backup og meta

Gelembung Air Pada Jari Tangan? 9 Keadaan Ini Antara PUNCANYA

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/01/2023

    Gelembung Air Pada Jari Tangan? 9 Keadaan Ini Antara PUNCANYA

    Berasa pelik apabila muncul gelembung air pada jari tangan? Dalam perkongsian artikel ini, anda akan mengetahui antara punca kulit menggelembung berisi air boleh berlaku.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu gelembung air pada jari tangan?

    Gelembung air atau lebih dikenali sebagai lepuh ini boleh muncul pada mana-mana bahagian tubuh termasuklah tangan. 

    Umumnya, lepuh pada tangan menyakitkan, tidak menyelesakan dan boleh mengganggu tugasan harian. 

    Lepuh pada lapisan kulit paling atas ini adalah gelembung berisi cecair – sama ada darah, nanah atau bahagian berair dengan darah yang dikenali sebagai serum.

    Anda tidak disarankan untuk memecahkan lepuh melainkan atas nasihat doktor kerana boleh mengakibatkan kulit di bawahnya mengalami jangkitan.

    Gejala dan simptom kulit menggelembung berisi air

    Ia kelihatan seperti poket cecair kecil, sederhana atau besar yang boleh dilihat pada lapisan kulit atas. Biasanya terbentuk di tapak tangan atau sisi jari.

    Gelembung ini boleh menjadi amat menyakitkan apabila disentuh dan kulit sekitarnya boleh menjadi gatal dan bersisik.

    Baca juga: 

    Punca gelembung air pada jari tangan

    Berikut antara faktor lepuh boleh terjadi:

    Kerengsaan 

    Kulit boleh melepuh jika terkena beberapa bahan kimia atau alergen. Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai dermatitis kontak.

    Bahan kimia yang boleh mengakibatkan lepuh pada tangan termasuklah:

  • Pelarut
  • Bahan pencuci
  • Beberapa kosmetik
  • Nikel sulfat
  • Agen kimia – seperti gas mustard yang digunakan dalam peperangan
  • Jangkitan 

    Jika wujud lepuh pada tangan, dapatkan pemeriksaan doktor. Ia mungkin disebabkan oleh cacar air atau impetigo.

    Melecur boleh jadi punca gelembung air pada jari tangan

    Sesiapa sahaja boleh mendapat lepuh apabila terdedah kepada selaran matahari yang teruk, menyentuh permukaan panas atau terlalu dekat dengan api.

    Lepuh disebabkan melecur atau terbakar ini boleh berlaku mengikut kadar keterukan luka.

    Geseran 

    Geseran berulang pada kulit juga boleh menjadi punca lepuh.

    Lepuh geseran ini berlaku disebabkan tindakan berulang atau peningkatan tekanan pada permukaan kulit terhadap objek – contohnya, mengangkat berat tanpa pakai sarung tangan.

    gelembung air pada jari tangan

    Ubatan 

    Sesetengah ubatan preskripsi boleh menyebabkan tindak balas dalam badan yang mengakibatkan kulit melepuh

    Pastikan anda merujuk doktor jika melihat gelembung pada kulit selepas pengambilan ubat dan maklumkan sebarang tindak balas pada ubat terdahulu.

    Penyebab gelembung air pada jari tangan #Cuaca sejuk

    Kesejukan melampau turut boleh mengakibatkan anda mengalami lepuh pada tapak tangan, jari dan bawah lengan.

    Ia terjadi apabila seseorang terdedah kepada cuaca sejuk berterusan, chillblains – bengkak merah, kecil dan gatal pada belakang dan tepi jari akan muncul. Bengkak ini boleh berkembang menjadi lepuh dalam kes yang teruk.

    Diabetes

    Penghidap diabetes yang teruk boleh mengalami lepuh pada tangan atau bawah lengan. Ia biasanya tidak menyakitkan dan akan sembuh dengan sendiri. 

    Ekzema dishidrotik

    Individu yang mengalami masalah kulit dishidrotik akan mengalami lepuh kecil dan gatal pada tangan dan tepi jari. Ia juga boleh muncul pada tapak kaki.

    Kegatalan yang dialami disebabkan dishidrotik boleh menjadi teruk.

    Keadaan ini dikatakan tiada penawarnya. Ia akan muncul dan hilang dalam masa 2-3 minggu.

    gelembung air pada jari tangan

    Kulit menggelembung berisi air disebabkan #Ekzema alahan

    Merupakan keadaan kulit alahan biasa yang boleh mengakibatkan lepuh bersama dengan gejala lain seperti rasa kegatalan, mengelupas dan pecah.

    Pemeriksaan doktor 

    Walaupun kebanyakan kes kulit menggelembung berisi air akan sembuh sendiri, namun anda mungkin perlu berjumpa doktor dalam beberapa situasi seperti:

    • Suntikan tetanus terakhir adalah lebih 10 tahun yang lalu
    • Mengalami bengkak pada nodus limfa sejak lepuh muncul
    • Peningkatan bengkak dan kesakitan pada kawasan terjejas
    • Melihat tanda jangkitan seperti kehadiran nanah, kulit terasa panas dan merah pada bahagian lepuh atau demam

    Rawatan untuk gelembung air timbul pada jari tangan

    Lepuh yang disebabkan masalah kesihatan memerlukan rawatan khas. Jika lepuh tidak pecah, lindunginya dengan pembalut (bandage) – pastikan balutan tidak terlalu ketat.

    gelembung air pada jari tangan

    Jika lepuh telah pecah, cuci bahagian tersebut menggunakan air suam dan sabun lembut. Jangan kopek kulit. Sebaliknya balut bekas lepuh itu dengan pembalut yang telah disteril.

    Doktor boleh menggunakan antara kaedah berikut untuk merawat anda:

    • Mengeringkan lepuh besar
    • Antihistamin
    • Krim antigatal
    • Salap penekan imun (Immune-suppressing)

    Justeru, adalah lebih baik untuk anda tidak mencuba memecahkan gelembung air di rumah. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

    Tuntasnya 

    Sememangnya kulit menggelembung berisi air boleh mengakibatkan rasa sakit dan ketidakselesaan, tetapi umumnya, ia tidak berbahaya.

    Apabila seseorang mendapat lepuh, mereka tidak harus cuba untuk memecahkannya kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan. Jika gelembung air ini pecah dengan sendirinya, bersihkan dan tutup dengan pembalut.

    Pastikan anda membuat pemeriksaan doktor jika wujud tanda jangkitan atau mengalami sakit mahupun bengkak yang teruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan