Tidak dinafikan, setiap suami isteri pastinya mahukan cahaya mata. Pun begitu, ada juga pasangan yang belum bersedia untuk memilikinya atas sebab tersendiri.
Disebabkan itu, mereka sering menggunakan kaedah kontraseptif semasa bersama. Antara alat pencegah kehamilan yang paling popular digunakan adalah kondom.
Namun ada dalam kalangan mereka yang masih juga mengandung. Kenapa?
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu jawapannya dengan lebih lanjut!
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.
Kenapa masih boleh hamil walau pakai kondom?
Seperti mana yang kita tahu, kondom adalah antara alat kontraseptif yang paling efektif. Menurut kajian, ia sangat berkesan mengelakkan kehamilan kira-kira 90%.
Bukan itu sahaja, ia juga ada keupayaan yang lain, iaitu kondom juga digunakan untuk mencegah pelbagai penyakit jangkitan kelamin (STD).
Persoalannya, bagaimana isteri masih boleh hamil walau suami gunakan kondom ketika bersenggama?
Jawapannya adalah mungkin kondom bocor!
Apa punca sebenar kondom bocor?
Ya, mungkin benar kondom memiliki keupayaan sekitar 90% dalam mencegah kehamilan. Pun begitu, terdapat 14% risiko di mana ia gagal ekoran kondom yang digunakan itu bocor.
Buat anda yang tertanya-tanya, berikut adalah 7 sebab kondom bocor:
- Ia tidak dihasilkan di kilang dengan sempurna
- Ia tidak disimpan pada suhu yang sesuai
- Ia digunakan selepas tarikh luput
- Ia terkoyak semasa dikeluarkan dari poket
- Saiz yang digunakan terlalu kecil atau terlampau besar
- Penggunaan minyak pelincir yang salah
- Pengguna tidak tahu cara yang betul untuk menggunakannya
Jadi, adalah sangat penting untuk kalian sebagai suami isteri tahu dan faham mengenai tatacara penggunaan kondom yang betul sebelum gunakannya.
Tatacara penggunaan kondom yang betul!
Untuk mengelakkan kondom bocor dan mengakibatkan kehamilan luar jangkaan, ini adalah beberapa perkara yang kalian wajib ambil tahu:
#1. Pastikan ia saiz yang tepat
Untuk mengukur saiz kondom yang tepat, encik suami perlu ukur panjang, lebar dan ukur lilit zakar anda semasa sedang mengalami ereksi.
Baca carta saiz yang terdapat pada label untuk mendapatkan ukuran yang paling sesuai. Jika masih ragu, sila bertanya kepada pakar.
#2. Pastikan ia belum tamat tarikh luput
Kadangkala, kita mungkin akan terlupa atau terlepas pandang tentang perkara ini ketika membelinya. Lebih-lebih lagi jika ia sudah terlalu lama disimpan.
Oleh itu, jangan terus terkam isteri anda. Sebaliknya, perhatikan dulu tarikh luputnya sebelum guna dan sila buangkan jika ia sudah luput.
#3. Gunakan minyak pelincir dengan bahan yang sesuai
Sebagai peringatan, sila gunakan minyak pelincir yang berasaskan air atau silikon bersama kondom lateks. Jangan sesekali gunakan alat yang berasaskan minyak kerana ia tinggi risiko bocor.
Dalam pada itu juga, elak dari gunakan kondom yang diperbuat daripada kulit haiwan. Untuk kepastian, gunakan yang telah diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
#4. Simpankan ia pada tempat dan suhu yang sesuai
Kondom tidak seharusnya disimpan pada suhu lebih 37°C dan kurang 0°C. Suhu yang terlampau panas atau sejuk akan meninggikan risiko kondom bocor.
Selain itu, ia perlu dilindungi daripada cahaya matahari secara langsung. Jadi, simpankan ia di tempat yang bersuhu bilik seperti di dalam laci meja.
#5. Keluarkan ia dari paket dengan berhati-hati
Dalam kebanyakan kes, kondom boleh terkoyak kerana anda terburu-buru untuk mengeluarkan ia dari paket. Lebih-lebih lagi jika ia terkena kuku, gigi atau gunting.
Jadi, sila berwaspada ketika membuka paket dan tarik ia keluar perlahan-lahan. Bersabarlah, bahagia yang sedang menanti anda itu tidak akan ke mana pun.
#6. Gunakan kondom dengan tatacara yang betul
Akhir sekali, kalian perlu tahu tatacara penggunaannya yang betul. Mula-mula, pastikan ia tidak terbalik sebelum memasangnya pada zakar.
Kemudian, sarungkannya dengan perlahan dengan wujud bahagian muncung di hadapan – bertujuan untuk menampung air mani yang keluar.
Selepas ejakulasi pula, terus keluarkan zakar dari faraj dan cabutkan ia agar air mani tidak melimpah keluar ketika ereksi mulai mengendur.
Akhir sekali, jangan sesekali menggunakan kondom yang sama banyak kali. Bak kata pepatah, pisang takkan berbuah dua kali. Begitu jugalah dengan tahap keberkesanan kondom!
[embed-health-tool-ovulation]