backup og meta

Fobia: Adakah Sekadar Permainan Perasaan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 01/08/2023

    Fobia: Adakah Sekadar Permainan Perasaan?

    Fobia ialah sejenis keadaan kesihatan mental di bawah kategori kegelisahan (anxiety). Ia dicirikan sebagai ketakutan melampau yang tidak rasional terhadap sebarang situasi, objek atau tempat. Mereka yang mengalaminya sedar bahawa perasaan tersebut adalah tidak rasional dan tidak logik. Namun, apabila mereka cuba membuang perasaan tersebut, ia hanya akan membuatkan mereka lebih gelisah.

    Simptom yang dialami termasuk:

  • Perasaan gelisah di luar kawalan apabila terdedah kepada perkara tersebut.
  • Merasakan bahawa sumber ketakutan tersebut perlu dibuang tanpa mengira apa cara sekalipun.
  • Tidak boleh melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik apabila terdedah kepada perkara tersebut.
  • Sedar bahawa perasaan tersebut adalah tidak rasional tetapi gagal mengawalnya.
  • Adakah terdapat jenis-jenis fobia yang berbeza?

    Menurut American Psychiatric Association (APA), terdapat 3 jenis fobia iaitu:

    1. Fobia spesifik

    Mereka yang mengalami jenis ini mempunyai ketakutan terhadap perkara spesifik yang boleh dikenal pasti. Contohnya:

    • Serangga.
    • Memandu.
    • Doktor gigi.
    • Belon.
    • Kucing.
    • Kuman.
    • Tempat tinggi (kapal terbang).
    • Tempat tertutup.
    • Sekolah.
    • Air.
    • Ular.

    Perasaan takut itu kebiasaannya bukan pada objek tersebut tetapi kesan selepasnya seperti digigit oleh kucing atau terjatuh daripada tempat tinggi.

    2. Fobia sosial

    Perasaan takut dimalukan, dipulau atau dihukum di khalayak ramai. Mereka akan mengelakkan diri daripada perkara seperti bercakap di hadapan orang ramai, menyertai kumpulan sosial dan masuk ke tandas awam.

    Perkara-perkara tersebut boleh menyebabkan:

    • Pengsan.
    • Muka merah padam.
    • Degupan jantung laju.
    • Gagap.
    • Menggigil.
    • Berpeluh.

    3. Agoraphobia

    Takut kepada situasi di mana dirasakan sukar untuk melarikan diri jika berlaku keadaan yang mencemaskan. Contohnya:

    • Di luar rumah.
    • Berseorangan.
    • Di dalam lif atau kenderaan awam.
    • Majlis atau perhimpunan rasmi.

    Apakah punca fobia? Adakah ia boleh dirawat?

    Kebiasaannya, fobia bermula semasa umur kanak-kanak atau dewasa muda. Selepas umur 30 tahun, sangat jarang bagi seseorang untuk mendapat fobia buat pertama kali.

    Pucanya boleh jadi daripada peristiwa atau pengalaman yang menakutkan. Contohnya, pernah digigit kucing sewaktu kecil sehingga menjadi takut terhadap kucing atau lemas di dalam sungai menyebabkan dirinya takut kepada air.

    Ia juga boleh berpunca daripada keadaan ibu bapa atau ahli keluarga yang mempunyai fobia terhadap sesuatu. Contohnya, ahli keluarga yang takut kepada serangga mungkin membuatkan ahli keluarga lain di dalam rumah tersebut turut terikut sama.

    Fobia adalah keadaan yang boleh didiagnosis dan dirawat. Antara pilihan rawatan yang ada termasuk:

    • Terapi pendedahan – Seseorang akan didedahkan kepada perkara yang ditakutinya secara beransur-ansur. Jika seseorang yang takut kepada anjing, pendedahan dimulakan dengan berfikir tentang anjing, diikuti dengan melihat gambar, video dan patung. Akhirnya baru beralih kepada anjing sebenar.
    • Terapi tingkah laku kognitif (CBT) – Terapi ini membantu seseorang mengawal cara berfikir dan bertindak balas terhadap sesuatu agar perasaan takut tersebut dapat ditangani.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 01/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan