backup og meta

Mengapa Banyak Produk Penjagaan Kulit Menggunakan Urea untuk Kulit Kering?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/09/2021

    Mengapa Banyak Produk Penjagaan Kulit Menggunakan Urea untuk Kulit Kering?

    Dihasilkan daripada metabolisme protein dan sebatian nitrogen organik lain dalam hati, urea atau karbamida disingkirkan dalam air kencing dan peluh sebagai bahan kumuh. Urea juga selalu digunakan dalam produk penjagaan kulit sejak berabad lamanya kerana faedahnya yang telah terbukti. Tapi anda mungkin terfikir, siapa yang ingin menyapu komponen air kencing ke atas kulit mereka? Sebenarnya, urea merupakan komponen semula jadi yang penting pada epidermis kulit yang membantu menyerap kelembapan.

    Menariknya, amalan uroterapi, menggunakan air kencing sendiri untuk tujuan kecantikan telah ditemui dalam sejarah budaya orang Aztec dan masyarakat Mesir kuno. Pun begitu, jangan panik, tidak seperti sangkaan buruk anda, produk penjagaan kulit yang mengandungi urea menggunakan urea sintetik, yang dihasilkan daripada ammonia dan karbon dioksida di makmal, bukannya yang dikeluarkan daripada tubuh manusia.

    Berikut adalah beberapa sebab mengapa urea selalu digunakan sebagai ramuan penting dalam pelbagai produk penjagaan kulit, terutamanya untuk kulit kering dan sensitif:

    Faktor pelembab semula jadi kulit

    Stratum corneum, lapisan paling luar kulit, melindungi tubuh daripada agen luar dan mengawal sebarang pertukaran bahan dengan persekitaran. Kehadiran molekul yang menarik kelembapan, yang dikenali secara kolektif sebagai Faktor Pelembap Asli (Natural Moisturizing Factor, NMF), membolehkan stratum corneum mengekalkan kelembapan, lantas memastikan epidermis kekal lembap dan elastik.

    Urea adalah salah satu komponen NMF yang menyumbang kepada pemeliharaan tahap kelembapan kulit yang sihat. Penurunan tahap NMF menyebabkan kehilangan air dalam kornea stratum dan mengurangkan keanjalan epidermis. Dalam stratum corneum yang sihat, urea menyumbang 7% daripada NMF dan peratusan ini berkurangan dengan peningkatan usia.

    Memelihara penghidratan kulit

    Walaupun penggunaan bahan emolien dan oklusi dapat melapiskan permukaan kulit dan menghasilkan kesan kelembapan segera, ia hanya bersifat sementara dan tidak akan meningkatkan keupayaan kulit untuk menahan dan menarik air. Penggunaan urea, sebaliknya, menembusi stratum corneum, di mana ia dengan mudah menyerap dan mengekalkan air. Ini meningkatkan kapasiti kulit untuk menahan kelembapan dan terhidrat, menjadikan urea berfungsi sebagai humektan yang kuat.

    Masalah kulit yang disifatkan dengan kulit kering seperti ekzema, psoriasis, dan ichthyosis vulgaris semuanya dikaitkan dengan ketidakupayaan stratum corneum untuk mengekalkan kelembapan dan masalah penghadang epidermis yang dapat dilihat dengan manifestasi kulit kasar, berkeruping, atau hiperkeratosis.

    Memperbaiki integriti kulit dan fungsi penghadang

    Kulit yang sihat dicirikan dengan kawalan kehilangan air yang cekap dalam mengawal tahap penghidratan dengan baik, dan kesannya, berfungsi sebagai penghadang fizikal dan kimia yang sihat. Urea mengawal kehilangan air transepidermal (transepidermal water loss) dan mengembalikan keupayaan stratum corneum untuk menarik dan mengekalkan hidrasi.

    Urea bukan sahaja berfungsi pada tahap luaran, bahkan pada tahap sel. Urea didapati mempercepat proses pembaharuan sel kulit dengan merangsang gen epidermis. Ini membantu sel-sel kulit membentuk lapisan pelindung dan menguatkan fungsi penghadangnya, memelihara kulit kekal muda dan sihat. Oleh itu, bukan sekadar rawatan kulit kering, penggunaan pelembap urea secara rutin turut menghalang perkembangan kulit kering sebelum ia berlaku.

    Kesan Keratolitik

    Satu ciri unik urea yang menjadikannya agen rawatan untuk kulit adalah kerana selain melembapkan kulit, ia juga boleh menjadi agen pengelupasan kulit yang lembut. Pada dos yang lebih rendah (kurang daripada 10%), formulasi topikal yang mengandungi urea bertindak sebagai pelembap kulit, manakala pada kepekatan yang lebih tinggi (lebih daripada 10%), formulasi berasaskan urea menghasilkan tindakan keratolitik.

    Kesan keratolitik bermakna urea dapat mengelupaskan dan melembutkan keratin, komponen utama kulit. Dengan melarutkan bahan yang memegang lapisan atas sel kulit, urea membantu menyingkirkan sel-sel kulit mati dan membantu kulit mengekalkan air. Tindakan ini meningkatkan keupayaan kulit menarik lembapan. Ini juga bermakna bahawa urea berkepekatan tinggi boleh digunakan untuk merawat keadaan kulit yang hiperkeratosis (penebalan lapisan luar kulit).

    Menggalakkan penyerapan

    Urea juga berguna dalam gabungan dengan ubat-ubatan antiradang dan antikulat, kerana aktivitinya yang menggalakkan penyerapan. Urea memudahkan penyerapan molekul lain melalui penghadang kulit dan dengan itu meningkatkan kesan ubat-ubatan yang digunakan dalam terapi gabungan. Penyerapan ubat-ubatan topikal seperti kortikosteroid dan antikulat dapat dibantu oleh urea untuk merawat kulit berkeruping dan keradangan kulit.

    Tiada kesan sampingan

    Kebanyakan kajian klinikal yang melibatkan formulasi urea seperti krim, emulsi, atau buih, dengan kepekatan urea sebanyak 10% tidak melaporkan sebarang kesan sampingan, mengesahkan keselamatan penggunaan formulasi urea topikal.

    Memulihkan integriti dan fungsi penghadang stratum corneum adalah matlamat utama dalam rawatan pelbagai penyakit kulit. Psoriasis dan penghidap ekzema didapati mempunyai kekurangan urea. Kulit dengan psoriasis didapati mempunyai urea 40% kurang berbanding kulit yang sihat manakala kulit ekzema kekurangan 85% urea yang diperlukan.

    Ini menjelaskan mengapa urea kekal sebagai salah satu daripada bahan tertua dan yang paling bermanfaat dalam formulasi produk penjagaan kulit walaupun pelbagai bahan dan ekstrak baru ditemui dalam inovasi formulasi produk penjagaan kulit.

    Hello Health Group tidak memberikan khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Amy Kor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan