Wah, ada ‘minuman emas’ yang dikatakan dapat membuatkan wajah nampak sihat dan berseri! Pernah tak anda dengar mengenai susu kunyit, sejenis minuman tradisional yang berasal dari India? Jika pernah, pasti anda tidak asing lagi dengan kebaikan susu ini.
Kunyit mengandungi pelbagai nutrisi. Ia kaya dengan antioksidan dan juga bahan-bahan antiradang.
Rasanya yang sedikit pedas dan kuat, jika digabungkan dengan susu, akan menghasilkan satu kombinasi yang lazat dan berkhasiat!
Bukan itu sahaja, kunyit juga sudah lama digunakan secara turun-temurun untuk merawat batuk, demam, kecederaan kecil dan juga sakit sendi. Sebab itulah, ramai yang ingin mencuba susu ini.
Walau bagaimanapun, kunyit bukanlah sejenis rempah yang kita sering campurkan dengan air. Rasanya yang kuat juga mungkin akan buatkan sesetengah orang rasa loya.
Oleh sebab itu, pasti ada antara kita yang tertanya-tanya – bolehkah kita ambil susu kunyit dengan kerap? Bagaimana pula dengan keburukan minum air kunyit setiap hari?
Jom, dapatkan jawapannya dalam artikel kami di bawah!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apakah susu kunyit?
Secara tradisionalnya, susu ini sangat popular dalam budaya dan pemakanan orang India. Dalam bentuknya yang paling simple, susu ini mengandungi 2 bahan sahaja iaitu susu dan kunyit.
Dalam resipi tradisional, susu yang digunakan ialah susu lembu. Namun, anda boleh padankannya dengan apa-apa jenis susu mengikut kesukaan anda.
Selain itu, anda juga boleh tambahkan herba dan rempah untuk meningkatkan rasa dan khasiat susu ini. Walau bagaimanapun, pastikan anda panaskan susu terlebih dahulu sebelum tambah bahan-bahan lain!
Kunyit juga mengandungi banyak antioksidan. Selain itu, ia mengandungi lemak sihat, mangan dan juga zat besi. Jika anda menambah bahan lain seperti madu atau badam, susu ini akan menjadi lebih berkhasiat.
Susu kunyit sesuai diminum hangat sebelum tidur. Ia dapat membantu anda tidur dengan lebih lena.
Namun, jangan fikir susu ini boleh diminum pada waktu malam sahaja! Ia juga boleh dijadikan minuman pada waktu siang, sesuai untuk mereka yang ingin mulakan hari dengan minuman penuh nutrisi!
Resipi mudah untuk pemula
Berminat untuk cuba? Jom, cuba resipi mudah yang kami sediakan di bawah:
Bahan-bahan
- 2 cawan susu pilihan anda
- 1 sudu madu
- 1 sudu kunyit hidup, ditumbuk kasar
- 3 biji badam, ditumbuk kasar
Opsyenal
- 1 sudu minyak kelapa
- 1 batang kulit kayu manis
- Secubit parutan halia segar
Cara penyediaan
- Tuang semua bahan di dalam periuk kecil dan panaskan.
- Kacau semua bahan agar rasanya sebati.
- Kecilkan api dan biar mereneh selama 10 minit.
- Siap! Jika anda mempunyai bahan atau rempah yang bersaiz besar, tapis dahulu sebelum minum.
- Sebelum hidang, tambahkan sesudu madu atau sedikit serbuk kayu manis.
Tip tambahan:
- Jika rasa kunyit terlalu kuat, anda boleh tambahkan sirap mapel atau madu untuk memaniskannya.
- Semakin lama anda reneh susu tersebut, semakin kuatlah rasanya. Jadi, masa mereneh boleh dilakukan mengikut kesukaan anda.
Susu kunyit paling sedap dihidang ketika hangat. Minuman di atas boleh diamalkan 2 hari seminggu. Anda juga boleh menyimpannya di dalam peti ais. Namun, panaskannya semula sebelum minum untuk rasa yang lebih ‘umph’!
Baca juga:
- 5 Kebaikan Kunyit Untuk Muka Yang Anda Tidak Akan Tahu Jika Belum Baca ini!
- Nak Wajah Awet Muda Dan Bebas Jerawat? Sapu Masker Kunyit, DIY Di Rumah Sahaja!
Ada ke keburukan minum air kunyit setiap hari?
Menurut pakar, tidak ada masalah jika anda ingin minum susu kunyit setiap hari. Walau bagaimanapun, jika perut anda rasa tidak selesa, eloklah jika anda kurangkan pengambilannya.
Mereka yang kerap minum susu ini mendapati ia dapat membuatkan perut mereka rasa lebih selesa. Malah, ia juga dapat mengurangkan masalah gas dan perut kembung!
Bagaimana pula dengan kesihatan kulit? Benar, wanita yang minum susu ini dengan kerap mempunyai kulit yang lebih sihat!
Manakan tidak, kandungan antioksidannya yang tinggi dapat mengurangkan kerosakan pada permukaan kulit. Ia juga boleh membuatkan wajah lebih glowing!
Tak percaya? Mungkin anda perlu mencubanya sendiri!