backup og meta

Ada Tompok Merah Kecoklatan Pada Kaki? Ini Sebab Dermopati Diabetik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/12/2023

    Ada Tompok Merah Kecoklatan Pada Kaki? Ini Sebab Dermopati Diabetik

    Dermopati diabetik merupakan salah satu komplikasi yang boleh berlaku terhadap penghidap diabetes. Bagaimana keadaan dermopati diabetes ini?

    Secara umumnya, anda boleh melihat perubahan warna atau kemunculan tompok pada bahagian bawah kaki anda.

    Ingin tahu lebih lanjut berkenaan komplikasi diabetes ini? Semuanya telah kami sediakan di bawah.

    Baca lebih lanjut tentang Kencing Manis di sini.

    Apakah yang dimaksudkan dengan dermopati diabetik?

    Dermopati diabetik merupakan sejenis masalah kulit yang biasanya akan muncul pada bahagian bawah kaki pesakit diabetes.

    Keadaan ini juga disebut dengan nama pigmented pretibial patches atau shin spots (bintik tulang kering).

    Untuk makluman anda, tidak semua pesakit diabetes akan mengalami keadaan ini.

    Namun, hampir 50% penghidap diabetes mengalami masalah tertentu pada kulit mereka, dan salah satunya ialah dermopati diabetes.

    Antara tanda atau simptom yang dapat dilihat ialah kemunculan luka atau tompok kecil pada kulit yang berbentuk lonjong.

    Ia biasanya berwarna kemerah-merahan atau kecoklatan.

    Gangguan ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh, namun lebih kerap berlaku pada bahagian kulit tulang kering anda.

    Mereka yang telah berusia lebih kerap mengalami keadaan ini disebabkan faktor sudah lama menghidap penyakit diabetes.

    Tompok pada kulit ini mungkin akan hilang atau menjadi kekal. 

    Simptom-simptom dermopati diabetik

    dermopati diabetik

    Simptom yang dialami oleh pesakit diabetes mungkin akan berbeza-beza mengikut individu.

    Namun, ciri utama keadaan kulit ini ialah kemunculan tompok-tompok berbentuk lonjong dengan warna kecoklatan atau kemerahan.

    Selain itu, pesakit diabetes juga akan mengalami luka atau lebam yang boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh.

    Walau bagaimanapun, ia lebih biasa terbentuk di kawasan kaki bawah berdekatan tulang kering anda.

    Tompok-tompok pada kulit ini boleh muncul secara tiba-tiba tanpa anda sedari.

    Pada peringkat awal, ia akan berwarna merah muda, kecoklatan atau ungu.

    Anda boleh merasakan permukaan yang sedikit bersisik pada kawasan tompok ini apabila disentuh.

    Bahagian tengah tompok pula mungkin kelihatan lebih dalam berbanding bahagian tepi tompok.

    Seiring peredaran masa, tompok-tompok ini akan berkembang menjadi kecoklatan dan berbentuk lonjong.

    Mungkin ramai pesakit diabetes akan berasa cemas saat mereka melihat tompok ini pada kulit mereka.

    Namun, keadaan ini sebenarnya tidaklah berbahaya. 

    Punca yang menyebabkan dermopati diabetes

    dermopati diabetik

    Punca sebenar yang menyebabkan keadaan kulit ini tidaklah diketahui dengan pasti setakat ini.

    Namun, terdapat beberapa teori berkenaan bagaimana ia boleh berlaku.

    Persatuan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) menyatakan bahawa, penyakit diabetes boleh menyebabkan sedikit perubahan berlaku pada pembuluh darah kecil atau kapilari.

    Perubahan ini mungkin turut memberi kesan terhadap pembuluh darah yang berada di sekitar kaki anda.

    Selain itu, terdapat juga teori yang menyatakan faktor pemulihan luka yang lambat disebabkan kurangnya aliran darah ke bahagian kaki.

    Ia juga mungkin berlaku disebabkan kerosakan saraf akibat penyakit diabetes.

    Tompok-tompok pada kawasan tulang kering kaki biasanya boleh muncul disebabkan kecederaan yang berlaku pada kaki.

    Kecederaan ini mungkin telah memicu respons tubuh yang berlebihan, terutamanya dalam kalangan pesakit diabetes dengan gejala yang tidak terkawal.

    Penyakit diabetes yang tidak terkawal ini boleh menghalang aliran darah yang lancar ke bahagian tubuh yang lain.

    Lama-kelamaan, keadaan ini boleh mengganggu kemampuan tubuh untuk menyembuhkan luka dengan berkesan.

    Kesannya, muncullah luka atau tompok yang kelihatan seperti lebam pada kulit. 

    Diagnosis dan rawatan dermopati diabetik

    Apabila anda berjumpa dengan doktor, perkara pertama yang akan dilakukan olehnya adalah dengan melihat keadaan kulit anda.

    Doktor akan melihat bentuk, warna, saiz dan lokasi tompok ini terjadi untuk menentukan puncanya.

    Sekiranya doktor mengesyaki terdapat masalah lain yang menyebabkan keadaan ini, doktor mungkin akan mengesyorkan ujian biopsi kulit dengan menguji sampel kulit anda.

    Bagi kaedah rawatan pula, tidak terdapat kaedah atau cara khusus yang digunakan untuk mengubati keadaan ini.

    Tompok ini akan menghilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa bulan.

    Ada juga pesakit diabetes yang mengambil masa lebih dari setahun untuk ia benar-benar hilang.

    Malah, ada juga tompok yang akan kekal pada kulit selama-lamanya.

    Walaupun anda tidak boleh mempercepatkan proses untuk menghilangkannya, namun anda boleh mengawal keadaan ini.

    Sekiranya kulit anda berasa agak kering atau bersisik, cuba sapukan gel atau krim pelembap untuk memperbaiki keadaan kulit anda.

    Gunakan produk yang mengandungi kolagen atau gliserin.

    Kajian menunjukkan bahawa, produk yang mempunyai bahan-bahan ini boleh mengembalikan warna kulit kepada warna asalnya.

    Selain itu, perkara yang paling penting bagi pesakit diabetes adalah dengan mengawal paras gula darah setiap masa.

    dermopati diabetik

    Amalkan gaya atau corak pemakanan yang sihat dan bernutrisi.

    Jangan lupa untuk sentiasa mengekalkan gaya hidup yang aktif dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. 

    Kawal gula darah setiap masa untuk elak dermopati diabetes

    Perkara terpenting untuk anda mengelakkan dermopati diabetik ini daripada terjadi adalah dengan mengawal gula darah.

    Ia bukan sahaja boleh mengelakkan dermopati diabetik ini daripada berlaku, malah boleh menghindarkan pelbagai komplikasi diabetes yang lain.

    Dengan mengawal gula darah, ia mungkin tidak akan menghilangkan tompok pada kaki anda secara terus, tetapi boleh mencegah daripada munculnya tompok-tompok baharu pada masa akan datang. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan