backup og meta

Rasa Kena Tindih Ketika Tidur Bukan Sebab Hantu, INI Sebenarnya Terjadi!

Rasa Kena Tindih Ketika Tidur Bukan Sebab Hantu, INI Sebenarnya Terjadi!

Terjaga dari tidur. Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Anda cuba bangun namun susah. Dada terasa sakit, suara tak keluar dan bulu roma mula meremang, “Ah, kena tindih pulak”, anda mula bermonolog.

Ramai individu pernah mengalami situasi sebegini namun tak semua tahu puncanya. Nak tau apakah penjelasan sains berkaitan dengan fenomena kena tindih ni? Teruskan membaca untuk maklumat selanjutnya.

Kelumpuhan tidur tidak memudaratkan kesihatan

Ia merupakan fenomena yang boleh dianggap aneh. Disebabkan oleh itulah kebanyakan individu mengaitkan pengalaman merasai kelumpuhan tersebut dengan fenomena paranormal.

Suatu ketika dahulu, kita tidak memahami mekanisme di sebalik keadaan ini namun kini, kita tahu bahawa dua hormon mempunyai kaitan dengannya, Glycine dan Gamma Aminobutyric Acid (GABA).

Kedua-duanya memainkan peranan penting melumpuhkan otot-otot badan ketika fasa rapid eye movement (REM) kerana pada ketika ini, kita mengalami mimpi.

Tujuan kelumpuhan tersebut adalah untuk mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang dimimpikan.

Secara fisiologi, anda sepatutnya tidak sedarkan diri ketika fasa REM ini. Mata anda tertutup rapat dan mimpi hanyalah sekadar mimpi.

Namun, jika seseorang itu bangun ketika fasa REM, maka individu tersebut akan mengalami kelumpuhan kesan daripada rembesan hormon tersebut. Otot anda masih lumpuh tetapi mata anda berkeliaran memandang persekitaran dan dalam masa yang sama, anda merasakan sesuatu menindih di bahagian dada anda. Usah khuatir!

Anda akan boleh bergerak seperti biasa. Kelumpuhan ini kebiasaannya berlaku dalam sekitar 1 hingga 3 minit. Ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah kesihatan melainkan pengalaman yang agak menakutkan.

Halusinasi dan makhluk halus yang menindih

Amigdala merupakan sistem saraf yang berbentuk kacang, terletak pada bahagian lobus temporal tengah. Ia adalah sebahagian daripada struktur basal ganglia dan bahagian otak yang paling aktif ketika fenomena kelumpuhan tidur kerana fungsinya adalah untuk mengawal atur memori berkaitan perasaan dan ketakutan.

Bayangkan anda mempunyai amigdala yang sedang aktif membuatkan anda takut, namun tiada apa-apa perkara di persekitaran yang mempunyai keupayaan untuk membuatkan anda takut. Ini merupakan satu paradoks dan solusi kepadanya adalah halusinasi. 

Brian A. Sharpless dan Monika Klikova telah menerbitkan kajian di Jurnal Tidur pada tahun 2019 yang melibatkan 185 individu yang didiagnos dengan masalah ini.

Dapatan kajian tersebut telah mendapati bahawa 58% daripada mereka merasakan kehadiran sesuatu yang bukan manusia di dalam bilik sewaktu fenomena tersebut sedang berlaku. Halusinasi boleh berlaku dalam pelbagai jenis bentuk.

Ada individu yang melaporkan mereka merasa seolah-olah di awang-awangan, ada yang ternampak individu asing berada bersama mereka di tempat mereka tidur dan ada yang ternampak makhluk halus menindih dada mereka.

Risiko dan rawatan

Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh dikaitkan dengan kebarangkalian seseorang individu untuk menghadapi kelumpuhan tersebut.

  • Faktor genetik
  • Sejarah trauma
  • Masalah kesihatan mental
  • Masalah kesihatan fizikal
  • Masalah berkaitan kualiti tidur
  • Penggunaan dadah

Setakat ini, tiada rawatan spesifik menurut protokol perubatan dalam merawat masalah ini. Perkara yang sering diketengahkan adalah tabiat tidur yang baik. Kelumpuhan ini boleh menjadi petanda bahawa anda tidak mendapatkan tidur yang cukup.

Antara rekomendasi untuk mengelakkan fenomena ini adalah untuk menghindari alkohol dan dadah 3 jam sebelum waktu tidur. Minuman berkafein juga perlu dihadkan dan barangan elektronik perlu dielakkan sebelum waktu tidur untuk menjamin kualitinya.

Konklusi

Kelumpuhan tidur bukanlah satu penyakit yang serius namun ia merupakan pengalaman yang menakutkan. Halusinasi kebiasaannya dialami oleh sebahagian besar individu, namun begitu, fenomena tidak akan berlarutan.

Jaga tabiat tidur anda dan pastikan anda mendapatkan tidur yang cukup. Jika anda risau berkenaan dengan fenomena ini, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Brain Chemicals That Cause Sleep Paralysis Discovered. (https://www.livescience.com/21653-brain-chemicals-sleep-paralysis.html). Diakses pada 28 Oktober 2019
  2. What Makes Sleep Paralysis Scary. (https://www.livescience.com/27621-sleep-paralysis-scary.html). Diakses pada 28 Oktober 2019.
  3. Clinical Features of Isolated Sleep Paralysis. (https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1389945718308311#!). Diakses pada 28 Oktober 2019.

Versi Terbaru

02/11/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Susah Tidur Malam? Ini 7 Tip Tidur Awal Bagi Mereka Yang Sukar Melelapkan Mata!

Pakar Kongsi Rahsia Mudah Untuk Awet Muda, Dapatkan Tidur Yang Lena Setiap Hari!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 02/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan