Virus penyakit kelamin HPV paling banyak tersebar melalui hubungan intim atau seksual. Hampir kesemua individu yang aktif secara seksual mengalami jangkitan ini.
Sebilangan besar jangkitan HPV mampu hilang dengan sendirinya tanpa kehadiran sebarang gejala, tetapi sesetengah strain virus ini boleh bertukar menjadi barah!
Virus HPV ini telah menyebabkan hampir kesemua kanser serviks serta 95% barah dubur, sekurang-kurangnya separuh daripada kanser faraj dan vulva dan sekitar satu pertiga daripada kanser zakar.
Salah satu jenis barah berkaitan HPV yang paling cepat terbentuk adalah kanser orofaring, yang berlaku di bahagian belakang tekak.
HPV juga menyebabkan kira-kira 70% kes kanser orofaring di Amerika Syarikat, dan ini adalah sejenis barah yang cenderung terjadi daripada HPV oral, terutamanya strain HPV-16.
Jangkitan papillomavirus manusia, atau HPV, terus menjadi jangkitan menular seksual yang paling banyak berlaku lebih-lebih lagi di A.S, menurut laporan Centers for Disease Control and Prevention (CDC).
Jangkitan HPV oral
Virus ini merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan mereka yang dijangkiti HPV di kawasan kemaluan pula adalah disebabkan hubungan seksual.
Begitu juga dengan HPV oral, jika anda terlibat dengan seks oral, anda mungkin akan dijangkiti virus ini di mulut atau tekak.
HPV oral biasanya tidak bergejala. Ini bermakna, pesakit sering tidak menyedari mempunyai jangkitan dan kurang cenderung untuk mengambil langkah pencegahan.
Dalam kes yang jarang berlaku, HPV jenis ini berupaya membentuk kanser orofaring!
Sekiranya anda menghidap kanser ini, sel-sel barah bakal terbentuk di tengah kerongkong, termasuk lidah, tonsil, dan dinding faring.
Sel-sel ini boleh terbentuk daripada HPV oral. Untuk makluman, antara simptom awal kanser orofaring merangkumi:
- Kesukaran menelan
- Sakit telinga yang berterusan
- Batuk darah
- Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
- Pembesaran kelenjar nodus limfa
- Sakit tekak yang berterusan
- Benjolan di pipi
- Ketumbuhan atau benjolan di leher
- Suara menjadi serak
HPV oral berlaku apabila virus masuk ke dalam badan, selalunya melalui luka kecil di dalam mulut.
Lelaki berisiko 3 kali ganda terkena HPV berbanding wanita?
Untuk menjawab persoalan utama perkongsian ini, sama ada golongan lelaki mempunyai risiko sebanyak 3 kali ganda terkena HPV berbanding wanita, jawapan pendeknya adalah ya!
Melebihi kaum Hawa sebanyak 3 kali ganda di A.S, lelaki mengalami jangkitan mulut HPV, virus yang bertanggungjawab menyebabkan 31 ribu kes kanser baru setiap tahun, menurut satu kajian baharu!
Pun begitu, puncanya masih tidak jelas mengapa lelaki dengan jangkitan HPV genital lebih cenderung membentuk HPV oral ketika meningkat usia, manakala senario yang sebaliknya terjadi kepada golongan wanita.
Penyelidikan yang dibiayai oleh Institut Kanser Nasional, mendapati bahawa kira-kira 11.5 juta lelaki dan 3.2 juta wanita mengalami jangkitan HPV oral pada waktu tertentu dalam hayat mereka.
Strain dengan risiko tertinggi, HPV-16, dikesan pada 1.8% lelaki dan 0.3% wanita yang berusia antara 18 ke 69 tahun, bersamaan dengan kira-kira 1.7 juta lelaki dan 270,000 wanita.
1 kajian yang dikeluarkan oleh American Society of Clinical Oncology dalam jurnal Persatuan Perubatan Amerika telah mendapati, 10.1% lelaki dijangkiti 1 jenis HPV atau yang lain, berbanding dengan hanya 3.6% wanita.
Sebab di sebalik kadar statistik yang lebih tinggi dalam kalangan lelaki juga tidak jelas, walaupun kaum Adam dalam kajian ini dikatakan cenderung mempunyai bilangan pasangan seks yang lebih tinggi berbanding wanita.
Namun, statistik tersebut hanya menyumbang kepada 16% daripada perbezaan prevalence virus antara jantina.
1 teori yang diketengahkan adalah perbezaan hormon pada wanita mungkin berperanan sebagai ‘pelindung’.
Manakala, spekulasi lain mengatakan seks oral pada wanita mampu menyebabkan kadar penularan yang lebih tinggi.
Malangnya, tiada rawatan khusus untuk penyakit kelamin HPV, tetapi dalam kebanyakan kes, sistem imunisasi badan dapat melawan jangkitan daripada bertambah parah.
Pun begitu, virus HPV berupaya menyebabkan ketuat genital atau membawa kepada kanser serviks, faraj dan vulva pada wanita, serta barah dubur dan mulut bagi kedua-dua jantina.
Vaksin penyakit kelamin HPV
Vaksinasi terhadap HPV melibatkan 2 suntikan, berjarak antara 6 hingga 12 bulan bagi individu berumur dalam lingkungan 9 hingga 14 tahun.
Manakala, mereka yang berusia 15 tahun ke atas akan mendapat 3 suntikan dalam tempoh 6 bulan. Anda perlu memastikan untuk dapatkan kesemua suntikan agar vaksin itu berkesan.
Vaksin ini terbukti selamat dan berkesan, yang dapat melindungi anda daripada penyakit yang berkaitan dengan virus HPV.
Untuk makluman, sebelum ini vaksin tersebut hanya tersedia kepada individu berumur sehingga 26 tahun.
Namun, garis panduan baharu menyatakan, individu berusia antara 27 hingga 45 tahun yang belum pernah diberi vaksin HPV kini layak menerima vaksin Gardasil 9.
Dalam kajian tahun 2017 pula, jangkitan HPV oral dikatakan adalah lebih rendah sebanyak 88% dalam kalangan orang dewasa muda yang menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin HPV.
Malahan, vaksin ini juga bantu mencegah kanser orofaring yang sering dikaitkan dengan HPV!
[embed-health-tool-ovulation]