backup og meta

Vape BUKAN Idea Bagus Sebagai Pengganti Rokok, Kes Kematian Evali Ini Antara Sebabnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 23/06/2020

    Vape BUKAN Idea Bagus Sebagai Pengganti Rokok, Kes Kematian Evali Ini Antara Sebabnya!

    Jika anda pernah terfikir nak berhenti merokok, anda tidak berseorangan. Kira-kira 7 daripada 10 perokok menyatakan hasrat mereka ingin berhenti merokok.

    Namun, tidak semua dalam kalangan mereka yang betul-betul komited untuk berbuat demikian. Ada yang menggunakan vape sebagai alternatif.

    Baru-baru ini terdapat kes yang dikenali sebagai EVALI. Ia memberikan persepsi bahawa penggunaan vape bukanlah satu idea yang bagus bagi menggantikan rokok. Ingin tahu mengenainya? Ikuti artikel ini.

    Penyakit baru, nama baru

    vape

    Penyakit berkaitan dengan paru-paru bukanlah suatu perkara baru buat doktor-doktor klinikal.

    Individu yang datang untuk mendapatkan konsultasi berkemungkinan mendapat jangkitan kuman seperti pneumonia dan TB, masalah paru-paru kesan daripada tabiat merokok, penyakit asma atau kanser.

    Namun, tabiat menghisap vape atau penggunaan e-rokok telah mendapat perhatian media dan sektor kesihatan baru-baru ini berikutan kemunculan penyakit baru yang dikenali sebagai EVALI (e-Cigarette and Vaping Associated Lung Injuries).

    Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), pada bulan Oktober 2019, penyakit ini telah meragut 33 nyawa daripada 24 buah negeri di Amerika Syarikat (USA).

    Jumlah mereka yang didiagnosis pula telah mencecah 1,299 individu daripada 49 buah negeri di negara tersebut.

    Ini merupakan satu statistik yang amat membimbangkan kerana jumlah mereka yang dimasukkan ke dalam hospital meningkat pada setiap minggu.

    Simptomnya menyerupai penyakit paru-paru yang lain seperti sesak nafas, perpeluhan pada waktu malam, kurang jumlah kepekatan oksigen di dalam darah dan penampakan tompok-tompok pada dapatan x-ray.   

    THC, penyebab kepada kes EVALI?

    Setakat ini, faktor yang menyumbang kepada penyakit ini adalah tabiat menghisap vape itu sendiri.

    Menurut CDC, pada awalnya, mereka yang mendapat penyakit ini menggunakan cecair vape yang mengandungi bahan aktif kanabis yang dikenali sebagai Tetrahydrocannabinol (THC).

    Penggunaan bahan ini untuk tujuan selain perubatan telah diharamkan di kebanyakan negeri di USA. Ini menyebabkan akses kepada bahan tersebut hanya boleh didapati di  pasaran gelap.

    Ia seringkali dibuat dan dijual oleh amatur. Tiada siapa tahu bahan apa yang dicampur oleh mereka bersama THC bagi menghasilkan cecair yang digunakan di dalam vape tersebut. 

    Menurut laman web The Globe Post, vape yang mengandungi THC turut mempunyai kepekatan vitamin E acetate oil yang tinggi.

    Bahan ini dipercayai berkumpul di dalam sel paru-paru menyebabkan individu tersebut mengalami simptom-simptom kes EVALI.

    Namun, adakah penyakit ini hanya disebabkan oleh penggunaan THC di dalam vape? Adakah tanpanya, vape masih selamat digunakan oleh mereka yang ingin berhenti merokok.

    Setakat ini, terdapat beberapa individu yang didiagnosis dengan penyakit ini, namun mereka tidak menggunakan cecair yang mengandungi THC.

    Ini menyebabkan sekatan sementara terhadap penjualan produk vape di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat seperti Montana, Massachusetts, New York, Rhode Island, San Francisco, Utah dan Washington.

    Tiada protokol rawatan untuk kes EVALI

    vape

    Menurut rekod rawatan, mereka yang keluar dari hospital, lambat laun akan dimasukkan semula dalam tempoh 5 ke 55 hari.

    Sebab kepada kemasukan itu masih lagi samar-samar namun ia mungkin berlaku kerana kesan penyakit itu sendiri kepada paru-paru, penggunaan vape sejurus keluar daripada hospital atau penggunaan kortikosteroid dalam rawatan kes EVALI.

    Namun, tiada protokol yang dapat digunakan bagi mendiagnosis penyakit ini. 

    Disebabkan oleh simptomnya yang hampir sama dengan penyakit lain, doktor harus merawat pesakit dengan minda terbuka.

    Tidak semestinya mereka yang datang dengan simptom tersebut adalah EVALI walaupun mereka mempunyai tabiat menghisap vape.

    Walau bagaimanapun, maklumat penyakit ini akan dimasukkan secara berperingkat di dalam International Classification of Diseases (ICD) bagi membantu para doktor, syarikat insurans dan pihak yang terlibat dalam sektor kesihatan.

    Konklusi

    Banyak yang tidak diketahui berkenaan dengan kesan vape terhadap tahap kesihatan secara menyeluruh. Cara yang terbaik untuk menghindari kes EVALI adalah untuk berhenti menggunakan produk tersebut dan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan berhenti merokok.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan