backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Meningitis Libatkan Jangkitan Pada Otak, Ketahui Simptomnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/02/2023

Meningitis Libatkan Jangkitan Pada Otak, Ketahui Simptomnya!

Terdapat sejenis penyakit yang berkaitan dengan jangkitan otak yang disebut sebagai penyakit meningitis. Ini yang anda perlu tahu mengenai simptom meningitis termasuklah cara mencegahnya. 

Dapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, dapatkan di sini.

Definisi

Apa itu penyakit meningitis?

Penyakit meningitis adalah sejenis keradangan yang berlaku pada lapisan meninges.

Meninges ialah satu lapisan membran yang meliputi bahagian otak dan juga saraf tunjang.

Penyakit ini berlaku apabila cecair yang mengelilingi membran ini dijangkiti bakteria atau virus.

Ia juga boleh dijangkiti dengan kulat atau parasit.

Jenis

Simptom meningitis: Fahami jenis-jenisnya

Untuk penyakit meningitis ini, ia mempunyai 7 jenis keadaan iaitu:

simptom meningitis

#1. Meningitis bakteria

Terdapat beberapa jenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan keradangan pada lapisan meninges.

Ia boleh dikatakan sebagai satu keadaan yang serius.

Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan pada otak malah boleh membawa maut. 

#2. Meningitis virus

Jangkitan meningitis akibat virus adalah lebih kerap berlaku berbanding jangkitan disebabkan oleh agen-agen lain. Namun, ia bersifat kurang serius berbanding jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

Ada juga beberapa jenis virus yang bukan sahaja menyebabkan jangkitan, tetapi juga mengakibatkan gangguan lain seperti cirit-birit. 

#3. Meningitis kulat

Jangkitan meningitis disebabkan kulat lebih jarang berlaku. Ia biasa berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

#4. Meningitis parasit

Jangkitan yang berpunca daripada parasit juga sangatlah jarang. Ia berpunca daripada parasit yang biasanya menyerang haiwan. Anda boleh mendapat jangkitan parasit ini jika anda memakan haiwan yang dijangkiti.

#5. Meningitis amoebic

Jangkitan jenis ini juga adalah sangat jarang berlaku. Ia berpunca daripada sejenis pepijat bernama Naegleria fowleri

#6. Meningitis tidak berjangkit

Meningitis jenis ini berpunca daripada penyakit seperti kanser atau lupus dan ia tidak berjangkit. 

#7. Meningitis kronik

Ia mempunyai gejala yang sama seperti meningitis akut, tetapi akan berkembang selama beberapa minggu. Ia berpunca daripada jangkitan kulat atau mikobakteria penyebab tuberkulosis. 

Simptom

Apakah simptom meningitis?

simptom meningitis

Berikut adalah antara tanda-tanda penyakit meningitis yang boleh dikenal pasti:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Berasa keliru
  • Rasa sakit pada leher
  • Rasa kebas pada wajah
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Meningitis penyebab perut meragam
  • Muntah-muntah
  • Sukar untuk memberikan tumpuan
  • Sakit kepala yang teruk yang menyebabkan loya dan muntah-muntah
  • Mengalami sawan
  • Hilang selera makan
  • Kurang berasa dahaga
  • Ruam pada kulit
  • Kerap berasa mengantuk

Faktor risiko

Simptom meningitis: Siapa berisiko?

Sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit ini. Namun, ada beberapa golongan yang lebih berisiko untuk mendapat jangkitan meningitis.

Antaranya ialah:

  • Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah
  • Remaja yang berumur 16 hingga 25 tahun
  • Orang dewasa yang berumur 55 tahun dan ke atas

Jangkitan ini juga sangat berbahaya dalam kalangan mereka yang mempunyai gangguan sistem imun, penyakit kronik atau penyakit jangka panjang.

Ia juga mudah menjangkiti mereka yang tinggal berdekatan atau bersama dengan individu yang mempunyai penyakit ini. 

Baca juga:

Punca

Apa punca simptom meningitis?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, meningitis boleh berpunca daripada pelbagai perkara namun ia biasa disebabkan oleh bakteria dan juga virus.

Virus dan bakteria ini biasanya mula memasuki tubuh badan daripada kawasan tekak dan juga telinga.

Selain itu, meningitis juga boleh berpunca daripada penyakit lain seperti sifilis, tuberkulosis, ubat-ubatan kanser dan juga gangguan autoimun. 

Diagnosis

Sekiranya anda hadir ke hospital, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan anda.

Ini termasuklah pemeriksaan kesakitan pada leher atau kewujudan ruam pada kulit.

Selain itu, doktor juga mungkin akan melakukan ujian seperti ujian darah, MRI atau CT atau pengambilan air tulang belakang

Rawatan

Bagaimana cara merawat simptom meningitis?

Rawatan bagi jangkitan ini akan diberikan berdasarkan kepada punca jangkitan.

Bagi jangkitan yang berpunca daripada bakteria, doktor akan memberikan ubat antibiotik. Doktor juga akan memberikan ubat khusus bagi melawan bakteria tertentu.

simptom meningitis

Bagi jangkitan daripada virus, ia biasanya akan sembuh sendiri tanpa rawatan.

Bagi jangkitan disebabkan kulat pula, ia akan dirawat menggunakan ubat antikulat. 

Komplikasi

Simptom meningitis: Ini komplikasinya

Penyakit meningitis boleh memberikan kesan atau komplikasi yang agak teruk jika ia lambat dirawat atau tidak dirawat.

Antara kesan atau komplikasi bagi penyakit ini ialah:

  • Kerosakan otak
  • Kehilangan memori
  • Sawan
  • Kehilangan pendengaran
  • Masalah pembelajaran
  • Sukar untuk berjalan
  • Kegagalan buah pinggang
  • Kematian 

Pencegahan

Bagaimana untuk mencegah penyakit meningitis?

Cara mencegah meningitis bukanlah satu perkara yang sukar.

Memandangkan penyakit ini boleh berjangkit, maka anda perlu melakukan langkah-langkah atau cara mencegah meningitis seperti berikut:

  • Kerap membasuh tangan dengan betul
  • Elakkan perkongsian barangan peribadi seperti tuala, barang solekan dan lain-lain
  • Elakkan berkongsi makanan atau minuman
  • Tutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk
  • Makan makanan yang sihat
  • Dapatkan suntikan vaksin untuk mengurangkan jangkitan

Lakukan cara mencegah meningitis ini untuk mengurangkan jangkitan terhadap diri anda dan juga ahli keluarga yang lain. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/02/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan