Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
6 Senarai Bahan Aktif Dalam Skincare Yang Sering Digunakan Wanita Cantik
Dalam dunia kecantikan hari ini, ramai yang teruja mencuba pelbagai produk penjagaan kulit seperti serum, essence, toner, moisturiser dan sebagainya. Namun, rahsia sebenar keberkesanan produk bukan terletak pada jenama, tetapi pada bahan aktif dalam skincare(active ingredients) yang terkandung di dalamnya.
Bahan aktif ialah komponen utama yang memberi kesan langsung terhadap masalah kulit, sama ada untuk mencerahkan, melembapkan, mengawal jerawat atau melambatkan tanda penuaan. Tetapi, tidak semua bahan aktif sesuai untuk semua jenis kulit.
Mari kita selami dengan lebih mendalam tentang bahan aktif dalam skincare yang popular ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
6 Bahan aktif dalam skincare yang menjadi pilihan wanita
1. Niacinamide
Niacinamide atau Vitamin B3, merupakan antara bahan paling popular dalam dunia skincare moden. Bahan aktif dalam skincare ini menjadi pilihan kerana sesuai digunakan untuk hampir semua jenis kulit dari kulit kering hingga kulit berminyak.
Fungsi utama Niacinamide dalam rutin skincare
Mengawal penghasilan minyak berlebihan
Mengecilkan liang pori
Mengurangkan kemerahan dan keradangan
Mencerahkan tona kulit dan memudarkan kesan jeragat atau parut jerawat
Niacinamide boleh digunakan pada waktu pagi dan malam. Ia juga mudah digabungkan dengan bahan lain seperti hyaluronic acid atau ceramide. Jika anda baru dalam dunia skincare, niacinamide ialah bahan pertama yang selamat untuk dicuba.
Niacinamide ialah bahan aktif skincare yang boleh dicampur dengan retinol dan ceramide.
2. Retinol
Seorang wanita sedang memakai skincare.
Retinol ialah bentuk derivatif daripada Vitamin A dan merupakan bahan paling berkuasa dalam menangani tanda-tanda penuaan awal seperti garis halus, kedutan dan kulit kusam.
Bahan aktif skincare yang tidak boleh dicampur dengan AHA/BHA kerana dua-dua bahan ini exfoliator dan boleh menyebabkan iritasi.
Fungsi utama retinol
Merangsang penghasilan kolagen untuk menegangkan kulit
Memperbaharui sel kulit agar kulit kelihatan segar dan cerah
Mengurangkan parut jerawat dan liang pori tersumbat
Retinol agak kuat dan boleh menyebabkan iritasi atau penggelupasan jika digunakan secara berlebihan.
Oleh itu, pastikan anda mulakan dengan dos rendah (0.1%–0.3%) dan gunakan hanya pada waktu malam. Jangan lupa untuk memakai sunscreen pada waktu siang kerana retinol menjadikan kulit lebih sensitif terhadap sinaran UV.
3. Vitamin C dalam skincare
Siapa yang tidak mahu kulit kelihatan segar, cerah dan berseri semula jadi? Di sinilah Vitamin C memainkan peranan besar. Ia adalah antioksidan kuat yang melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran matahari dan pencemaran.
Namun, vitamin C ialah bahan aktif skincare yang tidak boleh dicampur dengan AHA/BHA, mahupun Niacinamide. Jadi, pastikan anda fahami dahulu cara menggunakan skincare ini.
Fungsi utama Vitamin C
Mencerahkan kulit dan memudarkan bintik hitam.
Melindungi kulit daripada radikal bebas, punca utama penuaan awal
Merangsang penghasilan kolagen, menjadikan kulit lebih anjal
Gunakan Vitamin C pada waktu pagi selepas toner, sebelum memakai pelembap dan sunscreen.
4. Hyaluronic Acid
Seorang wanita sedang memilih produk.
Jika kulit anda sering terasa tegang, kering atau kusam, hyaluronic acid (HA) adalah penyelamat anda!
HA sebenarnya adalah bahan semula jadi yang terdapat dalam tubuh manusia, khususnya pada kulit, sendi dan mata. Dalam industri kecantikan, HA dipuji kerana keupayaannya mengekalkan kelembapan dan memberikan kesan kulit yang lebih sihat, anjal dan berseri.
Kajian juga menunjukkan bahawa skincare ini selamat digunakan. Reaksi atau kesan buruk daripada asid hyaluronik jarang berlaku dan ia selamat digunakan jika anda hamil atau menyusu.
Fungsi utama Hyaluronic Acid
Mengunci kelembapan pada lapisan kulit
Menjadikan kulit lebih lembut, licin dan gebu
Mengurangkan garis halus akibat kekeringan
Sapu HA pada kulit yang masih sedikit lembap selepas mencuci muka. Kemudian, gabungkan dengan pelembap untuk mengekalkan hidrasi. Bahan aktif dalam skincare ini boleh digunakan siang dan malam, sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif.
Bahan aktif skincare yang boleh dicampur degan HA ialah vitamin C, yang boleh meningkatkan lagi hidrasi kulit dan menjaga kelembapan kulit.
5. AHA dan BHA, bahan penting dalam skincare
AHA (Alpha Hydroxy Acid) dan BHA (Beta Hydroxy Acid) adalah bahan pengelupasan kimia lembut yang membantu menanggalkan sel kulit mati tanpa perlu skrub kasar.
Gunakan hanya 2–3 kali seminggu dan jangan lupa sunscreen keesokan harinya kerana kulit akan menjadi lebih sensitif pada cahaya matahari.
6 Rahsia untuk kulit glowing.
6. Ceramides
Menurut Cleveland Clinic, ceramides ialah lemak atau lipid yang membentuk kira-kira 50% daripada epidermis anda, iaitu lapisan luar kulit.
Fungsi Ceramides dalam skincare
Menjaga skin barrier
Mengunci kelembapan kulit
Melindungi kulit anda
Kenal pasti manfaat kandungan skincare yang anda inginkan, kerana ia perlu bertepatan dengan jenis kulit yang dimiliki.
Fahami kulit, barulah skincare berkesan
Tidak ada satu bahan aktif dalam skincare yang mampu menyelesaikan semua masalah kulit. Kuncinya ialah memahami keperluan kulit anda sendiri. Mulakan dengan bahan ringan seperti niacinamide atau hyaluronic acid, kemudian perlahan-lahan tambah bahan lain seperti retinol atau vitamin C. Dan yang paling penting, anda perlu konsisten!
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Understanding Popular Skin Care Ingredients. https://health.clevelandclinic.org/skin-care-ingredients-explained. Diakses pada 24 Oct 2025
Hyaluronic Acid. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/22915-hyaluronic-acid. Diakses pada 24 Oct 2025
AHA vs BHA: The Skincare Acids Explained. https://www.nivea.co.uk/advice/skin/aha-vs-bha. Diakses pada 24 Oct 2025
Retinol. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/23293-retinol. Diakses pada 24 Oct 2025
What Are Ceramides? https://health.clevelandclinic.org/ceramides. Diakses pada 24 Oct 2025
Versi Terbaru
20/11/2025
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip
Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid