backup og meta

Kencing Kotor Bukan Perkara Remeh! Ini Cara Merawat Jangkitan Kuman yang Perlu Anda Tahu

Kencing Kotor Bukan Perkara Remeh! Ini Cara Merawat Jangkitan Kuman yang Perlu Anda Tahu

Sebagai salah satu jangkitan yang paling lazim di seluruh dunia, jangkitan saluran kencing (UTI) telah menjejaskan kehidupan jutaan manusia setiap tahun, khususnya wanita. Menurut kajian, 1 daripada 2 wanita dan 1 daripada 20 lelaki berisiko untuk dijangkiti jangkitan kuman dalam air kencing sekali seumur hidup. Walaupun kebanyakan kes jangkitan kuman dalam air kencing boleh dirawat dengan mudah melalui penggunaan antibiotik, jangkitan yang teruk boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih kronik, seperti urosepsis yang boleh mengancam nyawa.

Dr Tan Gaik Imm, Pakar Perunding Uroginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) memberi pandangan pakar tentang punca, gejala dan langkah pencegahan jangkitan kuman pada air kencing, berserta amalan yang boleh mengurangkan risiko jangkitan berulang untuk memahami penyakit ini dengan lebih baik.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Urologi, sila dapatkannya di sini

Fahami jangkitan kuman dalam air kencing dan tanda amarannya

Jangkitan kencing kotor.
Jangkitan kencing kotor.

“Sebagaimana nama penuh penyakit ini, jangkitan kuman pada air kencing boleh menjejaskan mana-mana bahagian dalam sistem saluran kencing, termasuk buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra,” jelas Dr Tan.

“Pundi kencing ialah organ yang paling kerap dijangkiti, sehingga menyebabkan sistitis. Ia sejenis penyakit UTI yang paling lazim, terutama sekali dalam kalangan wanita.

Dalam kes yang teruk, jangkitan boleh merebak ke buah pinggang.

Gejala biasa jangkitan kuman dalam air kencing adalah rasa panas dan perit sewaktu membuang air kecil, air kencing kelihatan keruh, berbau busuk atau berdarah.

Ramai individu juga mengalami rangsangan yang kuat dan kerap untuk membuang air kecil, serta selalu merasa tidak dapat menahan air kencing mereka,” sambung Dr Tan.

“Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan mungkin merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan rasa sakit di bahagian tepi belakang (iaitu kedudukan buah pinggang).

Kesakitan ini mungkin berserta dengan demam, tubuh menggigil pada waktu malam atau hilang selera makan,” tambah Dr Tan.

Faktor risiko utama dan langkah pencegahan jangkitan kuman dalam air kencing

Dr Tan Gaik Imm.
Dr Tan Gaik Imm.

Salah satu faktor mengapa jangkitan kuman pada air kencing lebih lazim berlaku di kalangan wanita adalah disebabkan faktor anatomi.

“Wanita berisiko lebih tinggi kerana uretra mereka yang pendek dan juga jarak antara uretra dan dubur yang lebih dekat, menyebabkan bakteria dari usus lebih mudah merebak ke bahagian pundi kencing,” jelas Dr Tan.

Dr Tan menjelaskan terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat jangkitan kuman pada air kencing, khususnya dalam kalangan wanita.

“Salah satu kesilapan yang sering dilakukan ialah amalan kebersihan yang kurang optimum,” kata beliau, sambil turut menunjukkan bahawa mengelap dari belakang ke depan sewaktu menggunakan tandas boleh menyebabkan bakteria tersebar ke dalam saluran kencing secara tidak sengaja.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa sesetengah kaedah kontraseptif, seperti kondom bersalut spermisid, mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan bakteria.

Bagi mereka yang menghidap diabetes, mereka berisiko lebih tinggi kerana keupayaan tubuh mereka untuk melawan jangkitan telah terjejas.

Bagi mereka yang terdedah kepada penyakit UTI berulang kali, Dr. Tan menasihati untuk mengamalkan langkah pencegahan yang mudah.

“Kencing sebelum dan selepas aktiviti seksual mungkin boleh mengurangkan kebarangkalian bakteria untuk memasuki saluran kencing,” terang beliau.

“Kerap mendapat jangkitan faraj juga boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman dalam air kencing, maka ia sangat penting untuk mengendalikan kedua-dua isu ini secara serentak.”

Tabiat harian yang memberi perbezaan

Cuci tangan selepas menggunakan tandas.
Cuci tangan selepas menggunakan tandas.

Apakah cara merawat jangkitan kuman?

Pencegahan selalunya bermula dengan tabiat harian.

“Mandi dari air mengalir lebih baik berbanding mandi secara berendam dalam tempoh waktu yang lama,” kata Dr. Tan, turut menambah bahawa berendam dalam air bagi tempoh yang lama boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi.

Tambahan pula, beliau mengesyorkan cara berikut bagi mencegah jangkitan kuman dalam air kencing:

  • Kekal terhidrat dengan minum air masak sebanyak 1.5 hingga 2 liter setiap hari untuk menyingkirkan bakteria dari sistem saluran kencing.
  • Menukar pad atau pelapik seluar dalam dengan kerap semasa haid untuk mengurangkan pembiakan bakteria.
  • Kebersihan tangan yang betul termasuk mencuci tangan sebelum dan selepas menggunakan tandas, kerana tangan boleh membawa bakteria dari permukaan yang disentuh sepanjang hari.
  • Pakai seluar dalam yang memberi pengudaraan baik seperti kapas untuk mengekalkan kebersihan yang lebih baik dan mengurangkan risiko kencing kotor.

Beliau menekankan bahawa cara merawat jangkitan kuman adalah penting.

Menurut Dr Tan, diagnosis tepat pada masanya boleh membezakan sama ada mencegah jangkitan ringan atau menjadi masalah kesihatan yang serius.

“Ujian air kencing adalah kaedah utama yang digunakan untuk mengesan jangkitan. Jika hasil keputusan tidak jelas atau gejala masih berterusan, pengkulturan air kencing akan dilakukan untuk mengenal pasti bakteria khusus yang terlibat.”

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Siaran Media oleh Sunway Medical Centre.

5 tips to prevent a urinary tract infection. https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/speaking-of-health/5-tips-to-prevent-a-urinary-tract-infection. Diakses pada Januari 27, 2025.

Urinary tract infection (UTI). https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/urinary-tract-infection/symptoms-causes/syc-20353447. Diakses pada Januari 27, 2025.

Urinary Tract Infections. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9135-urinary-tract-infections. Diakses pada Januari 27, 2025.

Urinary Tract Infection (UTI) Prevention. https://www.cincinnatichildrens.org/health/u/uti-prevention. Diakses pada Januari 27, 2025.

7 tips to prevent a UTI. https://www.uclahealth.org/news/article/7-tips-prevent-uti. Diakses pada Januari 27, 2025.

Versi Terbaru

31/01/2025

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Nakal BUKAN Ciri Khusus Anak Autisme! Ini Pandangan Pakar Pediatrik

Kaedah Digital Kesan Kanser Payudara Pertama Di Malaysia, Ikuti Huraian Pakar!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 2 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan