
Betul ke jeragat melasma boleh berlaku ketika hamil? Jawapannya ya!
Tompok gelap yang muncul di wajah ini bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah boleh menurunkan keyakinan diri.
Melasma paling kerap muncul di pipi, hidung, dagu, di atas bibir atas dan dahi. Kadangkala ia turut berlaku di bahagian lengan, leher dan belakang anda. Malah, melasma boleh menjejaskan mana-mana bahagian kulit anda yang terdedah kepada cahaya matahari.
Jadi, apakah sebenarnya punca jeragat ketika hamil dan bagaimana cara menguruskannya dengan selamat? Ikuti kami dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Kenapa jeragat melasma boleh berlaku ketika hamil?
Tahukah anda, melasma biasanya muncul semasa trimester kedua kehamilan? Jadi, penting bagi anda yang berisiko mengalami melasma melakukan pencegahan awal di peringkat awal kehamilan.
Berikut ialah punca jeragat melasma berlaku ketika hamil:
1. Perubahan hormon
Melasma adalah gangguan kulit biasa terjadi dalam kalangan wanita hamil. 15% hingga 50% wanita hamil pernah mengalaminya. Hal ini kerana, wanita yang sedang hamil mengalami peningkatan tahap hormon estrogen dan progesteron.
Hormon ini dianggap menyumbang kepada jeragat melasma. Tapi jangan risau, ia akan hilang dan pudar selepas tempoh kehamilan.
2. Faktor genetik
Genetik antara punca jeragat melasma boleh berlaku. Anda mempunyai risiko mengalami melasma ketika hamil jika ibu, kakak atau ahli keluarga anda pernah mengalami melasma.
3. Terdedah dengan cahaya matahari
Terdedah dengan cahaya matahari menjadi pencetus utama dalam patogenesis melasma. Hal ini kerana, ketika hamil, kulit menjadi lebih sensitif, menyebabkan tompok gelap mudah terbentuk walaupun terdedah dengan cahaya matahari dalam tempoh yang singkat.
4. Penggunaan ubat dan barangan kosmetik yang tidak sesuai

Penggunaan kosmetik juga merupakan salah satu faktor eksogen melasma. Kosmetik boleh menyebabkan dermatitis kontak, yang mencetuskan keradangan kulit yang boleh menyebabkan melasma. Oleh itu, kosmetik mesti dipilih dengan teliti.
Ubat antimalaria, antikonvulsan, amiodarone dan ubat lain boleh menyebabkan pigmentasi kulit dengan merangsang melanogenesis atau memendap di lapisan permukaan. Oleh itu, lebih baik anda dapatkan pandangan doktor sebelum mengambil ubat-ubatan tertentu.
Cara hilangkan jeragat melasma ketika hamil
1. Gunakan sunscreen setiap hari
Sunscreen adalah perlindungan paling penting untuk ibu hamil. Pilih sunscreen broad-spectrum (UVA & UVB) dengan SPF sekurang-kurangnya 30 dan sesuai untuk kulit sensitif. Gunakan walaupun hanya berada di dalam rumah.
2. Elakkan daripada terdedah dengan matahari secara berlebihan
Cuba elakkan keluar rumah antara jam 10 pagi hingga 4 petang. Jika perlu, pakai topi atau payung untuk perlindungan tambahan. Ini adalah cara hilangkan jeragat melasma yang mudah untuk anda ikuti!
3. Pilih produk yang selamat, antara cara hilangkan jeragat melasma
Sesetengah produk yang digunakan untuk merawat melasma mungkin berbahaya kepada bayi anda jika anda menggunakannya semasa mengandung. Ini termasuk krim yang mengandungi hidrokuinon atau tretinoin. Semak terus dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum memulakan sebarang rawatan semasa kehamilan.















