Trikomoniasis, juga disebut sebagai trich, tergolong dalam kalangan penyakit kelamin (STD) yang kerap berlaku. Trikomoniasis pada wanita ini juga jarang bergejala dan menimbulkan masalah.
Trich disebabkan oleh parasit bersel satu yang kecil bernama Trichomonas vaginalis.
Individu yang aktif secara seksual dan kerap bertukar pasangan mempunyai risiko untuk dijangkiti penyakit ini.
STD ini lebih banyak menjangkiti golongan wanita berbanding lelaki, secara spesifiknya, wanita lebih berusia.
Namun, jika ia tidak dirawat, peluang anda untuk mendapat atau menyebarkan STD lain, termasuk HIV adalah tinggi!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Simptom
Trikomoniasis pada wanita, apa simptomnya?
Seperti yang telah dikongsikan, trich sering kali tidak bergejala.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) melaporkan, hanya 30% individu yang dijangkiti trich melaporkan mengalami gejala.
Dalam 1 kajian, 85% wanita tidak mengalami sebarang gejala! Jika wujud simptom, ia sering bermula 5 hingga 28 hari selepas dijangkiti.
Namun, bagi sesetengah orang pula, ia boleh memakan masa yang lebih lama.
Antara simptom yang paling biasa berlaku dengan trikomoniasis pada wanita ini, merangkumi:
- Pendarahan atau spotting faraj
- Sensasi terbakar di sekitar alat sulit atau gatal-gatal
- Berlaku kemerahan atau pembengkakan kemaluan
- Kerap membuang air kecil
- Rasa sakit semasa kencing atau melakukan hubungan seksual
- Alami keputihan berwarna; putih, kelabu, kuning, atau hijau, dan biasanya disertai bau yang tidak menyenangkan
Bagi golongan lelaki pula, antara gejala yang kerap dialami adalah:
- Keluar lelehan dari uretra
- Sensasi terbakar semasa kencing atau selepas ejakulasi
- Kerap membuang air kecil
Punca
Trikomoniasis pada wanita, apakah punca-puncanya?
Trich biasanya akan berjangkit melalui hubungan seks dengan seseorang yang telah memilikinya.
Biasanya, ia merebak melalui penetrasi zakar dan faraj. Tapi, wanita yang terlibat dengan hubungan songsang dan bersenggama dengan wanita lain juga boleh dijangkiti trich melalui hubungan seks faraj.
Trikomoniasis pada wanita ini biasanya berlaku dibahagian vulva, faraj, serviks, atau uretra.
Kaum Adam pula biasanya dijangkiti di bahagian uretra. Ia juga boleh terbentuk di prostat, kelenjar di antara pundi kencing dan zakar.
Untuk makluman, amat jarang untuk trich menjangkiti bahagian badan lain, seperti tangan, mulut, atau dubur.
Tambah lagi, sesiapa sahaja yang mempunyai trich membawa risiko menyebarkannya, walaupun mereka tidak mengalami sebarang gejala.
Faktor risiko
Menurut American Sexual Health Association (ASHA) dan CDC, sebanyak 1 juta kes trich baharu dianggarkan setiap tahun!
Penyakit kelamin ini lebih kerap berlaku pada golongan wanita berbanding lelaki, dan 2.3 juta wanita yang dijangkiti berusia dalam lingkungan 14 hingga 49 tahun.
Pun begitu, ia lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita yang lebih tua. 1 kajian menunjukkan, kes positif yang paling banyak berlaku datang daripada kumpulan umur lebih daripada 50 tahun.
Risiko penularan boleh meningkat apabila anda mempunyai:
- Pasangan seksual yang berbeza-beza
- Sejarah STD yang lain
- Sudah pernah dijangkiti trich
- Terlibat dengan hubungan seks tanpa kondom atau kaedah kontraseptif lain
Diagnosis & rawatan
Bagaimana trikomoniasis pada wanita didiagnosis & dirawat?
Gejala trich sama dengan STD lain dan ia tidak dapat didiagnosis berpandukan simptom sahaja.
Untuk mendiagnosis trich, ujian akan merangkumi:
- Ujian untuk mengesan DNA Trichomonas
- Cell cultures
- Ujian antigen
- Pemeriksaan sampel cecair faraj, uretra, atau air kencing di bawah mikroskop
Rawatan
Perubatan untuk trikomoniasis tidaklah serumit disangka, ia dapat disembuhkan dengan penggunaan antibiotik.
Doktor juga mungkin akan mengesyorkan metronidazole atau tinidazole.
Peringatan! Jangan minum alkohol selama 24 jam pertama setelah mengambil metronidazole atau 72 jam pertama selepas mengambil tinidazole.
Ia boleh menyebabkan rasa mual dan muntah yang teruk.
Pastikan pasangan seksual anda turut diuji dan mengambil ubatan yang sama. Tidak mempunyai simptom tidak bermaksud mereka tidak mengalaminya!
Di samping itu, anda harus mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang hubungan seksual selama seminggu setelah anda dan pasangan dirawat.
Baca juga: