Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Jumlah mereka yang disahkan positif setakat 18 Mac 2020 adalah seramai 790 individu. 568 daripada mereka dikaitkan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid Sri Petaling pada hujung Februari lepas.
Pengisytiharan perintah kawalan pergerakan dan amalan jarak sosial telah dilaksanakan ekoran peningkatan mendadak kes wabak korona virus (COVID) di seluruh negara.
[covid_19]
Jika dilihat dari sudut titik pusat jangkitan, kita boleh anggap perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling sebagai sumber utama yang menyebabkan jumlah kes positif melonjak naik. Ia bagaikan Wuhan di China atau Daegu di Korea Selatan.
Jadi apakah punca yang menjadi kepada titik mula penyebaran jangkitan di perhimpunan tabligh tersebut? Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Ikatan persaudaraan sesama muslim tidak perlu dizahirkan melalui kontak fizikal
Dalam situasi wabak, semua perkara berkaitan dengan keintiman hubungan berubah 360 darjah daripada keadaan sebelum wabak.
Jika anda menyayangi keluarga anda, jangan dekati mereka. Kalau anda risau akan keselamatan ibu bapa anda, usah pulang ke kampung. Jika anda ingin menunjukkan betapa sayangnya anda kepada isteri, tidurlah berasingan.
Berbeza dengan prinsip yang penulis sebutkan (amalan jarak sosial), apa yang berlaku di perhimpunan tabligh yang berlangsung di masjid Sri Petaling bertentangan dengan konsep kawalan wabak virus korona baharu. Tanpa amalan jarak sosial, kita tidak tahu situasi sebenar dan berapa ramai individu yang telah dijangkiti.
Baca juga:
Apa yang kita tahu adalah, mereka tidak mengendahkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Atau mungkin mereka terlupa sepenuhnya yang mana kini nasi sudah menjadi bubur.
Menurut salah seorang peserta yang berasal dari Kemboja, tiada peringatan berkenaan dengan amalan cuci tangan secara kerap dan tiada pengumuman berkenaan dengan etika semasa wabak yang diumumkan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Daripada 16,000 peserta yang hadir, hampir 14,000 merupakan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, hanya separuh daripada jumlah tersebut yang menghadiri ujian saringan COVID.
Seusai perhimpunan tersebut, peserta segera bergerak pulang, ini sekali gus meningkatkan risiko penularan ketika mereka bergaul dengan ahli keluarga mereka.
Negara jiran seperti Brunei telah mengesahkan 50 kes positif daripada 56 peserta yang diuji, Kemboja 13, Singapura 5 dan Thailand, sekurang-kurangnya 2.
Sentuhan tangan, ke badan dan seterusnya ke muka. Ini perjalanan korona virus menuju jangkitan di masjid Sri Petaling
Kebanyakan individu menyentuh muka pada kekerapan yang tidak disangkakan. Ia merupakan satu tindakan separuh sedar dan tabiat ini boleh dieksploitasi oleh korona virus untuk menyebabkan jangkitan.
Kajian yang dijalankan di sebuah universiti di Australia pada tahun 2015 telah menunjukkan secara puratanya, subjek menyentuh muka sebanyak 23 kali. Hampir separuh daripada kawasan yang disentuh melibatkan kawasan hidung, mata dan mulut.
Baca juga
Ini merupakan satu model transmisi jangkitan yang membimbangkan apatah lagi dalam situasi perhimpunan tersebut. Kadangkala tanpa sedar kita akan menyentuh dagu sewaktu berfikir, bermain dengan rambut dan menggosok mata. Itu belum kira jika ada yang memicit jerawat.
Bersalaman dan berpelukan merupakan perkara biasa dalam interaksi saudara muslim. Perkara tersebutlah yang menjadi kebimbangan dan apa yang lebih merungsingkan adalah pengesanan kontak selepas berakhirnya perhimpunan tersebut.
Terdapat juga isu berkenaan dengan peserta yang hadir dari China dan Korea, dua titik pusat utama bagi jangkitan wabak korona virus. Pelbagai gambar berkaitan dengan perhimpunan tersebut yang dikongsikan melalui media sosial menunjukkan peserta berkongsi makanan dan berada pada jarak rapat.
Inilah gambar yang menunjukkan 1001 punca kepada penularan wabak korona virus.
Perhimpunan di masjid Sri Petaling, tindakan tidak bertanggungjawab untuk atasi wabak korona virus
KKM sedang berhempas pulas merawat, mengasingkan dan berkorban masa, tenaga dan nyawa dalam memastikan tiada penularan virus berlaku semenjak bermulanya wabak. Namun tidak dinafikan bahawa usaha mereka terbatas.
Penganjuran perhimpunan tersebut ketika wabak korona virus sedang melanda dunia boleh dianggap sebagai langkah tidak bertanggungjawab oleh pihak penganjur.
Aktiviti keagamaan seharusnya dilakukan bagi mendekatkan diri kepada tuhan. Namun apabila ia berpotensi untuk memudaratkan individu lain dan tetap dianjurkan, itu merupakan satu tindakan yang tidak mengendahkan kepentingan sejagat.
Walau bagaimanapun, jika dilihat pada sudut pandang pihak penganjur pula, tiada arahan pembatalan yang dibuat oleh pihak kerajaan pada masa itu. Salah seorang peserta berusia 44 tahun yang disahkan positif kecewa dengan diagnosis yang diterimanya.
Menurutnya, kerajaan seharusnya bergerak aktif membatalkan perhimpunan tersebut. Namun, apakan daya, pada saat perhimpunan itu berlangsung rakyat di seluruh negara sedang memberikan perhatian sepenuhnya kepada perlantikan Perdana Menteri baharu.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengharamkan aktiviti perhimpunan dan berkumpulan, namun perkara tersebut hanya dibuat pada 13 Mac 2020.
Terdahulu, KKM hanya mampu memberikan nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengurangkan aktiviti di tempat awam. Semua individu digalakkan untuk membasuh tangan secara kerap dan memakai topeng muka jika sakit.
Konklusi
https://www.facebook.com/HelloDoktorMY/videos/2789383271108165/
Ada dalam kalangan peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Sri Petaling enggan menjalani ujian dan menyerahkan nasib mereka sepenuhnya kepada tuhan.
Itu merupakan konsep yang salah memandangkan tiada usaha yang dibuat oleh individu tersebut untuk menghindarkan orang lain daripada berjangkit.
Jika anda merupakan salah seorang peserta, segeralah ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Apa yang sudah terjadi biarkan berlalu, yang penting kita usaha untuk menjaga kemaslahatan penduduk setempat.
[mc4wp_form id=’115319″]
#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus
Baca juga: