backup og meta

Anak Aktif Bersukan? Lindungilah Mereka Dengan Insurans Perubatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 15/06/2020

    Anak Aktif Bersukan? Lindungilah Mereka Dengan Insurans Perubatan

    Ibu bapa tentu akan suka jika anak mereka aktif bersukan di samping mempunyai prestasi akademik yang cemerlang. Selain dapat mengekalkan kesihatan badan, bakat anak tersebut juga dapat digilap untuk bertanding di peringkat yang lebih kompetitif. Namun, penting juga untuk ibu bapa faham bahawa setiap sukan itu mempunyai risiko kecederaan tersendiri. 

    Sukan dan kecederaan

    Penulis juga merupakan seorang yang aktif bersukan sejak di peringkat sekolah. Dari Badminton, acara balapan, larian jarak jauh, bola sepak dan juga ragbi, semuanya pernah disertai penulis pada peringkat yang kompetitif. Setelah beberapa lama bersukan dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius, tidak terlintas di fikiran untuk mendapatkan perlindungan jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

    Malang tidak berbau, pada penghujung tahun 2016, ketika bermain bola sepak di atas padang yang basah, buku lali kanan saya terkehel. Tulang fibula disahkan patah dan beberapa ligamen di kawasan tersebut juga telah disahkan koyak. Apabila dimasukkan ke dalam wad di tempat saya belajar, penginapan saya ditampung oleh insurans pelajar. Bermula daripada insiden ini, barulah penulis cakna tentang kos rawatan perubatan. Selama ini, saya ingat insurans pelajar akan meliputi semuanya tetapi saya silap. 

    Kecederaan tulang akibat daripada lazimnya memerlukan implan dan juga suntikan pelincir sendi tertentu. Kos implan dan juga suntikan ini bukanlah sesuatu yang diliputi insurans pelajar mahupun oleh subsidi kerajaan. Dengan mudahnya, ia mampu menelan belanja sekitar RM1,500 hingga RM10,000! Untuk kecederaan tulang sahaja, penulis terpaksa menjalani 4 pembedahan berasingan dalam tempoh 2 tahun. Tambahan lagi, alat sokongan untuk berjalan juga perlu dibeli sendiri dan ada yang menelan belanja sehingga RM500.

    Kepentingan perlindungan untuk anak yang aktif bersukan

    Terdapat satu lagi pembedahan penting yang perlu saya lalui iaitu pembedahan untuk membetulkan ligamen di kaki. Namun, tempoh rekuperasi pascapembedahan adalah lama. Jika saya menjalani pembedahan tersebut ketika belajar, saya tidak dibenarkan berjalan untuk 6 minggu, diikuti oleh tambahan tempoh 6 minggu untuk berpijak separa (partial weightbearing).  Ini akan menyebabkan saya terpaksa menangguh semester dan bergraduasi lebih lambat. Bidang perubatan bukanlah pengajian yang boleh dibuat dari jarak jauh kerana saya telahpun berada dalam tahun klinikal. Selain jadual yang padat, kaedah pembelajaran juga memerlukan saya untuk sentiasa bergerak, berdiri lama (khususnya dalam dewan bedah), dan juga untuk cekap dalam melakukan prosedur tertentu. 

    Justeru, saya terpaksa meneruskan 2 tahun pengajian saya dengan buku lali yang cedera dan semakin sakit setiap hari. Lebih malang lagi, apabila saya ingin melakukan pembedahan selepas tamat belajar, saya tidak lagi dilindungi oleh insurans. Ini menyebabkan saya terpaksa berkerja untuk beberapa ketika bagi mengumpul duit untuk menampung kos pembedahan. 

    Oleh itu, jika anda ingin anak-anak terus aktif bersukan, lindungilah mereka dengan insurans perubatan. Dalam kes saya, saya tidak perlu menunggu atau mencari kerja sementara dengan buku lali yang cedera (demi mengumpul dana pembedahan) jika saya sudahpun mempunyai insurans perubatan. Tahap kecederaan saya dapat dicegah daripada terus meneruk dan saya akan mendapat pekhidmatan pembedahan yang cepat di samping penginapan yang selesa di hospital swasta.

    Selain itu, insurans perubatan juga membolehkan saya untuk menikmati servis fisioterapi yang lebih mesra waktu bekerja. Di hospital kerajaan, unit fisioterapi hanya dibuka pada hari minggu dan pada waktu pejabat. Oleh itu, seseorang itu perlu untuk mengambil cuti yang kerap jika ingin menghadiri setiap sesi fisioterapi. Agak sukar untuk mengambil cuti yang kerap setelah bekerja kerana ia tidak disenangi oleh majikan dan rakan sekerja. Namun, jika tidak menjalani fisioterapi, penyembuhan pasapembedahan juga tidak bagus dan anggota badan tersebut akan sakit lebih lama. Di hospital swasta misalnya, fisioterapi dapat dibuat pada hari hujung minggu, membolehkan anda masih memenuhi komitmen kerja dan mendapatkan fisioterapi yang secukupnya. 

    Tuntasnya, skop perlindungan kesihatan adalah sangat luas dan tidak terhad untuk penyakit kritikal sahaja. Justeru, ibu bapa perlu memikir jauh demi memastikan anak mereka yang aktif bersukan mempunyai perlindungan yang mampan. Kecederaan sukan yang tidak dirawat dengan baik akan mengakibatkan kesan jangka panjang terhadap fizikal mereka. 

    Baca juga:

    Kecederaan Lutut Buat Karier Bola Sepak Musnah: Owen Hargreaves

    Kematian, Kecederaan Otak Dan Risiko Sukan Tinju Yang Lain

    Head Injury Assessment Di Kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 15/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan