Kegunaan
Apa itu Duloxetine?
Duloxetine digunakan untuk merawat kemurungan dan gangguan keresahan. Di samping itu, duloxetine digunakan untuk membantu melegakan sakit saraf (neuropati periferi) pada pesakit diabetes atau kesakitan yang berterusan disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti artritis, sakit belakang yang kronik, atau fibromyalgia (keadaan yang menyebabkan kesakitan seluruh anggota badan).
Duloxetine boleh memperbaiki mood, tidur, selera makan, dan tenaga, dan mengurangkan rasa gugup. Di samping itu, ia juga boleh mengurangkan kesakitan akibat keadaan perubatan tertentu. Duloxetine dikenali sebagai ubat perencat pengambilan semula serotonin-norepinefrin (SNRI). Ubat ini berfungsi dengan membantu memulihkan keseimbangan bahan semula jadi tertentu seperti serotonin dan norepinefrin di dalam otak.
Bagaimanakah kegunaan Duloxetine?
Ubat ini diambil melalui mulut seperti yang diarahkan oleh doktor anda, kebiasaannya 1 atau 2 kali sehari, sama ada dengan makanan atau tidak. Sekiranya anda mengalami loya, pengambilan ubat ini dengan makanan mungkin membantu. Telan kapsul secara keseluruhan. Jangan hancurkan, kunyah, atau campurkan kandungannya yang telah hancur dengan makanan atau cecair. Hal ini kerana boleh ia membebaskan semua ubat sekali gus dan meningkatkan risiko kesan sampingan.
Dos yang sesuai adalah berdasarkan usia, keadaan perubatan dan tindak balas anda terhadap rawatan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko kesan sampingan, doktor akan mengarahkan anda untuk mula mengambil ubat ini pada dos yang rendah dan secara beransur-ansur menambah dosnya. Patuhi arahan doktor anda dengan berhati-hati. Ambil ubat ini dengan kekerapan yang sekata untuk mendapatkan faedah. Untuk membantu anda, ubat ini boleh diambil pada masa yang sama setiap hari.
Adalah penting untuk terus mengambil ubat ini seperti yang dipreskripsikan walaupun anda telah berasa sihat. Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa berunding dengan doktor anda terlebih dahulu. Sesetengah keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila ubat ini tiba-tiba dihentikan. Anda mungkin mengalami gejala seperti pening kepala, kekeliruan, perubahan mood, sakit kepala, keletihan, cirit-birit, perubahan tidur, dan merasai kejutan elektrik yang singkat. Dos anda mungkin perlu dikurangkan secara beransur-ansur untuk mengurangkan kesan sampingan. Laporkan gejala-gejala baru atau yang bertambah teruk dengan serta-merta.
Beritahu doktor anda jika keadaan anda kekal tidak baik atau bertambah buruk.
Bagaimana saya menyimpan Duloxetine?
Duloxetine paling baik disimpan pada suhu bilik dan terlindung dari cahaya matahari dan kelembapan. Bagi mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan duloxetine di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin ada jenama duloxetine yang berbeza yang mungkin mempunyai keperluan penyimpanan yang berlainan. Adalah penting untuk sentiasa menyemak pakej produk untuk arahan mengenai penyimpanan, atau boleh bertanya kepada ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda perlu menyimpan semua ubat jauh dari capaian kanak-kanak dan binatang peliharaan.
Anda tidak boleh membuang duloxetine ke dalam jamban atau tuangkannya ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Adalah penting untuk membuang produk ini dengan betul apabila ia tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut tentang cara membuang produk anda dengan selamat.
Langkah berjaga-jaga & amaran
Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Duloxetine?
Sebelum mengambil ubat ini, sila beritahu doktor anda sekiranya:
- Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor
- Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen
- Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif duloxetine atau ubatan lain
- Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain
Anda harus tahu bahawa duloxetine mungkin akan membuat anda mengantuk, pening, atau mungkin menjejaskan penilaian, pemikiran serta koordinasi anda. Jangan memandu kereta atau mengendalikan sebarang jentera sehingga anda tahu bagaimana ubat ini memberi kesan kepada anda.
Tanya doktor anda tentang penggunaan minuman beralkohol yang selamat semasa anda mengambil duloxetine. Alkohol juga boleh meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius daripada duloxetine.
Di samping itu, anda juga harus tahu bahawa duloxetine boleh menyebabkan pening, dan pengsan ketika anda bangun terlalu cepat dari posisi berbaring. Hal ini biasa terjadi apabila anda mula-mula mengambil duloxetine atau dengan pertambahan dos baru. Bagi mengelakkan masalah ini, bangunlah dari tempat tidur dengan perlahan-lahan, dan rehatkan kaki anda di atas lantai selama beberapa minit sebelum berdiri.
Duloxetine juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Anda perlu memeriksa tekanan darah anda sebelum memulakan rawatan dan semasa anda mengambil ubat ini secara berterusan.
Duloxetine turut boleh menyebabkan glaukoma sudut tertutup (keadaan di mana gelemair tiba-tiba disekat dan tidak dapat mengalir keluar daripada mata hingga meningkatkan tekanan dalam mata dengan cepat dan teruk yang mungkin mengakibatkan kehilangan penglihatan). Sila berbincang dengan doktor anda tentang pemeriksaan mata sebelum anda mula mengambil ubat ini. Sekiranya anda mengalami loya, sakit mata, perubahan dalam penglihatan, seperti melihat lingkaran berwarna di sekitar cahaya lampu, serta bengkak atau kemerahan pada mata, sila rujuk doktor anda atau dapatkan segera rawatan kecemasan.
Adakah selamat untuk mengambil Duloxetine semasa mengandung atau menyusukan bayi?
Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat ini. Duloxetine adalah pada kategori risiko kehamilan tahap C, menurut badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Rujukan kategori risiko kehamilan FDA adalah seperti berikut:
- A=Tiada risiko
- B=Tiada risiko menurut beberapa kajian
- C=Mungkin terdapat risiko
- D=Bukti positif berkenaan risiko
- X=Kontraindikasi
- N=Tidak diketahui
Kesan Sampingan
Apakah kesan sampingan ubat ini?
Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai sebarang tanda reaksi alergi terhadap duloxetine: bintat; kesukaran bernafas; bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak anda.
Laporkan gejala baru atau yang lebih teruk kepada doktor anda, seperti ayunan mood atau tingkah laku, kebimbangan, serangan panik, sukar untuk tidur, atau jika anda merasa keagresifan impulsif, mudah marah, hiperaktif (mental atau fizikal),tekanan perasaan, atau berfikir tentang bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.
Hubungi doktor anda serta merta jika anda mengalami:
- Mual, sakit perut, gatal-gatal, kehilangan selera makan, kencing berwarna gelap, najis berwarna pudar, dan jaundis (kulit atau mata menguning)
- Rasa seperti ingin pengsan
- Perasaan bergolak, halusinasi, demam, kadar jantung yang cepat, refleks yang terlalu aktif, muntah, cirit-birit, kehilangan koordinasi
- Otot yang sangat kejang, demam panas, berpeluh, kekeliruan, terketar-ketar
- Mudah lebam, pendarahan
- Kencing yang menyakitkan atau menyukarkan
- Sakit kepala, masalah menumpukan perhatian, masalah ingatan, kelemahan, rasa tidak stabil, sawan, pernafasan yang lemah atau terhenti
- Reaksi kulit yang teruk – demam, sakit tekak, bengkak di muka atau lidah anda, rasa terbakar di mata anda, sakit kulit, diikuti dengan ruam kulit merah atau ungu yang merebak (terutamanya di muka atau bahagian atas badan) dan menyebabkan kulit melepuh serta menggelupas
Antara kesan sampingan yang lain termasuklah:
- Mulut kering
- Mengantuk
- Rasa letih
- Mual dan loya atau kehilangan selera makan
- Sembelit
Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa kesan sampingan, sila berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi anda.
Tindakbalas
Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Duloxetine?
Duloxetine boleh mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil, di mana ia boleh mempengaruhi prestasi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Untuk mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang digunakan (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba lain) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi anda. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat anda tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.
Antara produk yang boleh bertindak balas dengan ubat ini adalah:
- 5-HT1 agonis reseptor (contohnya, sumatriptan), buspirone, fentanyl, linezolid, lithium, lorcaserin, MAOI (contohnya, phenelzine, rasagiline), quinidine, SNRIs (contohnya, venlafaxine), SSRI (contohnya, fluoxetine, fluvoxamine) St. John’s wort, tramadol, antidepresan trisiklik (contohnya, amitriptyline), atau tryptofan; kerana kesan sampingan yang teruk, seperti demam, otot kejang, perubahan tekanan darah, perubahan mental, kekeliruan, pergolakan perasaan, meracau, atau koma boleh berlaku
- Antikoagulan (contohnya, warfarin), aspirin, atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) (contohnya, ibuprofen); kerana risiko pendarahan, termasuk pendarahan dalam perut, boleh meningkat
- Diuretik (contohnya, furosemide, hidroklorothiazida); kerana risiko natrium dalam darah rendah meningkat
- Cimetidine, ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi, atau quinolone (Ciprofloxacin); kerana mereka boleh meningkatkan risiko kesan sampingan kapsul duloxetine
- Agen antiaritmia tertentu (Flecainide, propafenone), desipramine, phenothiazine (mis., Chlorpromazine, thioridazine), atau theophylline; kerana risiko kesan sampingan mereka boleh meningkat disebabkan oleh duloxetine
- Tamoxifen; kerana keberkesanannya boleh berkurang dengan kapsul duloxetine
Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Duloxetine?
Duloxetine mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan dan alkohol, dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan kesan sampingan yang serius. Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas sebelum menggunakannya.
Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Duloxetine?
Duloxetine boleh bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Adalah sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi berkenaan keadaan kesihatan anda.
Keadaan kesihatan yang boleh bertindak balas terhadap ubat ini adalah:
- Penyalahgunaan alkohol
- Penyakit buah pinggang
- Penyakit hati (termasuk sirosis)
- Kecelaruan dwikutub (gangguan perasaan dengan mania dan kemurungan)
- Pendarahan
- Diabetes
- Masalah penghadaman
- Glaukoma (sudut tertutup)
- Penyakit jantung
- Hipertensi (tekanan darah tinggi)
- Hiponatremia (rendah natrium dalam darah)
- Mania
- Kekejangan otot
- Masalah kencing (contoh: penahanan air kencing)
- Penyakit buah pinggang
Penggunaan / Dos
Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.
Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?
Dos Orang Dewasa Biasa untuk Kemurungan
Dos permulaan: 20 mg dua kali sehari secara oral
Dos pengendalian: 60 mg sehari,sama ada sekali sehari atau 30 mg dua kali sehari secara oral.
Dos maksimum: 120 mg secara oral sehari sekali
Tempoh: Episod akut pada umumnya memerlukan beberapa bulan atau lebih terapi farmakologi yang berterusan; analisa berkala tentang keperluan rawatan pengendalian yang berterusan serta dos yang bersesuaian adalah disyorkan.
Dos Orang Dewasa Biasa untuk Fibromyalgia
Dos permulaan: 30 mg secara oral sekali sehari selama 1 minggu.
Dos pengendalian: 30 hingga 60 mg secara oral sekali sehari.
Tempoh: Keberkesanan telah menunjukkan sehingga 3 bulan dalam kajian terkawal plasebo; keberkesanan ini tidak ditunjukkan dalam kajian yang lebih lama; oleh itu, rawatan berterusan harus diteruskan berdasarkan tindak balas individu.
Dos Orang Dewasa Biasa untuk Gangguan Keresahan Menyeluruh
Dos permulaan: 60 mg secara oral sekali sehari, ditambah lagi 30 mg sekali sehari jika sesuai dengan respons klinikal.
Dos pengendalian: 60 hingga 120 mg secara oral sekali sehari.
Dos maksimum: 120 mg secara oral sekali sehari.
Tempoh: Episod penyakit biasanya memerlukan terapi farmakologi selama beberapa bulan atau lebih yang berterusan; analisa berkala tentang keperluan rawatan pengendalian yang berterusan serta dos yang bersesuaian adalah disyorkan.
Dos Orang Dewasa Biasa untuk Kesakitan
Dos permulaan: 30 hingga 60 mg sekali sehari.
Dos pengendalian: 60 mg secara oral sekali sehari.
Tempoh:
- Pesakit periferi neuropati dalam kencing manis: Keberkesanan melebihi 12 minggu belum lagi terbukti; Keberkesanan harus berdasarkan respons individu
- Pesakit muskuloskeletal kronik: Keberkesanan melebihi 13 minggu belum lagi terbukti
Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?
Mulakan duloxetine pada dos 30 mg sekali sehari, selama 2 minggu sebelum mempertimbangkan pertambahan dos sehingga 60 mg.
Julat dos yang disyorkan ialah dari 30 hingga 60 mg sekali sehari. Sesetengah pesakit boleh mendapat manfaat daripada dos melebihi 60 mg sekali sehari.
Sekiranya keputusan dibuat untuk meningkatkan dos melebihi 60 mg sekali sehari, tingkatkan dos dalam tambahan sebanyak 30 mg sekali sehari.
Dos maksimum yang telah dikaji adalah 120 mg sehari. Keselamatan dos di atas 120 mg sekali sehari adalah tidak diketahui.
Apakah bentuk penyediaan ubat ini?
Duloxetine boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan yang berikut:
- Kapsul Partikel Pelepasan Terlanjut, Oral: Cymbalta: 20 mg, 30 mg, 60 mg
Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?
Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.
Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?
Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos duloxetine, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga pengambilan dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.
[embed-health-tool-bmi]