backup og meta

Ini 10 Amalan Perlu Buat Ketika Menginjak Usia Emas

Ini 10 Amalan Perlu Buat Ketika Menginjak Usia Emas

Tiada siapa yang boleh mengelak daripada fasa penuaan. Apabila usia meningkat, maka berlakulah perubahan pada tubuh. Ada perkara yang sering dilakukan ketika muda, tetapi tidak dapat dibuat ketika telah berusia. Namun ada beberapa amalan gaya hidup sihat untuk warga emas yang boleh diikuti. Berikut adalah tabiat hidup sihat untuk warga tua.

Amalan gaya hidup sihat untuk penuaan yang sihat

amalan gaya hidup sihat

Walaupun berusia puluhan tahun lebih tua daripada kumpulan yang lain, warga emas masih terdedah kepada kegelisahan dan tekanan.

Kebimbangan mereka berpunca daripada ketakutan terhadap proses penuaan.

Walau bagaimanapun, warga emas mesti memahami bahawa penuaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya adalah perkara normal.

Sebenarnya, kita tidak perlu berasa takut dengan penuaan, malah kita perlu menghargai dan melaluinya.

Menjaga kesihatan boleh menjadi sedikit sukar apabila anda terlalu cemas. Itulah sebabnya warga emas mesti tahu bahawa mereka adalah jauh lebih kuat dan berkemampuan daripada yang mereka fikirkan.

Apabila mereka melewati fasa ini, akan lebih mudah bagi mereka untuk melakukan perkara yang dapat membantu mengekalkan amalan gaya hidup sihat.

Berikut adalah beberapa tip tentang bagaimana untuk kekal sihat selepas berusia 65 tahun:

Tabiat hidup sihat 1: Makan dengan sihat

Memilih makanan yang betul dan sihat seiring usia anda adalah sangat penting untuk meningkatkan tenaga. Tabiat makan akan berubah disebabkan oleh penuaan.

Penuaan akan melambatkan metabolisme, jadi mengubah pilihan makanan, dan proses pencernaan memerlukan lebih banyak masa.

Untuk mengembangkan tabiat makan yang lebih sihat, adalah lebih baik jika anda mengubah diet dan mengambil makanan yang dapat membantu metabolisme dan kesihatan anda secara keseluruhan.

Makan lebih banyak sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan lain yang kaya dengan serat.

Hadkan atau elakkan makanan yang tinggi gula, karbohidrat halus, dan lemak tidak sihat. Selain itu, kekal hidrat sepanjang masa kerana warga emas lebih cenderung mengalami dehidrasi.

Tabiat hidup sihat 2: Kekal aktif

Penuaan tidak bermaksud anda tidak boleh lagi aktif secara fizikal. Sebaliknya, kekal aktif ketika usia tua anda dapat membantu sistem imun dan kesejahteraan tubuh secara keseluruhan.

Terdapat latihan yang berbeza untuk warga tua yang dapat menolong mereka untuk kekal cergas, meningkatkan fleksibiliti, mobiliti, keseimbangan, dan juga tidur.

Selain itu, latihan juga boleh mencegah keadaan kesihatan mereka daripada menjadi lebih parah, selain memelihara kesihatan mental mereka.

Tabiat hidup sihat 3: Utamakan pencegahan

Warga tua lebih mudah terdedah kepada penyakit dan keadaan kesihatan yang berbeza daripada mereka yang lebih muda.

Oleh itu, langkah pencegahan mesti menjadi salah satu perhatian utama mereka. Berjumpa dengan doktor secara berkala adalah sangat baik dalam memantau keadaan semasa anda.

Selain itu, pengambilan suntikan vaksin untuk selesema dan radang paru-paru sangat digalakkan untuk warga tua yang berumur 65 tahun ke atas.

Warga emas juga boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui apakah mereka berisiko mengalami penyakit kritikal seperti kanser dan masalah kesihatan lain.

Selain itu, ubat-ubatan mereka juga perlu kerap diperiksa, ditukar atau diubah sesuai mengikut keperluan tubuh mereka.

Amalan gaya hidup sihat 4: Meminta bantuan

Sesetengah warga emas mungkin teragak-agak untuk meminta bantuan, terutamanya bagi tugas-tugas yang biasa mereka lakukan sendiri.

Meminta pertolongan tidak bermaksud bahawa mereka tidak mampu melakukan apa-apa.

Ia hanya sebagai bantuan bagi mereka yang lebih mudah berisiko untuk mengalami kemalangan dan kecederaan ketika melakukan sesuatu. 

Amalan gaya hidup sihat 5: Bersosial

tabiat hidup sihat

Bergaul atau bersosial adalah salah satu cara terbaik untuk kekal sihat selepas berumur 65 tahun.

Kerap berkomunikasi dengan individu lain dan melakukan aktiviti dengan keluarga dan rakan dapat membantu warga tua mengatasi penuaan dengan lebih baik.

Amalan gaya hidup sihat 6: Meningkatkan ingatan dan kognisi

Warga emas juga terdedah kepada masalah ingatan dan kognisi. Itulah sebabnya mereka sangat digalakkan untuk melakukan latihan otak yang dapat memperbaharui semula ingatan dan pemahaman mereka.

Selain aktiviti biasa seperti melakukan teka-teki, teka-teki silang, dan bermain catur, warga emas juga dapat meneroka bidang baharu seperti muzik, bahasa, dan teknologi.

Melakukan aktiviti baharu ini bukan sahaja meningkatkan ingatan dan kognisi mereka, tetapi juga kesihatan otak mereka secara keseluruhan.

Amalan gaya hidup sihat 7: Akui perubahan dan belajar mengatasinya

Kunci bagaimana untuk kekal sihat selepas usia 65 adalah dengan menerima dan mengatasi perubahan yang berlaku seiring dengan penuaan.

Ini mungkin lebih mudah diucapkan daripada dilakukan, tetapi cara ini dapat membantu warga tua mengembangkan pandangan yang lebih positif dalam kehidupan mereka.

Keluarga dan rakan-rakan mestilah menyokong orang tua mereka dalam mengatasi halangan yang disebabkan oleh penuaan.

Mereka juga perlu menolong orang tua mereka untuk menyedari bahawa mereka harus lebih menghargai penuaan daripada berasa takut kepadanya.

Tabiat hidup sihat 8: Lakukan atau cari perkara baru yang boleh membahagiakan anda

Menjadi tua tidak boleh menghalang seseorang daripada melakukan apa yang membuat mereka bahagia.

Bagi orang tua yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup mereka bekerja untuk keluarga, sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukan hobi yang pernah mereka tinggalkan semasa muda.

Sekiranya anda ingin mengembara, melakukan sukan lasak, belajar bahasa baharu, atau hanya menghabiskan masa dengan keluarga, maka anda mempunyai banyak masa untuk melakukan perkara yang anda gemari sekarang.

Tetapi, pastikan bahawa anda berada dalam keadaan kesihatan yang baik untuk meneruskan hobi ini, terutamanya jika ia melibatkan aktiviti fizikal.

Tabiat hidup sihat 9: Lebih terbuka mengenai kesihatan mental dan emosi

Kemurungan dan keadaan mental lain dapat dilihat pada warga emas yang tinggal bersendirian, berada di rumah jagaan, atau dimasukkan ke hospital.

Sebilangan besar warga emas ini mengalami penyakit mental kerana kesunyian dan ketakutan mereka terhadap penuaan.

Untuk mengatasi keadaan ini, warga tua memerlukan bimbingan, dan sokongan daripada individu yang mereka sayangi agar mereka pulih dan lebih terbuka mengenai keadaan mental dan emosi.

Warga tua juga mesti mempertimbangkan untuk mengambil terapi kaunseling dan perbincangan dengan kumpulan profesional.

Tabiat hidup sihat 10: Utamakan kesejahteraan anda daripada orang lain

amalan gaya hidup sihat

Selain daripada perkara yang disebutkan di atas, cara terbaik untuk kekal sihat setelah berusia 65 tahun adalah mengutamakan penjagaan diri sendiri.

Tidak salah jika anda menjaga dan menyayangi individu lain, namun warga emas harus terlebih dahulu belajar menghargai diri mereka sendiri dan perkara-perkara yang telah mereka lakukan pada masa lalu.

Mengutamakan diri sendiri akan memberi kesan positif berkenaan bagaimana seseorang menghargai perasaan dan keperluan mereka.

Penjagaan diri bukan sahaja dapat meningkatkan harga diri warga emas tetapi juga kesihatan dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.

Kesimpulan

Ramai individu yang mengaitkan penuaan dengan sifat lemah dan juga limitasi. Namun, ia tidak seperti itu. Warga emas masih lagi boleh menjalani kehidupan dengan gembira sekiranya kesihatan diri mereka diutamakan.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.helpguide.org/articles/alzheimers-dementia-aging/staying-healthy-as-you-age.htm 

https://www.niddk.nih.gov/health-information/weight-management/healthy-eating-physical-activity-for-life/health-tips-for-older-adults

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/mental-health-of-older-adults

https://www.aplaceformom.com/blog/11-5-14-healthy-habits-for-seniors/

https://healthyaging.emory.edu/wp-content/uploads/2016/02/EHAS_Healthy_Aging_Tips.pdf 

Versi Terbaru

07/05/2021

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Bukan Warga Emas Sahaja, Orang Muda Juga Berisiko Terkena Alzheimer Jika Ini Berlaku...

Warga Emas Yang Suka Minum Kopi, Minuman Ini Boleh Kurangkan Risiko Nyanyuk & Parkinson


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan