backup og meta

Mengatasi Kehilangan Anak Tersayang

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/06/2020

    Mengatasi Kehilangan Anak Tersayang

    Kematian anak boleh menjadi satu kehilangan yang paling menyakitkan. Walaupun kematian adalah satu perkara yang akan dilalui oleh semua individu, namun untuk kehilangan anak tersayang, adalah sesuatu yang sukar untuk diterima dan akan menjadi igauan dalam kehidupan

    Sebagai ibu bapa, kehilangan yang dirasai boleh menjadi untuk satu tempoh yang panjang dan memeritkan. Walau bagaimanapun, anda perlu belajar menerima kehilangan untuk meneruskan kehidupan.

    Anak, adalah insan yang masih muda dan belum cukup pengalaman hidupnya. Anda mungkin menganggap mereka adalah hadiah yang dianugerahkan kepada anda. Proses kesedihan boleh menjadi sesuatu yang amat menyakitkan dan berterusan untuk sepanjang hayat. Diharapkan tip di bawah datang membantu anda mengatasi kesedihan yang dirasai kerana kehilangan anak tersayang.

    Dapatkan bantuan keluarga dan rakan terdekat

    Anda boleh bercakap dengan keluarga dan rakan yang mengambil berat tentang anak anda dan perasaan anda. Anda mungkin merasa sakit ketika permulaan untuk meluahkan tentang kematian anak.

    Walau bagaimanapun, emosi anda pasti akan bertambah baik. Ia adalah satu perkara yang bagus untuk anda dapat melepaskan apa yang anda rasa. Jangan simpan di dalam fikiran kerana ia hanya akan mengganggu kesihatan mental anda. Apabila anda mempunyai kepercayaan kepada individu yang anda berkongsi perasaan, pastinya nasihat mereka akan dapat membantu meringankan bebanan anda.

    Bantuan pakar

    Kesedihan kerana kehilangan anak boleh mendatangkan pelbagai impak negatif kepada diri yang tidak boleh anda atasi sendirian. Anda boleh dapatkan bantuan doktor atau psikologi. Mereka adalah profesional yang tahu mengendalikan situasi yang anda hadapi. Mereka telah berdepan pelbagai situasi, jadi mereka mempunyai pengalaman untuk membantu anda.

    Kumpulan sokongan

    Anda boleh cuba mencari kumpulan sokongan termasuk daripada ibu bapa lain yang pernah mengalami keperitan yang sama seperti anda. Anda dan mereka berada di dalam situasi yang sama dan ini boleh menjadikan anda lebih selesa untuk berkongsi perasaan bersama mereka. Pastinya mereka boleh membantu anda mengatasi kesedihan dengan memberikan nasihat berdasarkan pengalaman mereka sendiri.

    Elakkan perubahan besar

    Selepas kehilangan anak, anda mungkin ingin berpindah kerana tempat yang anda tinggal akan mengingatkan anda tentang anak anda; di mana dia bermain, tempat dia makan. Kenangan seperti ini pasti menyebabkan emosi anda terganggu.

    Walau bagaimanapun, berikan masa kepada diri anda untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan ini. Sebarnag perubahan besar berkaitan dengan tempat tinggal atau pertukaran tempat kerja boleh menjejaskan proses penyembuhan ini.

    Menjaga diri

    Membiarkan emosi negatif secara berterusan juga boleh menjejaskan kesihatan anda. Jagalah kesihatan fizikal dan mental anda dengan baik dan ia dapat membantu anda menangani kehilangan ini dengan lebih baik. Dapatkan tidur yang mencukupi, bersenam dan jaga pemakanan anda.

    Bersabar

    Ingatlah proses penyembuhan ini pastinya mengambil sedikit masa; berminggu, berbulan, bertahun, atau mungkin sepanjang hidup anda.

    Kehilangan seseorang yang kita sayangi pastinya akan sentiasa membuatkan kita berada dalam kesedihan. Andai kehilangan itu adalah anak yang anda sayangi, sudah tentu kesedihan itu lebih dirasai. Tetapi anda harus kuat untuk menerima dugaan ini dan cuba sedayanya untuk kembali ke kehidupan normal anda.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan