Terasa macam perlu membuang air kecil tetapi takut hendak ke tandas angkara kencing sakit? Ia bukan masalah yang anda boleh pandang sebelah mata jika berlaku secara berulang kali.
Persoalannya, apa punca serta bagaimana merawat masalah ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Urologi, anda boleh dapatkannya di sini.
Ketidakselesaan ketika buang air kecil atau dysuria
Untuk pengetahuan anda semua, kesakitan ketika membuang air kecil atau dysuria adalah sejenis kondisi yang agak lazim dan boleh terjadi kepada individu tanpa mengira usia dan jantina.
Bagi penderita penyakit ini, mereka bakal mengalami rasa perih, pedih, gatal atau terbakar apabila sedang kencing di samping kekerapan pembuangan air kecil yang meningkat mendadak.
Logiknya, anda mungkin fikir ketidakselesaan itu cuma akan berlaku di sekitar alat kelamin sahaja sedangkan kawasan dalaman berkaitan termasuk pundi dan salur kencing turut terkesan.
Apa yang lebih membimbangkan, rasa pedih ketika kencing juga mungkin merupakan indikator kepada isu besar lain!
Apa punca pundi kencing sakit dan kerap kencing?
Ramai yang percaya bahawa kondisi ini disebabkan oleh masalah ‘kencing kotor’ tetapi tidak tahu apa makna atau punca sebenar di sebalik istilah itu. Adakah ia diakibatkan oleh tabiat anda selama ini?
Terdapat beberapa punca serta faktor risiko kerap kencing dan kencing sakit seperti berikut:
- Cystitis – Keradangan pundi kencing akibat bakteria
- Urethritis – Keradangan salur kencing akibat bakteria
- Prostatitis – Keradangan kelenjar prostat lelaki angkara bakteria
- Vaginitis – Keradangan dalam faraj wanita angkara bakteria
- Batu karang – Kewujudan batu di dalam bentuk mineral pada pundi kencing, salur kencing atau buah pinggang
- Kesan sampingan ubatan atau rawatan – Contohnya kemoterapi untuk rawat kanser
- Kesan jangkitan seksual – STD/STI termasuk penyakit klamidia, herpes, sifilis, gonorea dan lain-lain
- Tumor di dalam sistem urologi – Keberadaan tumor sama ada bersifat kanser atau tidak
- Produk yang tidak sesuai – Produk mandian atau cucian termasuk sabun, losyen atau krim yang mempunyai kandungan berbahaya
- Kecederaan alat kelamin – Ada kemungkinan wujud kecederaan pada zakar dan faraj sama ada di luar atau di dalam
Ini antara petua hilangkan pedih ketika kencing!
Usah biarkan atau abaikan kondisi ini. Anda perlu cuba beberapa rawatan kencing sakit berikut:
#1. Minum lebih banyak air kosong
Pertama dan paling penting, pesakit perlu minum air kosong dengan cukup sekurang-kurangnya 8 gelas besar sehari dalam usaha bagi mempercepatkan proses penyembuhan infeksi kencing.
Alasannya, minum banyak air bakal dapat membantu mengeluarkan bakteria yang mengakibatkan infeksi kencing. Selain air kosong, minuman lain seperti teh atau kopi juga boleh membantu.
Petua hilangkan pedih ketika kencing #2. Jangan tahan kencing
Sehubungan di atas tadi, anda perlu usaha untuk lebih kerap kencing meskipun tidak selesa agar bakteria dapat dikeluarkan. Tambahan itu pula, amalan tahan kencing adalah sesuatu yang sangat tidak digalakkan bagi penderita masalah ini.
Petua hilangkan pedih ketika kencing #3. Jangan duduk lama
Sekiranya anda perlu duduk dalam tempoh masa yang lama bagi tujuan bekerja atau belajar, cuba bangun, berjalan dan bersenam seketika agar ketidakselesaan itu pergi sementara. Ini kerana otot dalam sistem perkumuhan harus lebih aktif.
#4. Guna tuaman yang hangat
Bagi mengurangkan rasa pedih sebelum, semasa atau selepas kencing, anda boleh cuba guna heating pad atau tuaman panas lain seperti kain atau tuala pada bahagian bawah abdomen.
Untuk memudahkan usaha anda, boleh juga cuba mandi air pancur atau kolam dengan suhu panas.
Tips jika kencing sakit #5. Pakai pakaian yang sesuai
Selain itu, pastikan juga anda memakai pakaian terutama seluar dalam yang tidak terlalu ketat dan mampu menyerap peluh dengan baik bagi mengelak pertumbuhan dan penyebaran bakteria.
Sebaiknya, individu boleh cuba pakai seluar dalam daripada material kapas yang tentu lebih selesa.
Petua hilangkan pedih ketika kencing #6. Elak aktiviti seks
Akhir sekali, anda perlu hindar daripada melakukan hubungan seksual dengan pasangan kerana ia berpotensi untuk membuat simptom menjadi lebih teruk selain berisiko menyebabkan UTI.
Jika anda mula perasan wujud simptom pada diri, segera berjumpa dan berbincang dengan doktor tentang punca serta langkah yang anda boleh buat agar masalah ini tidak berlaku atau berulang!
Jadi, ada banyak petua hilangkan pedih ketika kencing yang anda boleh cuba.