Setiap kali berbicara mengenai klimaks lelaki, kita sering sahaja beranggapan bahawa terpancutnya air mani adalah petanda sudah mencapai puncak syahwat bukan?
Ya, kenyataan itu mungkin ada benarnya. Namun anda juga perlu tahu bahawa terdapat 4 fasa orgasma lelaki dan ada sesetengah kaum Adam yang mampu mencapainya berkali-kali!
Terkejut bukan? Usah berlengah lagi, jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk belajar 4 fasa klimaks lelaki.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Serba sedikit mengenai klimaks lelaki
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, haruslah kita berkenalan terlebih dahulu dengan apa yang berlaku pada tubuh badan lelaki ketika mengenali orgasma.
Klimaks lelaki adalah satu sistem yang sangat kompleks melibatkan pelbagai hormon, organ dan sistem saraf pada tubuh badan.
Hormon testosteron yang terhasil di dalam testis akan memainkan peranan penting bagi menghasilkan atau meningkatkan keinginan seksual (libido).
Inilah dalang kepada rangsangan seksual, ereksi dan ejakulasi zakar serta orgasma yang berlaku dalam tubuh badan seorang lelaki ketika melakukan aktiviti seksual.
Secara hipotesisnya, semakin banyak hormon testosteron yang dirembeskan, semakin hebat tenaga dan mood seorang lelaki – yang seterusnya akan memberi kesan kepada kemampuan seksual.
Berbeza dengan wanita, lelaki akan mengalami orgasma kira-kira 5 ke 10 saat sahaja berbanding wanita yang boleh mengalami klimaks sekitar 10 ke 15 saat malah mungkin lebih lama.
Persoalannya, apakah fasa-fasa yang akan berlaku ketika lelaki mencapai puncak syahwat? Teruskan pembacaan anda!
Fasa klimaks lelaki yang ramai tidak tahu
Buat anda yang belum tahu, terdapat 4 fasa klimaks orang lelaki dan orgasma adalah yang ketiga. Aspek durasi dan intensiti mungkin akan berbeza bergantung kepada lelaki namun turutannya tetap akan sama.
Berikut adalah 4 fasa puncak syahwat lelaki mengikut model William Masters dan Virginia Johnson seperti yang tertulis dalam buku Human Sexual Response:
#1. Rangsangan
Ini adalah fasa pertama yang akan berlaku setiap kali seorang lelaki mula mengorak langkah untuk melakukan aktiviti seksual bersama pasangan atau solo.
Ia adalah fasa di mana fizikal, mental dan deria lelaki menghantar isyarat kepada otak untuk melepaskan neurotrasmitter yang dikenali sebagai acetylcholine.
Inilah yang akan menjadi punca perembesan niktrik oksida kepada saluran darah dalam zakar seterusnya menyebabkan ia mengembang dan membesar.
Selain itu, fasa ini juga akan mengakibatkan perubahan pada sistem pernafasan, tekanan otot serta kantung skrotum kaum Adam.
#2. Plateau
Dalam erti kata yang lebih mudah, plateau ini adalah fasa mendatar di mana tidak berlaku banyak perubahan.
Secara terperincinya, fasa ini akan menyebabkan sebahagian tubuh badan lelaki terutamanya pelvis akan sedikit bertindak di luar kawalan.
Selain itu, akan berlaku juga peningkatan tekanan darah, suhu tubuh badan serta kadar degupan jantung (kira-kira 150 ke 175 kali dalam masa seminit).
Ketika fasa ini juga akan terkeluarlah air mazi dari lubang zakar dan akan berpanjangan sekitar 30 saat hingga 2 minit.
Ia bukan sahaja akan menyenangkan proses penetrasi kemudian malah melindungi sperma yang bakal keluar kelak ekoran tahap pH uretra yang sesuai untuknya.
#3. Orgasma
Ini adalah klimaks lelaki yang paling dinanti-nantikan oleh kaum Adam.
Ketika fasa ini berlangsung, proses ejakulasi akan berlaku tanpa terkawal akibat kontraksi dari otot zakar, otot perineum serta lubang dubur. Inilah yang menyebabkan air mani terkeluar atau terpancut.
Semasa fasa ini juga sebahagian otak akan menerima isyarat yang positif dengan setiap aksi asmara yang dilakukan. Kesannya, ia akan menyebabkan minda lelaki menjadi agak tidak ‘keruan’.
Ada yang percaya bahawa segelintir lelaki mampu mencapai orgasma lebih daripada sekali ketika fasa ini.
Ya, mungkin benar lelaki boleh mencapai orgasma lebih dari sekali.
Menurut kajian University of British Columbia di Kanada, kira-kira 10 peratus dari lelaki berusia 20-an serta 7 peratus lelaki berusia 30-an mampu mengalaminya.
Namun ia tidak boleh diukur dari pengeluaran air mani semata-mata. Ini kerana orgasma bukan hanya melibatkan ejakulasi sahaja malahan juga faktor fisiologi dan emosi.
Konklusinya, memang benar ada lelaki yang boleh orgasma berkali-kali namun adalah agak mustahil untuk mereka mengeluarkan air mani lebih dari sekali ketika fasa ini berlangsung.
#4. Pengakhiran
Akhir sekali, akan berlaku fasa pengakhiran di mana zakar lelaki akan mula hilang ereksi dan nafsu syahwat mula berkurang kerana sudah ‘puas’.
Fasa ini akan berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya 15 minit bagi lelaki muda dan lebih kurang 1 hari bagi lelaki tua sebelum mula bernafsu kembali.
[embed-health-tool-ovulation]