backup og meta

MedTweet.my: Usaha Doktor Gigi Perangi Mitos

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/11/2022

    MedTweet.my: Usaha Doktor Gigi Perangi Mitos

    Segalanya kini di hujung jari, betul tak? Anda mesti pernah berdepan dengan situasi di mana anda bertanya seseorang mengenai sesuatu, dan akhirnya diminta untuk bertanyakan kepada ‘Dr Google’, bukan? Cuma apa yang membezakan sama ada maklumat yang anda perolehi itu sahih ataupun tidak. Adakalanya maklumat yang anda dapat itu mitos semata-mata dan langsung tidak boleh dipakai. Haa..itu bahaya. Lagi-lagi kalau melibatkan perihal kesihatan. Jangan ambil mudah tau! 

    Terlalu banyak isu mitos yang tersebar di internet yang tidak sahih seperti penggunaan minyak motor bagi mengatasi masalah gigi dan mengurangkan kesakitan gigi yang dihadapi. Adakah ia benar? Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

    Perkongsian ilmu dan perangi mitos

    Jadi bagaimana untuk mendapatkan maklumat atau info berkaitan kesihatan yang sahih? Jika anda merupakan seorang pemegang akaun Twitter, mungkin anda pernah mendengar mengenai MedTweetMY.. 

    Ia merupakan satu medium yang diasaskan oleh doktor bertauliah untuk berkongsi berkaitan maklumat kesihatan bersama warganet. Hello Doktor berkesempatan untuk menemubual salah seorang doktor kesihatan profesional yang terlibat dengan MedTweetMY ini. 

    Berminat melakukan kerja sukarelawan, Dr Ibrahim Shahruddin memilih untuk menjadi antara anggota kesihatan yang terlibat dalam MedTweetMY, dengan hasrat untuk berkongsi ilmu kepada khalayak. Beliau yang merupakan seorang doktor dalam bidang Pemulihan dan Estetika Pergigian (Restorative and Aesthetic Dentistry) merasakan terdapat banyak mitos mengenai kesihatan khususnya dari bidang pergigian. 

    “Terlalu banyak mitos yang tidak benar dan dipercayai oleh umum. Oleh kerana itu, saya dan rakan-rakan mewujudkan platform ini  untuk perangi mitos dan sebagai tempat perkongsian ilmu berkaitan perubatan bagi membetulkan persepsi umum,” ujar beliau.

    Diminta menjelaskan berkenaan mitos yang tular di media sosial iaitu isu penggunaan minyak motor, Dr Ibrahim menyatakan ia adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali dan tidak seharusnya menjadi ikutan. 

    Ini kerana sekiranya anda menggunakan minyak motor untuk merawat masalah gigi, ia hanya akan membuatkan keadaan gigi menjadi lebih kronik. Anda cenderung untuk berdepan risiko mendapat jangkitan bakteria dan boleh mengakibatkan saraf yang bersambung dengan gigi anda rosak serta tidak berfungsi. 

    Saraf yang tidak berfungsi membuatkan anda tidak berasa sakit tetapi apabila berdepan dengan masalah jangkitan bakteria, anda mungkin akan mengalami masalah bengkak dan jangkitan mungkin akan merebak sehingga ke bahagian rahang. 

    Daripada perkongsian Dr Ibrahim sendiri di laman Twitter, MedTweetMY, terdapat satu kes di mana individu yang menggunakan minyak motor ini akhirnya mendapat lubang besar pada bahagian mukanya kerana tidak mahu berjumpa doktor gigi.

    Beliau turut berkongsi mengenai satu mitos yang tular di media mengenai penggunaan pati vanila untuk merawat masalah gigi berlubang. Jelasnya, pati vanila yang dijual di pasaran bukanlah pati yang sebenar. Ia merupakan campuran perasa tiruan dan bahan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan gigi anda yang sudah berlubang tersebut. 

    MedTweetMY Usaha Doktor Gigi Perangi Mitos

    Minat mendalam dalam pergigian

    Bercerita mengenai permulaan kariernya, Dr Ibrahim yang berminat untuk menjadi doktor sejak dari kecil, memberitahu sewaktu pengajiannya, beliau lebih berminat untuk menjadi doktor pergigian kanak-kanak (pediactric dentistry).

    Tetapi segalanya berubah sewaktu beliau melakukan latihan Fydoship (first year dental officer) atau kini dikenali sebagai New Dental Officer Programme (NDOP) di Hospital Kuala Lumpur. 

    Ketika itu beliau perlu mengendalikan kes yang melibatkan pesakit kanak-kanak seperti kemalangan dan penyakit tertentu berkaitan gigi. Situasi itu menimbulkan pelbagai emosi yang sukar digambarkan sewaktu berdepan dengan kes yang serius. Lama-kelamaan, minatnya semakin terarah kepada bidang yang beliau ceburi sekarang.

    Ketika diminta berkongsi mengenai pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang melibatkan diri dalam bidang pergigian ini, beliau memberitahu bahawa terdapat satu kes kemalangan serius melibatkan anggota polis.

    Sewaktu kejadian, beliau baru sahaja menamatkan pengajiannya dan merupakan surgery dentist yang bertugas. Dr Ibrahim memberitahu suasana pada waktu itu agak kelam kabut bagaikan dalam filem – jika anda pernah menonton drama atau filem di mana lebih daripada seorang doktor melakukan pembedahan kepada pesakit kemalangan – begitulah situasi yang dilalui beliau. 

    Cabaran dalam bidang pergigian

    Beliau menjelaskan, ramai yang menyangka menjadi doktor gigi tidak akan berdepan dengan isu ‘on-call’. Tetapi keadaan sebenarnya adalah berbeza. Ini kerana doktor gigi juga menerima ‘on-call’ berkaitan sebarang kes kemalangan yang melibatkan kecederaan pada bahagian muka dan leher.

    Untuk makluman (mungkin boleh dijadikan sebagai info tambahan buat individu yang berminat menjadi doktor pergigian), sepanjang tempoh NDOP, terdapat pelbagai aspek melibatkan pergigian yang perlu anda lalui seperti oral surgeons, dental public health, prosthodontics, orthodontists, endodontists, periodontists dan pelbagai lagi.

    Merupakan graduan Fakulti Pergigian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2010, kini Dr Ibrahim juga merupakan ahli majlis bagi Malaysian Association of Aesthetic Dentistry (MAAD).

    Ditanya mengapa memilih untuk menjadi doktor Pemulihan dan Estetika Pergigian, Dr Ibrahim yang kini bertugas di iCare Dental Damansara Heights berkata, melalui bidang yang diceburinya sekarang beliau dapat mengubah kehidupan seseorang. 

    Sebagai contoh, terdapat pesakit beliau yang sebelum ini tidak boleh mengunyah makanan keras seperti kacang sudah mampu makan seperti biasa dan ia secara tidak langsung membantu memperbaiki kehidupan seseorang individu.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan