backup og meta

5 Masalah Kesihatan Yang Sering Dialami Kaum Lelaki

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/04/2021

    5 Masalah Kesihatan Yang Sering Dialami Kaum Lelaki

    Lelaki adalah makhluk yang tercipta untuk menjadi para pemimpin di muka bumi ini. Disebabkan itu, mereka adalah ketua rumah tangga dalam setiap keluarga. Namun mereka juga tak lari dari mengalami masalah lelaki sama seperti wanita.

    Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi untuk mengetahui pelbagai masalah kesihatan yang sering dialami oleh Kaum Adam!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki sila dapatkannya di sini.

    Masalah kesihatan lelaki yang selalu berlaku

    masalah lelaki

    Jika berbicara tentang masalah kesihatan wanita, sudah pasti isu berkaitan emosi tidak stabil akan diutarakan bukan? Bagaimana pula dengan lelaki? Apakah masalah kesihatan yang selalu berlaku kepada mereka?

    Tenang, Hello Doktor ada jawapannya. Berikut adalah masalah kesihatan lelaki yang selalu berlaku:

    #1. Perut buncit terutamanya selepas berkahwin

    masalah lelaki

    Kita semua pasti mempunyai rakan lelaki yang dahulunya kurus sahaja namun berubah menjadi berisi selepas berkahwin bukan? Penulis juga ramai rakan yang sedemikian rupa.

    Sebenarnya, perut yang buncit bukanlah disebabkan oleh perkahwinan. Namun, ia berkaitan dengan faktor usia. Semakin tua seseorang itu, semakin tinggi risiko mereka untuk menjadi lebih berisi.

    Apa yang membimbangkan, ia sebenarnya turut hadir dengan risiko serangan jantung akibat terlalu banyak lemak visceral yang tersimpan di dalam organ dalaman. Jadi, sila kawal diet anda untuk mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan obesiti ini ya?

    #2. Berpeluh berlebihan seperti terkena serangan panik

    Tidak dinafikan, berpeluh adalah lumrah manusia yang normal dan wanita juga tidak terkecuali. Namun, anda perlu tahu bahawa golongan lelaki sebenarnya berpeluh lebih daripada wanita.

    Jika diperhatikan, kaum Adam lebih banyak berpeluh pada bahagian ketiak, tapak tangan serta tapak kaki. Puncanya adalah disebabkan kondisi yang dikenali sebagai hyperhidrosis.

    Adakah anda sebagai lelaki terganggu dengan kondisi ini sehingga tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan dengan tenang dan betul? Sila dapatkan rawatan dari doktor segera!

    #3. Cenderung menjadi rabun atau buta warna

    Jika anda adalah salah seorang lelaki yang mempunyai masalah ini, anda sebenarnya tidak mampu melihat warna dengan cara yang sama seperti individu normal yang lain.

    Untuk pengetahuan anda, kondisi ini menjejaskan kira-kira 1 dalam 12 kalangan lelaki. Ini bermakna kira-kira 8% dari populasi lelaki adalah cenderung rabun atau buta warna. Jika hendak dibandingkan, hanya 1 dalam 200 orang wanita berisiko mengalami kondisi ini.

    Ya, kondisi ini kebiasaannya berpunca daripada genetik. Namun, faktor luaran seperti kencing manis, sklerosis berbilang yang banyak dialami golongan lelaki membuat mereka lebih cenderung rabun atau buta warna.

    Malangnya, tiada penawar untuk penyakit ini. Namun, telah wujud produk seperti kaca mata dan kanta lekap yang boleh membantu individu melihat warna seiring dengan teknologi kini.

    #4. Lelaki lebih berisiko menjadi botak

    masalah lelaki

    Ini adalah masalah kesihatan yang paling banyak dialami oleh kaum Adam. Kasihan bukan?

    Jika diperhatikan, golongan lelaki lebih berisiko menjadi botak berbanding wanita. Lebih dari separuh populasi lelaki mengalami masalah keguguran rambut pada usia 30 tahun ke atas.

    Menurut kajian, hampir 70% lelaki akan mengalami masalah ini. Ia disebabkan oleh banyak faktor seperti kulit kepala berminyak, pemakanan, penggunaan syampu tidak tepat serta genetik.

    Namun, jangan terlalu bimbang ya? Terdapat beberapa rawatan yang kalian boleh cuba seperti pengambilan ubatan atau penanaman rambut. Namun, botak juga tidak membuat seseorang lelaki itu jatuh saham!

    #5. Badan berbau kurang menyenangkan

    Badan berbau kurang menyenangkan berpunca dari bakteria yang gemar menduduki kawasan yang panas dan lembap. Disebabkan itu, lelaki yang secara semula jadinya kuat berpeluh lebih cenderung untuk mempunyai bau badan yang kurang menyenangkan.

    Selain itu, ia juga disebabkan oleh faktor pemakanan, Ketahuilah bahawa pengambilan makanan yang berbau kuat seperti bawang adalah punca kepada masalah ini juga. Jadi, sebagai lelaki kalian perlu lebih kerap mandi, menggunakan deodoran serta mengenakan pakaian bersih setiap kali ingin keluar rumah.

    Ada satu kondisi yang menyebabkan keadaan ini berlaku iaitu bromhidrosis. Ia berpunca dari bakteria yang gemar menduduki bahagian tertutup seperti ketiak dan celah kelangkang. Rawatan yang boleh dicuba adalah dengan pengambilan ubatan atau pembuangan kelenjar peluh.

    Namun, janganlah masalah kesihatan lelaki ini dijadikan sebagai alasan untuk anda hilang keyakinan diri. Ketahuilah bahawa ia semua adalah normal dan kebanyakan kondisi ini boleh dirawat. Jadi, usah risau dan teruskan kehidupan sihat dan sejahtera sebagai seorang lelaki!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan