Kulit adalah pengukur hebat keadaan dalam badan anda. Namun adakah masalah kulit menandakan keadaan usus kotor? Ikuti penjelasan ini.
Baca lebih lanjut tentang Sistem Penghadaman di sini.
Masalah kulit vs keadaan usus
Dikatakan sekiranya anda mengalami masalah kulit seperti iritasi, terbakar atau kerengsaan, kemungkinan besar bermakna berlaku ketidakseimbangan pada usus anda.
Secara umumnya, kulit adalah organ terbesar pada badan kita. Ia adalah salah satu sistem utama untuk tubuh mengeluarkan racun dan sisa.
Di samping itu, kulit juga merupakan barisan pertahanan pertama kita terhadap bakteria dan patogen berbahaya.
Hampir semua keadaan kulit boleh dikaitkan dengan kesihatan usus.
Pun begitu, untuk mendiagnosis sama ada keadaan kulit anda adalah disebabkan oleh masalah pencernaan atau tidak, ia amat sukar untuk dilakukan.
Dalam sesetengah kes, hubung kait keduanya jelas, misalnya jika anda minum susu, ia mencetuskan senak perut, gatal-gatal, ruam atau ekzema.
Tetapi, ada juga kes di mana kaitan antara usus dan masalah kulit sukar untuk ditentukan.
Usus kotor punca masalah kulit?
Pasti anda ingin mengetahui bagaimana usus oleh mempengaruhi keadaan kulit, kan?
Pada dasarnya ia berfungsi sama seperti cara usus berinteraksi dengan otak. Bermakna usus juga turut berhubung dengan kulit melalui usus – paksi kulit (gut-skin axis).
Laluan itu membolehkan usus dan kulit saling berinteraksi, terutamanya menerusi mikrobioma.
Banyak keadaan kulit mempunyai simptom yang serupa dengan keadaan usus dan kedua-duanya sering berkait rapat serta saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Oleh itu, jika usus kotor atau tidak seimbang, kulit adalah salah satu tempat pertama yang akan menunjukkan gejala, seperti muka berjerawat.
Kajian berkaitan usus dengan masalah kulit
Dalam penyelidikan menunjukkan sehingga 34% individu yang menderita sindrom iritasi usus (IBS) mengalami masalah kulit.
Usus yang bocor bererti badan tidak dapat menyerap dan menggunakan nutrien, vitamin dan mineral penting menjadikan kulit kuat dan sihat.
Pada masa yang sama, jika keadaan usus bocor dan LPS (endotoksin) berjaya masuk ke aliran darah, ia akan dihantar ke hati untuk diproses.
Situasi itu, secara tidak langsung akan memberikan beban tambahan pada hati.
Ini kerana pada masa yang sama, hati sudah mempunyai banyak tanggungjawab seperti mengendalikan bahan kimia persekitaran dan makanan.
Maka, apabila hati terlalu terbeban, kulit akan mengambil alih peranan untuk menyingkirkan sebilangan toksin ini daripada badan.
Beban tekanan berlebihan
Berdasarkan kajian, kesihatan usus dan tekanan boleh memberikan kesan negatif terhadap pelindung kulit yang berfungsi sebagai penghalang antimikroba.
Pada akhirnya, situasi tersebut menyebabkan masalah kulit akan bertambah teruk.
Untuk menyembuhkan kulit, penting sekali anda menyembuhkan usus. Ia seperti menyuburkan kebun dengan baja dan nutrien penting.
Dalam kes usus kotor dan bermasalah ini sudah tentu melibatkan bakteria bermanfaat seperti Bifidobacterium, Lactobacillus dan Streptoccocus.
Muka berjerawat dan keadaan usus
Jerawat adalah keadaan yang kompleks, jadi penting untuk memahami penyebabnya – ia boleh menjadi sebab hormon atau pencernaan, atau gabungan kedua-duanya.
Jerawat punca hormon
Ia biasanya berlaku disebabkan peningkatan tahap hormon. Selain itu kepekaan terhadap testosteron atau androgen lain juga menyumbang kepada jerawat.
Terlalu banyak testosteron dalam badan (atau kepekaan terhadapnya) merangsang kelenjar sebum di kulit, menyebabkan pengeluaran minyak dan pori-pori tersumbat.
Walaupun ini sering berlaku semasa akil baligh, ia juga dapat mempengaruhi wanita pada pertengahan kitaran haid ketika kepekatan hormon berubah dengan cepat dan kadar estrogen menurun.
Hormon pencetus jerawat lain adalah kortisol – hormon stres kita, yang dapat mempengaruhi keseimbangan bakteria dalam usus.
Keadaan tersebut akan menekan sistem imun dan menyebabkan keradangan kulit – akhirnya jadi punca kulit muka berjerawat.
Jerawat punca saluran pencernaan
Kaitan rapat antara kesihatan usus, hormon dan jerawat adalah sesuatu yang unik.
Sebagai contoh, hormon estrogen dan progesteron. Kedua-duanya boleh mempengaruhi kelajuan makanan dicerna dan bergerak di sepanjang saluran pencernaan.
Oleh sebab itu, wanita yang didatangi haid boleh mengalami kembung perut, cirit-birit dan/ atau sembelit.
Usus juga memainkan peranan penting dalam penyingkiran estrogen oleh badan.
Apabila sistem penyingkiran perlahan disebabkan masalah sembelit, atau hati terbeban kerana tahap toksin yang tinggi dalam aliran darah, penyingkiran dan metabolisma untuk estrogen menurun.
Akhirnya keadaan itu mengakibatkan berlakunya ketidakseimbangan hormon.
Jumlah estrogen yang tinggi adalah keadaan biasa dialami kebanyakan wanita dan gejala bertambah buruk pada separuh kedua kitaran haid mereka.
Dalam bahasa mudahnya, ia bermaksud tahap estrogen berada pada jumlah yang lebih tinggi berbanding progesteron.
Kesannya, berlakulah masalah seperti:
- Muka berjerawat
- Kembung perut pramentruasi
- Kekejangan perut
- Perubahan emosi
- Metabolisma badan lemah
- Sakit kepala
- Keinginan untuk makan makanan manis
Atasi masalah kulit
Cara paling mudah untuk mengelakkan keadaan usus kotor atau bocor yang menjadi punca kepada kulit bermasalah adalah dengan mengambil makanan kaya probiotik dan prebiotik.
Antara contoh makanan yang mengandungi probiotik adalah:
- Kefir
- Sup miso
- Kimchi
- Tempe
- Yogurt
Manakala makanan tinggi prebiotik pula contohnya:
- Madu
- Bawang putih
- Epal
- Pisang
- Asparagus
Jadi jika mahukan kulit yang cantik, ia harus bermula dengan menjaga kesihatan usus anda. Kena jaga pemakanan, okay?
[embed-health-tool-bmr]