
Konsepsi mungkin perkara yang mudah untuk sesetengah pasangan, tetapi ia juga boleh jadi masalah untuk pasangan lain. Teruskan membaca untuk mengetahui cara meningkatkan kesuburan lelaki dan menambah kiraan sperma secara semula jadi. Fahami juga faktor gaya hidup yang mungkin boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki.
Kekalkan berat yang sihat
Tahukah anda bahawa berat badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko pembentukan masalah aliran darah, yang boleh memberi kesan kepada ereksi anda. Sesetengah kajian mendapati bahawa peningkatan BMI berhubung kait dengan pengurangan kiraan sperma dan pergerakan sperma. Kesan ini boleh mempengaruhi lelaki yang mempunyai bacaan BMI 30 ke atas. Akan tetapi, lelaki yang mempunyai BMI lebih daripada 25 juga mungkin berisiko tinggi mengalami sperma yang lemah.
Betulkan pemakanan anda
Sebagai bakal bapa, apa yang anda makan boleh mempengaruhi kualiti sperma anda. Ambil berat akan pilihan makanan anda bagi menghasilkan bayi yang sihat nanti. Sesetengah vitamin dan mineral seperti zink dan selenium, folat serta vitamin E boleh membantu meningkatkan kesuburan anda. Anda boleh mendapatkan zat-zat ini dalam sayur-sayuran dan buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang yang boleh membantu meningkatkan kesihatan sperma anda.
Kerap bersenam
Aktiviti fizikal dapat membantu meningkatkan kesuburan dengan cara mengawal berat badan anda. Walau bagaimanapun, aktiviti fizikal berintensiti tinggi yang berlebihan seperti marathon boleh menjadi punca ketidaksuburan, yang boleh mengurangkan penghasilan sperma. Selain itu, aktiviti fizikal yang berlebihan juga boleh mengurangkan fungsi seksual dan mengganggu hormon yang diperlukan untuk menghasilkan sperma.
Dapatkan konsultasi daripada doktor tentang saranan senaman yang baik untuk meningkatkan kesuburan anda.
Cegah jangkitan transmisi seksual (STIs)
Jangkitan transmisi seksual seperti chlamydia dan gonorrhea adalah punca ketidaksuburan lelaki. Bagi melindungi diri anda daripada gejala ini, elakkan seks bebas dan gunakan kondom setiap kali anda melakukan seks.
Jauhi bahan toksik dan kimia
- Berhenti merokok kerana merokok akan mengurangkan penghasilan sperma anda dan merosakkan DNA
- Kurangkan pengambilan alkohol kerana ia boleh menjurus kepada pengurangan penghasilan testosterone dan sperma, serta mati pucuk
- Kurangkan pendedahan kepada bahan kimia. Lindungi diri anda dengan memakai pakaian dan peralatan perlindungan, serta elakkan sentuhan kulit dengan bahan-bahan kimia
Jika anda bercadang untuk menimang cahaya mata, anda perlu bersedia dari awal dan melakukan yang terbaik untuk kesihatan bayi anda. Kekalkan gaya hidup yang sihat dan elakkan daripada perkara yang boleh merosakkan kesuburan anda. Anda dan isteri mesti berada dalam keadaan yang sihat bagi meningkatkan peluang untuk mendapat anak.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.