan pertama tidak mendatangkan hasil. Selepas anda dapat bertenang, fikiran anda akan lebih jelas dan dapat mengendalikan keadaan dengan lebih baik.

    Hindari keadaan, individu, atau tempat yang boleh menyebabkan kemarahan

    Kenal pasti aktiviti, masa, individu, tempat atau situasi yang boleh mencetuskan perasaan marah atau ketidakpuasan hati anda dan elakkannya. Jika anda selalu berselisih faham dengan sekumpulan individu, anda harus elakkan untuk keluar bersama mereka. Jika keadaan sibuk yang membuatkan anda menjadi tidak menentu, cuba untuk keluar dari pejabat lebih awal. Fikirkan cara untuk mengelakkan perkara dan situasi yang membuatkan anda naik angin.

    Bertenang

    Apabila keadaan marah anda semakin meningkat, cuba lakukan sebarang teknik ketenangan diri. Amalkan latihan pernafasan mendalam, bayangkan diri anda di tepi pantai, atau ulangi kata-kata atau frasa yang dapat menenangkan anda. Anda mungkin boleh untuk menghadiri kelas pengurusan kemarahan untuk belajar bagaimana untuk mengendalikan kemarahan anda.

    Apabila anda tahu punca yang menyebabkan anda marah dan mengetahui cara untuk mengawal kemarahan, hidup anda pasti akan menjadi lebih mudah. Jika emosi anda menjadi tidak menentu, dapatkan nasihat dan rundingan dari pakar psikologi atau profesional kesihatan mental berlesen sebagai bantuan.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan