Siapa sahaja tidak sukar makan shellout bukan? Pun begitu, bukan semua bertuah untuk merasai keenakan seafood kerana ada individu yang mungkin mengalami alergi makanan laut!
Benarkah ini juga boleh menyebabkan alahan makanan? Jom ikut artikel ini untuk mengetahui mengenai perkara ini dengan lebih lanjut.
Sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Alahan, anda juga boleh klik di sini.
Apa anda perlu faham alergi makanan laut
Ada individu yang menggemari makanan laut sehingga tidak sah jika dalam sehari mereka tidak memakannya.
Pun begitu, ada juga individu yang akan sedaya-upaya mengelak daripada memakannya kerana mereka mengalami alahan terhadapnya. Persoalannya, adakah ia mampu menimbulkan alahan?
Jawapannya adalah YA. Ia juga bukan satu alahan yang aneh atau pelik kerana dianggarkan bahawa 1% daripada populasi manusia menghidap alergi makanan laut.
Ia lebih biasa terjadi kepada individu yang sudah menjangkau usia remaja dan dewasa berbanding kanak-kanak.
Dalam kebanyakan kes, 20% daripada golongan ini akan mula menunjukkan simptom-simptom seiring dengan perjalanan usia.
Malahan, penghidap alergi makanan laut ini juga biasanya terdiri daripada individu yang mendiami kawasan yang menjadikan makanan laut sebagai diet utama mereka seperti di Asia dan Scandinavia.
Apakah simptom penghidap alergi makanan laut?
Kebanyakan reaksi alahan terhadap makanan laut adalah ringan, namun juga boleh menjadi teruk jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Jika berlaku, ia akan menyebabkan ruam pada badan (urticaria), bengkak pada badan (angioedema) dan/atau sakit perut (diarrhoea).
Selain itu, ia juga akan menyebabkan sakit pada tekak dan kerongkong. Lebih berbahaya, ia juga akan mengakibatkan masalah pernafasan dan penurunan tekanan darah secara drastik.
Kondisi ini dikenali sebagai anafilaksis dan boleh mendatangkan maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Apakah punca alahan makanan laut?
Kebanyakan kita mempercayai bahawa jika ada individu yang mengalami alahan makanan laut, ia adalah disebabkan oleh iodin. Sebenarnya, ia bukan begitu.
Alahan ini terjadi disebabkan oleh kandungan protein yang terdapat di dalam makanan laut tersebut.
Mereka yang menghidap masalah ini tidak berisiko mendapat reaksi seperti individu yang mengalami alahan iodin (seperti alahan terhadap antiseptik Betadine dan Povidine). Begitu juga sebaliknya.
Kumpulan makanan laut yang boleh mengakibatkan alahan:
-
Vertebra (yang mempunyai tulang belakang)
Ia terdiri daripada pelbagai jenis ikan termasuklah ikan bilis, salmon, kod, makerel, trout, haddock, sardin, tuna, belut, John Dorry dan lain-lain.
-
Invertebra (yang tidak mempunyai tulang belakang)
Ia terdiri daripada kerangan dan mempunyai dua jenis. Pertama, jenis krustasea termasuklah udang, ketam, lobster dan yabbies. Kedua, jenis moluska termasuklah tiram, kerang, sotong, abalone, calamari dan lain-lain.
Walaupun kedua-dua ikan dan kerangan adalah hidupan akuatik yang hidup di tempat yang sama, namun alergen protein kedua-duanya adalah berbeza antara satu sama lain.
Ini bermakna seseorang individu itu mungkin akan mengalami alahan terhadap satu jenis hidupan sahaja.
Kebiasaannya, mereka yang mengalami alahan kepada satu jenis ikan turut mengalami reaksi yang sama terhadap ikan yang lain. Begitu juga halnya dengan mereka yang mengalami alahan terhadap kerangan.
Jadi, jika anda ada mengalami alergi makanan laut, cuba elakkan memakan makanan-makanan ini secara total.
Lakukan ujian alergi makanan laut
Jika anda risau masalah ini berlaku kepada anda atau si kecil, segera berjumpa doktor untuk lakukan diagnosis.
Pertama sekali, doktor akan bertanyakan beberapa soalan penting untuk merungkai punca alahan itu sama ada makanan, ubatan atau disebabkan gigitan serangga.
Ujian alahan terhadap kulit dan darah atau IgE spesifik akan membantu memastikan punca sebenarnya. Walaupun begitu, anda tidak boleh bergantung 100% terhadap keputusannya.
Selain itu, ujian kulit dan darah juga boleh dilakukan untuk menguji alahan. Anda akan dapat tahu lebih tepat mengenai spesies mana yang akan menyebabkan anda alami alergi.
Apa yang boleh @ perlu anda lakukan?
Sekiranya ujian alahan makanan anda positif terhadap makanan laut, maka anda perlu lakukan beberapa perkara untuk mengelakkan masalah ini menjadi lebih teruk.
Elakkan perkara-perkara berikut:
- Segala piring, pinggan atau mangkuk yang menghidangkan makanan laut
- Makanan yang berasal dari benua Asia kerana ia banyak menggunakan kerangan sebagai bahan penambah perasa
- Makanan yang dimasak bersama makanan laut dalam kuali dengan minyak yang sama
- Makanan yang dijual di kedai yang ada menghidangkan pelbagai makanan laut
- Piza komersial kerana proses pembuatannya mungkin telah bercampur dengan bahan yang boleh mendatangkan alahan
- Barbeku yang menghidangkan campuran makanan darat dan laut
- Salad caesar dan sos worcestershire kerana ia mengandungi bahan yang boleh mendatangkan alahan
- Bir dan wain kerana ia mungkin mengandungi bahan yang diperbuat daripada organ dalaman ikan
Sebaiknya, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan dengan lebih lanjut.
[embed-health-tool-bmr]