Mungkin tidak ramai, namun pasti ada individu yang pernah atau masih lagi mengalami kondisi kencing tak lawas dan sakit.
Ia bukan sahaja akan mengakibatkan rasa tidak selesa pada alat sulit malahan juga segenap fizikal dan juga mental penderita.
Persoalannya, apakah punca-punca masalah kencing tak lawas ini berlaku? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkan di sini.
Apa itu kondisi kencing tak lawas dan sakit?
Masalah yang turut dikenali sebagai inkontinen urin ini berlaku apabila organ pundi kencing hilang kawalan untuk membuang air kecil.
Ia dikatakan mungkin lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita dan statistik mencatatkan sekitar 30% wanita di Malaysia mengalaminya.
Pun begitu, ini tidak bermakna golongan lelaki boleh terselamat daripadanya khususnya buat mereka yang sudah lewat usia.
Ramai penderita masalah kencing tak lawas ini akan mengalami kesukaran untuk mengawal air kencing dan selalu terbabas sebelum sempat ke tandas.
Untuk pengetahuan anda, ada beberapa jenis inkontinen urin yang wujud iaitu:
- Inkontinen stres – Wujud tekanan pada pundi kencing apabila batuk, bersin, ketawa atau mengangkat barang berat
- Inkontinen terdesak – Rasa ingin buang air kecil secara tiba-tiba sahaja terutamanya pada waktu malam
- Inkontinen melimpah – Kebocoran urin yang disebabkan oleh pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya
- Inkontinen fungsi – Masalah aspek fizikal atau mental yang menyebabkan penderita tidak mampu ke tandas untuk kencing
- Inkontinen kombinasi – Merupakan gabungan dua atau lebih jenis inkontinen urin yang berlainan
Persoalannya, apa punca masalah kencing tak lawas ini berlaku? Jom teruskan membaca!
Apa punca kondisi kencing tak lawas dan sakit?
Kebiasaannya, masalah inkontinen urin ini akan berlaku apabila otot dan saraf yang membantu pundi kencing mengalami masalah.
Ada beberapa faktor risiko yang memicu masalah ini termasuklah:
#1. Pundi kencing hipotenik
Juga dikenali sebagai pundi kencing malas, keadaan ini akan menyebabkan pundi kencing tidak dapat dikendalikan dan dikosongkan dengan baik.
#2. Pundi kencing prolaps
Turut dikenali sebagai pundi kencing jatuh, keadaan ini akan berlaku pada wanita apabila dinding faraj yang menyokong pundi kencing menjadi lemah.
Berikut merupakan pencetus kondisi ini berlaku:
- Proses kehamilan
- Proses kelahiran
- Mengangkat barang berat
- Kurang hormon estrogen akibat menopaus
Punca masalah kencing tak lawas #3. Masalah prostat
Bagi lelaki pula, masalah kencing tak lawas mungkin didalangi oleh masalah prostat seperti pembesaran kelenjar prostat, penyempitan salur uretra serta kanser prostat.
#4. Jangkitan salur kencing
Jangkitan yang lebih dikenali sebagai UTI berlaku apabila terdapat keradangan pada kawasan pundi kencing lantas mengakibatkan ketidakselesaan dan rasa semakin kuat untuk membuang air kecil.
Punca masalah kencing tak lawas dan sakit #5. Sembelit
Mereka yang kerap mengalami sembelit juga mungkin akan selalu mengalami kencing tak lawas dan sakit. Kenapa?
Ini disebabkan mereka sering meneran untuk membuang air besar sekali gus menyebabkan pundi kencing dan otot pelvis menjadi lemah.
#6. Berat badan yang berlebihan
Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti akan cenderung mengalami tekanan pada kawasan pundi kencing.
Akibatnya, lama-kelamaan otot pada kawasan tersebut berisiko untuk menjadi lebih lemah.
#7. Kecederaan sistem saraf
Masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan sklerosis berbilang boleh menyebabkan penderita alami kecederaan sistem saraf pada kawasan pundi kencing, lantai pelvis atau uretra.
Punca masalah kencing tak lawas #8. Pembedahan
Akhir sekali, masalah ini juga mungkin didalangi oleh faktor anda pernah melakukan pembedahan melibatkan organ reproduktif seperti histerektomi.
Ia akan menyebabkan kecederaan pada kawasan lantai pelvis terutamanya jika pembedahan tersebut melibatkan pengeluaran uterus.
Sekiranya otot lantai pelvis tercedera, otot pada pundi kencing tidak dapat berfungsi dengan baik lantas menyebabkan masalah inkontinens urin.
Konklusinya, terdapat banyak sebab mengapa masalah ini berlaku dan ia perlu didiagnosis terlebih dahulu sebelum memutuskan kaedah rawatan yang terbaik!
[embed-health-tool-bmi]