backup og meta

Anak Meninggal, Suami Kahwin Lain PUNCA Wanita Ini Alami Kemurungan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/08/2020

    Anak Meninggal, Suami Kahwin Lain PUNCA Wanita Ini Alami Kemurungan

    Baru-baru ini telah tular video seorang wanita yang bertindak agresif ke atas petugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut satu sumber, wanita tersebut sedang mengalami kemurungan.

    Kelakuan itu tercetus apabila kenderaan miliknya ditunda oleh PBT. Apa yang lebih malang lagi adalah video tersebut telah dimuat naik di laman sesawang Twitter dan telah diciap semula lebih daripada 7,000 individu.

    Apakah punca kepada perkelahian tersebut? Adakah tindakan wanita tersebut dianggap relevan terhadap situasi yang dialaminya? Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul

    kemurungan
    Gambar sekadar hiasan

    Walaupun tiada pernyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh wanita tersebut, namun beberapa netizen telah tampil memberikan penjelasan berkenaan dengan tindakannya.

    Menurut seorang netizen, wanita tersebut mengalami kemurungan teruk akibat beberapa peristiwa hitam dalam hidupnya yang dialami baru-baru ini.

    Wanita tersebut pernah bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah Kolej Matrikulasi. Anak keduanya meninggal dunia sejurus selepas lahir. Suaminya pula berkahwin dengan wanita lain dan menceraikannya. Hak penjagaan anak pertama dimenangi oleh suami maka tinggallah dia keseorangan.

    Penulis tidak pasti sama ada dia didiagnosis dengan kemurungan. Namun melihat kepada peristiwa yang dialaminya, besar kemungkinan dia telah didiagnosis dengan masalah kesihatan mental tersebut.

    Sebelum netizen tersebut tampil memberikan penjelasan, pelbagai jenis kutukan telah diberikan oleh netizen lain terhadap tindakan wanita itu.

    Walaupun secara moralnya, kita diajar untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak, tetapi media sosial seakan-akan terlepas daripada konsep akhlak yang sebegitu.

    Netizen terlalu mudah dan berani mengeluarkan kata-kata berbisa. Sebelum kita terus menghukum tindakan wanita tersebut, mari fahami kaitan di antara kemurungan dan sikap mudah melenting.

    Kemurungan, bukan sedih semata-mata

    marah
    Gambar sekadar hiasan

    Apabila digunakan perkataan ‘kemurungan’, pasti ramai yang akan terbayangkan individu yang kelihatan sedih dan putus harapan. Namun begitu, apa yang anda perlu fahami adalah, masalah kesihatan mental ini tidak semudah seperti apa yang disangka.

    Setiap individu mempunyai emosi marah jika mereka berhadapan dengan sesuatu yang dianggap bertentangan dengan norma. Namun, ia kebiasaannya cuma berlegar-legar dalam jangka masa pendek.

    Jika perasaan marah tersebut wujud dalam jangka masa panjang, ia mungkin petanda anda mengalami masalah kemurungan. Adakah ini satu perkara baru?

    Kajian yang dijalankan pada tahun 1998 oleh Hospital Umum Massachusetts telah menunjukkan bahawa hampir ⅓ daripada mereka yang murung turut mengalami episod kemarahan yang datang secara tiba-tiba

    Dapatan kajian tersebut telah disokong oleh satu lagi kajian pada tahun 2009 oleh Universiti Cambridge yang menemui kaitan antara kemurungan dan kemarahan.

    Walaupun ia bukan salah satu kriteria yang disenaraikan di dalam Buku Panduan Statistik dan Diagnostik Penyakit Mental Edisi 5 (DSM-V), kaitan antara kemarahan dan kemurungan tidak boleh dipandang ringan.

    Ini berikutan ia boleh mempengaruhi kualiti hidup individu tersebut.

    Buang terjemahan stereotaip bagi penyakit mental

    kemurungan
    Gambar sekadar hiasan

    Masalah penyakit mental tidak semudah yang disangka. Dalam usaha untuk memahami penyakit mental, kita perlu mengubah persepsi kita terhadap terjemahan yang sering dikaitkan dengan penyakit mental.

    Keresahan atau kegelisahan lebih daripada perasaan berdebar-debar, malu atau takut, skizofrenia bukan gila dan kemurungan bukan sedih semata-mata.

    Mudah untuk masyarakat memahami sesuatu keadaan kesihatan mental jika menggunakan simptom sebagai panduan. Namun, jika simptom tersebut distereotaipkan, salah faham berkenaan dengan masalah mental akan berleluasa.

    Ramai orang beranggapan bahawa mereka yang suka marah tidak mengalami kemurungan. Mereka yang murung kebiasaannya kelihatan tidak bertenaga dan asyik menangis. Video wanita yang disebarkan oleh netizen membuktikan bahawa konsep tersebut salah.

    Ada individu murung yang marah kerana mereka merasakan tiada harapan untuk mereka cuba mencapai apa yang disasarkan. Perasaan ‘bagai tiada harapan’ tersebut merupakan salah satu daripada simptom yang disenaraikan dalam DSM-V.

    Oleh sebab kemarahan bukanlah satu sifat yang dikaitkan dengan kemurungan, maka ramai individu yang terlepas pandang akan hal ini. 

    Guru yang mengajar di sekolah mungkin beranggapan bahawa pelajar yang memberontak di kelasnya mempunyai masalah disiplin semata-mata. Tidak akan terlintas pada pemikiran guru tersebut akan kemungkinan pelajarnya mengalami kemurungan.

    Itulah akibatnya apabila simptom penyakit mental distereotaipkan.

    Keluarga bawa wanita itu ke hospital untuk rawatan lanjut

    hospital
    Gambar sekadar hiasan

    Dalam situasi yang dialami oleh wanita itu, petugas PBT tersebut telah bertindak secara rasional. Mungkin dia tidak tahu wanita tersebut mengalami kemurungan namun kesabarannya seharusnya dipuji kerana jika individu lain ditugaskan untuk menunda, reaksi yang diberikan mungkin tidak sama.

    Menurut seorang lagi netizen, wanita tersebut telah dihantar ke hospital oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut. Menurutnya lagi, wanita tersebut tidak dijaga dan ubat yang dipreskripsikan tidak diambil mengikut saranan doktor.

    Penulis tidak mahu membuat sebarang spekulasi namun jika ubat diambil mengikut saranan sekalipun, melihat kepada peristiwa besar yang dialaminya, wanita tersebut masih memerlukan nasihat dan rawatan susulan daripada pakar.

    Hakikatnya, dugaan yang melanda, walaupun setimpal dengan kekuatan seorang manusia, mereka masih memerlukan pertolongan. Kemurungan atau penyakit mental lain tidak sesekali bermaksud anda tidak dekat dengan tuhan.

    Ia merupakan satu keadaan kesihatan yang melanda individu seperti penyakit-penyakit lain. Ia mempunyai kaedah rawatan dan mereka yang mengambilnya boleh mencapai kesembuhan. 

    Oleh itu, sebagai netizen yang bertanggungjawab, anda tidak seharusnya cepat menghakimi tindakan seseorang. Penulis akui, apa yang dibuat oleh wanita tersebut masih salah di sisi undang-undang, namun ia tidak memberikan lesen kepada kita untuk menyebarkan aibnya.

    Sebelum anda membuat kiriman atau komen, fikirkanlah kesannya terhadap jiwa anda sebagai seorang manusia dan kesan yang akan dialami oleh wanita tersebut kelak jika rantaian spekulasi ini berterusan. 

    Konklusi

    Kemurungan tidak semestinya sedih. Ia mempunyai kaitan dengan ketidakstabilan emosi dan kajian menunjukkan bahawa perasaan marah kronik berkait rapat dengan masalah murung.

    Letakkan diri anda di tempat wanita tersebut. Dengan keadaan hidup yang penuh dengan dugaan dan masa depan yang kelihatan kelam, adakah anda boleh berfikir dan bertindak secara rasional?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan