backup og meta

Ini Fakta Mengenai Dos Penggalak Vaksin COVID-19 Anda Mesti Tahu!

Ini Fakta Mengenai Dos Penggalak Vaksin COVID-19 Anda Mesti Tahu! 

Beberapa golongan seperti barisan hadapan dan kelompok berisiko tinggi sudah mula mendapatkan suntikan vaksin tambahan COVID-19 yang dikenali sebagai dos penggalak.

Apakah fungsi dos penggalak ini dan apakah perbezaannya dengan dos biasa? Adakah kesan sampingannya lebih serius? Ikuti penerangan lanjut di sini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

Apakah itu dos penggalak suntikan vaksin COVID-19?

Dos yang juga disebut sebagai booster ini merupakan dos ketiga yang bertujuan untuk memperkuatkan dos-dos vaksin yang telah disuntik sebelum ini.

Namun, perlu difahami bahawa dos booster vaksin ini bukan hanya melibatkan vaksin COVID-19.

Ia juga telah banyak diberikan melalui vaksin beberapa jenis penyakit lain seperti tetanus dan juga flu.

Dalam beberapa jenis vaksin, pemberian dos-dos kecil sebanyak beberapa kali telah diperakui lebih berkesan berbanding jika diberikan dalam bentuk satu dos besar sahaja.

Kaedah ini diharapkan dapat memperkuatkan sistem pertahanan atau imun tubuh secara berpanjangan.

Bergantung kepada jenis vaksin yang diambil, setiap individu mungkin perlu mendapatkan booster suntikan vaksin dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.

Ada juga yang mungkin perlu mendapatkan dos ini dalam tempoh setahun setelah pengambilan kali pertama vaksin tersebut. 

Ini cara dos penggalak suntikan vaksin COVID-19 bertindak

dos penggalak

Apabila seseorang individu menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19, sistem imun tubuh akan menghasilkan sejumlah antibodi.

Namun, lama-kelamaan peratusan antibodi akan menurun secara perlahan-lahan.

Walau bagaimanapun, penurunan antibodi ini akan tetap meninggalkan ‘memori’ pada sel-sel tubuh yang menghasilkan antibodi khususnya sel B.

Sekiranya dos penggalak suntikan vaksin ini disuntik ke dalam tubuh, maka sel-sel tersebut akan bertambah berlipat kali ganda dan seterusnya meningkatkan kadar antibodi dalam tubuh manusia.

‘Memori’ inilah yang membantu tubuh badan agar sistem imun dapat memberikan respons dengan cara yang lebih kuat dan pantas dalam melawan jangkitan virus COVID-19.

Selain itu, suntikan penggalak juga berperanan dalam proses pemindahan sel B yang sudah terkena vaksin ke bahagian kelenjar limfa.

Dalam kelenjar limfa ini, sel B kemudiannya akan bermutasi dan menghasilkan antibodi yang lebih kuat untuk melawan virus COVID-19.

Beberapa kajian telah membuktikan hal ini di mana terdapat peningkatan kadar antibodi dalam tubuh setelah disuntik dengan suntikan penggalak dalam tempoh beberapa bulan selepas dos kedua.

Antara jenis vaksin yang telah dikaji keberkesanannya sebagai suntikan penggalak ini ialah vaksin keluaran Moderna, AstraZeneca, Pfizer dan juga Sinovac

Kesan sampingan dos penggalak COVID-19 yang mungkin berlaku

Satu kajian terbaharu telah dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkenaan kesan sampingan dos booster ini.

Secara umumnya, kesan sampingan yang berlaku tidak jauh berbeza dengan kesan sampingan daripada dos kedua suntikan vaksin.

Kajian tersebut telah melibatkan seramai 22,191 penerima suntikan penggalak vaksin.

Hasil daripada kajian tersebut, sekitar 32% melaporkan mengalami kesan sampingan selepas menerima dos penggalak.

28% daripada jumlah tersebut pula menyatakan bahawa mereka tidak mampu untuk melakukan aktiviti harian seperti biasa pada hari penerimaan suntikan penggalak.

Berdasarkan laporan daripada CDC, berikut adalah antara kesan sampingan yang boleh berlaku:

  • Rasa sakit pada bahagian suntikan
  • Berasa letih
  • Sakit kepala

Ada juga sesetengah penerima vaksin yang memerlukan rawatan perubatan dan dirawat di hospital.

Namun, secara umumnya dos ketiga atau suntikan penggalak ini selamat untuk diambil kerana kesan sampingan yang boleh berlaku ini hanya bersifat sementara dan tidak serius. 

Baca juga:

Siapakah yang perlu mendapatkan suntikan penggalak ini?

dos penggalak

Malaysia merupakan antara negara di dunia ini yang telah memulakan pemberian dos booster selepas majoriti penduduk menerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Buat masa ini, pemberian suntikan penggalak diutamakan kepada golongan barisan hadapan yang banyak bergaul dengan orang ramai seperti tenaga kerja sektor kesihatan dan juga keselamatan.

Selain itu, ia juga diberikan kepada mereka yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu seperti mereka yang menghidap penyakit autoimun.

Pada saat artikel ini ditulis, hanya vaksin keluaran Pfizer sahaja yang digunakan sebagai vaksin suntikan penggalak di Malaysia.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan masih lagi menyeru sesiapa sahaja yang masih belum divaksin agar tampil untuk mendapatkan vaksin.

Ini kerana, pemberian dos vaksin lengkap secara menyeluruh merupakan keutamaan pada masa kini berbanding suntikan penggalak.

Ini untuk memastikan agar semua penduduk di negara ini menerima vaksin COVID-19, sekali gus mengekang penularan wabak COVID-19 dengan lebih berkesan. 

Lindung diri, lindung semua

Jika anda dipanggil untuk menerima suntikan penggalak kelak, usahakan diri untuk hadir dan menerima suntikan tersebut.

Suntikan penggalak diberikan bukan sahaja untuk melindungi diri anda, tetapi juga orang-orang yang berada di sekeliling anda.

Lebih-lebih lagi, ia dapat melindungi golongan yang masih lagi tidak layak menerima vaksin seperti bayi dan juga kanak-kanak.

#HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Callaway E. (2021). COVID vaccine boosters: the most important questions. Nature, 596(7871), 178–180. https://doi.org/10.1038/d41586-021-02158-6. Accessed on November 5th, 2021. 

Top 3 COVID-19 vaccine questions – Booster dose, extra vaccine dose, vaccine effectiveness and regularly. https://www.health.gov.au/news/top-3-covid-19-vaccine-questions-booster-dose-extra-vaccine-dose-vaccine-effectiveness-and-regularly. Accessed on November 5th, 2021.

Do You Need a COVID-19 Booster? What We Know So Far. https://www.yalemedicine.org/news/covid-19-booster. Accessed on November 5th, 2021.

Safety Monitoring of an Additional Dose of COVID-19 Vaccine — United States. https://www.cdc.gov/mmwr/volumes/70/wr/mm7039e4.htm?s_cid=mm7039e4_w. Accessed on November 5th, 2021.

Interim statement on COVID-19 vaccine booster doses. https://www.who.int/news/item/10-08-2021-interim-statement-on-covid-19-vaccine-booster-doses. Accessed on November 5th, 2021.

Booster Shots and Third Doses for COVID-19 Vaccines: What You Need to Know. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/coronavirus/booster-shots-and-third-doses-for-covid19-vaccines-what-you-need-to-know. Accessed on November 5th, 2021.

Versi Terbaru

22/04/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Betul Ke Vaksin COVID-19 Boleh Sebabkan Kesan Sampingan Kekal? 

Kesan Sampingan Vaksin AstraZeneca Amat Rendah, Rakyat Diseru Jangan Bimbang!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan