backup og meta

Diabetes Jenis 1: Jangan Ambil Mudah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Chooi Kheng Chiew · Endokrinologi · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/04/2022

    Diabetes Jenis 1: Jangan Ambil Mudah

    Kita mengetahui tentang kewujudan penyakit diabetes yang merupakan antara penyakit popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun tahukah anda sebenarnya penyakit diabetes ini boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2. Dan agak membimbangkan apabila penyakit diabetes jenis 1 kurang mendapat pendedahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

    Apa itu Diabetes jenis 1

    Definisi

    Diabetes jenis 1 terjadi apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel dalam pankreas yang dipanggil sel beta iaitu sel yang menghasilkan insulin. Untuk pengetahuan umum, kewujudan insulin dalam badan adalah penting bagi proses penghasilan tenaga daripada glukos. Tanpa insulin, glukos akan memasuki darah dan akan menyebabkan berlakunya peningkatan gula dalam darah atau hiperglisemia yang boleh mengakibatkan berlakunya;

    • Dehidrasi – gula yang berlebihan dalam darah akan membuatkan pesakit kerap kencing dan secara tidak langsung akan membuangkan sejumlah air dalam badan.
    • Turun berat badan – glukos yang keluar ketika proses kencing akan turut membawa kalori bersama sekaligus menyebabkan penurunan berat badan.
    • Diabetic ketoacidosis – sistem dalam badan akan memecahkan lemak apabila kekurangan glukos yang akan menghasilkan bahan kimia dipanggil Ketones.
    • Membahayakan badan – kandungan glukos dalam darah boleh merosakkan saraf dan saluran kecil darah pada bahagian mata, buah pinggang dan hati.

    Siapa yang mudah terdedah kepada penyakit ini?

    Nama lain bagi diabetes jenis 1 adalah diabetes bersandar insulin (Insulin Dependent). Ia turut dikenali sebagai diabetes awal remaja, penyakit ini mudah didapati pada kanak-kanak dan juga remaja. Berbanding dengan Malaysia, penyakit ini lebih kerap dikesan dan mendapat kesedaran lebih luas di Barat.

    Simptom

    Secara umumnya penyakit diabetes ini disebabkan oleh faktor genetik. Selain itu ia boleh menyerang apabila terdapat sesuatu faktor seperti virus mengarahkan sistem imunisasi badan untuk menganggu sistem pankreas. Serangan ini dikenali sebagai autoantibodi.

    Tanda-tanda awal

    • Lebih kerap rasa dahaga berbanding kebiasaan.
    • Sentiasa berasa lapar terutama selepas makan.
    • Mulut kering.
    • Loya dan muntah.
    • Sakit di bahagian perut.
    • Kerap kencing.
    • Kehilangan berat badan.
    • Keletihan.
    • Pandangan kabur.
    • Jangkitan urin.

    Mungkin terdapat simptom dan tanda-tanda lain yang tidak disebutkan. Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai tanda-tanda ini, sila berjumpa dengan doktor anda.

    Kesan dan akibat

    Mereka yang menghidap penyakit ini boleh hidup seperti normal selagi mereka menerima suntikan insulin dan boleh mendatangkan bahaya jika mereka tidak mendapat suntikan insulin walaupun hanya dalam tempoh yang singkat.

    Pesakit diabetes ini memerlukan beberapa suntikan insulin setiap hari atau menggunakan pam insulin untuk seumur hidup.

    Bagaimana ia didiagnosis?

    Sekiranya doktor berfikir bahawa anda berkemungkinan menghidapi penyakit diabetes ini, pemeriksaan paras gula dalam darah akan dilakukan. Selain itu,pemeriksaan pada air kencing juga boleh dilakukan untuk menguji sama ada terdapat glukos atau bahan kimia yang diproses oleh badan apabila badan anda tidak mempunyai insulin yang mencukupi.

    Buat masa sekarang, masih tidak terdapat sebarang kaedah atau cara untuk mencegah diabetes bersandarkan insulin ini.

    Kaedah rawatan

    Ramai pesakit yang menghidapi diabetes jenis 1 ini mampu hidup dengan sihat. Kunci kesihatan yang paling penting adalah perlu menjaga kadar gula dalam darah dengan suntikan insulin mengikut kadar yang diberikan doktor.

    Bahaya tanpa rawatan

    Jika kawalan diabetes tidak dilakukan dengan baik, ia boleh mendatangkan masalah serius sehingga boleh mengancam nyawa. Antara masalah yang boleh terjadi adalah:

    • Retinopati – Masalah berkaitan mata.
    • Kerosakan buah pinggang – Dikenali sebagai Nefropati. Ia berkemungkinan besar muncul selepas 15 hingga 25 tahun bermulanya diabetes. Boleh menyebabkan masalah serius lain seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung.
    • Peredaran darah yang teruk dan kerosakan saraf – Saraf yang rosak dan arteri yang keras boleh mengakibatkan hilangnya deria sentuhan dan kekurangan darah pada kaki anda. Ini membuka peluang lebih luas untuk anda mudah mengalami kecederaan dan menjadikan lebih sukar untuk luka sembuh sekaligus boleh menyebabkan kehilangan anggota badan.

    Ubah gaya hidup untuk lebih sihat

    Senaman adalah penting untuk merawat diabetes jenis 1 ini. Tetapi ia tidak semudah seperti keluar dari rumah dan terus berlari. Anda perlu mengimbangi dos insulin dan makanan yang anda makan bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dilakukan, walaupun sekadar tugas mudah di dalam rumah atau sekitar halaman rumah.

    Semak kadar gula dalam darah sebelum, semasa dan selepas menjalankan sebarang aktiviti untuk mengenal pasti bagaimana ia memberi kesan kepada anda.

    Anda juga perlu memahami bagaimana makanan boleh menjejaskan gula dalam darah anda. Apabila anda mengetahui tentang peranan karbohidrat, lemak dan protein, anda pasti dapat membina satu pelan pemakanan sihat yang membantu mengekalkan paras gula anda di tahap yang sepatutnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Chooi Kheng Chiew

    Endokrinologi · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan