home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Pemeriksaan Prostat Rektal Digital, Masukkan Jari Ke Dalam Lubang Dubur! Lelaki Ambil Tahu Ini

Pemeriksaan Prostat Rektal Digital, Masukkan Jari Ke Dalam Lubang Dubur! Lelaki Ambil Tahu Ini

Tahukah anda bahawa wujud satu jenis kaedah pemeriksaan prostat yang melibatkan kemasukan jari ke dalam lubang dubur?

Dengan membayangkannya sahaja, sudah tentu ramai lelaki yang akan risau jika prosedur ini akan menyebabkan rasa sakit!

Persoalannya, mengapa pemeriksaan prostat ini perlu dilakukan dan adakah ia akan menyakitkan? Jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Definisi pemeriksaan prostat yang sebenar!

Pemeriksaan kelenjar prostat ini boleh dilakukan dengan melakukan sejenis prosedur bernama Digital Rectal Examination (DRE).

Tujuan prosedur ini dilakukan adalah memeriksa kesihatan prostat dengan doktor memasukkan jari ke dalam lubang dubur pesakit.

Kemasukan jari ini kemudiannya akan disusuli dengan teknik menyentuh dan menekan bahagian dalam rektal yang dikhuatiri bermasalah.

Kebiasaannya, kaedah pemeriksaan ini dibuat untuk mendiagnosis kondisi berkaitan seperti prostat bengkak ataupun kanser prostat.

Dalam pada itu, DRE juga turut dilakukan untuk memeriksa keadaan kesihatan seperti berikut:

  • Ketumbuhan rektal
  • Pendarahan rektal
  • Jangkitan rektal
  • Sembelit
  • Buasir
  • Kanser kolon
  • Kanser usus
  • Ketidakmampuan untuk mengawal najis
  • Gangguan pada rahim dan serviks (bagi wanita)

Sekiranya anda menghidapi salah satu daripada masalah kesihatan berkaitan bahagian rektal anda, segera berjumpa doktor untuk diagnosis.

DRE

Bagaimana pemeriksaan prostat itu dibuat?

Seperti mana yang telah kami nyatakan, prosedur ini akan melibatkan kemasukan jari ke dalam lubang dubur pesakit.

DRE akan dimulakan dengan menyarungkan serta melincirkan sarung tangan untuk memudahkan kemasukan jari.

Kemudian, doktor akan memeriksa sebarang ketidaknormalan dalam rektal dengan menyentuh dan menekan kawasan sekitar.

Sebagai contoh, kondisi bengkak prostat akan menyebabkan seakan bonjolan pada sekitar dinding rektum penderita.

Manakala kondisi kanser prostat pula akan mengakibatkan ketulan pada permukaan yang biasanya lembut pada prostat.

Tentunya akan timbul persoalan sama ada prosedur ini akan mendatangkan rasa sakit atau tidak bukan? Ini jawapannya!

Adakah prosedur ini akan menyakitkan?

Menurut ramai orang yang pernah melaluinya, prosedur ini mungkin akan menyebabkan kesakitan ketika melakukannya.

Ini berlaku ekoran daripada tekanan yang berpunca daripada kemasukan jari serta sentuhan pada kelenjar prostat anda.

pemeriksaan prostat

Selain itu, pemeriksaan prostat ini juga mungkin akan mengakibatkan anda terasa seakan mahu membuang air kecil atau besar.

Dalam beberapa kes yang unik, ada juga individu yang menyatakan bahawa mereka mencapai orgasma tatkala prostat dirangsang.

Bagi pesakit buasir, prosedur ini juga mungkin akan menyebabkan kesakitan serta pendarahan dalam amaun yang sedikit.

Sebagai alternatif, doktor mungkin akan hanya memeriksa najis yang dikeluarkan sekiranya prosedur ini tidak perlu dilakukan.

Apa persiapan yang perlu anda lakukan?

Sekiranya terdapat gejala penyakit berkaitan dengan prostat atau kawasan sekitar, anda mungkin mahu untuk membuat pemeriksaan.

Namun ia mungkin akan melibatkan keputusan yang sukar untuk mendedahkan serta membenarkan lubang dubur anda diperiksa.

Disebabkan itu, adalah penting untuk kalian membersihkannya terlebih dahulu dan membuang bulu dubur di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, kalian juga perlu lebih bersedia dengan mengetahui langkah-langkah pemeriksaan prostat ini seperti berikut:

  • Anda akan diminta untuk mengganti pakaian hospital
  • Anda akan diminta untuk berbaring secara mengiring
  • Anda akan diminta untuk merelakskan tubuh badan
  • Jika perlu, anda akan diminta untuk menarik keluar pipi punggung

Setelah anda dan doktor sudahpun bersedia, maka prosedur ini akan mula dilakukan dengan jari dimasukkan ke dalam lubang dubur.

pemeriksaan prostat

Anda tidak perlu risau, prosedur ini adalah selamat!

Meskipun akan mengakibatkan sedikit rasa sakit dan tidak selesa pada lubang dubur, anda mungkin tidak perlu risau tentangnya.

Ini kerana pemeriksaan prostat melalui prosedur DRE ini ternyata sangat mudah dan selamat untuk dilakukan oleh pakar.

Ia disebabkan oleh prosedur ini tidak memerlukan sebarang peralatan khas lain selain daripada sarung tangan serta pelincir.

Dalam pada itu juga, prosedur ini akan dilakukan secara sedar yakni kalian boleh memberitahu doktor jika ada ketidaknormalan.

Sekiranya doktor tidak dapat menentukan penyakit yang anda hadapi melalui pemeriksaan prostat ini, maka ujian lanjut akan dilakukan.

Ujian tersebut termasuklah biopsi, proktoskopi, sigmoidoskopi atau kolonoskopi yang turut dilakukan pada kawasan sekitar prostat.

Jika doktor ingin memeriksa darah yang terdapat di situ, sampel akan diambil dan dihantar ke makmal untuk diperiksa.

Konklusinya, anda perlu buat pemeriksaan prostat!

Prostat adalah kelenjar yang sangat penting di dalam fungsi seksual bagi seorang lelaki dan ia perlu diperiksa secara berkala.

Pun begitu, anda sebagai wanita juga mungkin perlu melakukan prosedur seperti DRE ini jika wujud masalah pada rahim dan serviks.

Jika wujud sebarang masalah berkaitannya, maka jangan takut atau malu untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan lanjut okay!

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. https://www.cancer.net/navigating-cancer-care/diagnosing-cancer/tests-and-procedures/digital-rectal-exam-dre
  2. https://www.health.harvard.edu/medical-tests-and-procedures/digital-rectal-exam-a-to-z
  3. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostate-cancer/multimedia/digital-rectal-exam/img-20006434
  4. https://www.uofmhealth.org/health-library/hw4404
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 03/06/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman