Perut kembung dan buncit? Eh, muda-muda lagi sudah ada ‘spare tyre’ dekat perut. Malulah, kan!
Tidak dinafikan, perut buncit merupakan masalah yang dialami kebanyakan orang. Tetapi, apakah sebab utama yang membawa perut menjadi buncit?
Perut buncit boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
Cuba ingat balik, bilakah kali terakhir anda bersenam? Bukan itu sahaja, tekanan perasaan dan juga diet yang tidak seimbang juga boleh membuatkan organ ini menjadi kembung dan buncit.
Tetapi, tahukah anda bahaya sebenar perut buncit serta apa bezanya dengan perut kembung? Jom ikuti penjelasan kami di dalam artikel ini untuk tahu lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Perut kembung dan buncit, apa bezanya?
Perut kembung berlaku apabila bahagian abdomen rasa penuh disebabkan gas.
Punca sebenar perut kembung ialah sembelit. Malah, ramai orang yang tidak tahu mereka sebenarnya mengalami sembelit sehinggalah mereka berjumpa doktor.
Antara tanda-tanda sembelit yang perlu diperhatikan adalah terpaksa meneran ketika membuang air besar.
Selain itu, tinja yang nampak seperti batu-batu kecil juga merupakan antara tanda penyakit ini.
Sembelit boleh menyebabkan perut sakit dan kembung. Malah, lebih lama tinja berada di dalam usus besar, lebih banyaklah gas yang akan dilepaskan oleh bakteria melalui proses fermentasi.
Perut buncit pula berlaku disebabkan lemak visceral, sejenis lemak degil yang mengelilingi organ pada kawasan abdomen.
Lemak visceral dapat meningkatkan risiko penyakit metabolik seperti diabetes, penyakit hati berlemak, sakit jantung, PCOS dan juga apnea tidur.
Menurut Dr. W. Scott Butsch dari Cleaveland Clinic, perut buncit mempengaruhi lelaki dan perempuan dengan cara yang berbeza.
Lelaki lebih berisiko untuk mengalami masalah perut buncit berbanding wanita.
Namun, setelah mencecah menopaus, wanita akan mengalami penambahan berat yang mendadak di sekeliling kawasan abdomen.
Sebab utama perut kembung dan buncit
‘Spare tyre’ yang terbentuk pada perut anda bukan berlaku dengan sekelip mata.
Perut buncit selalunya berlaku apabila lemak mula terkumpul pada kawasan abdomen dan menyebabkan perut membuncit.
Tetapi, perut buncit sukar untuk dihilangkan malah ia mungkin makan masa bertahun-tahun untuk kembali kurus. Sebab utama perut menjadi buncit adalah:
1. Diet yang tidak seimbang
Salah satu punca perut buncit adalah pengambilan makanan yang manis seperti kek, gula-gula, minuman berkarbonat dan sebagainya.
Pengambilan makanan sebegini bukan sahaja akan menyebabkan perut kembung dan buncit, malahan ia juga membuat berat badan bertambah dan memperlahankan metabolisme badan.
Selain itu, pernahkah anda dengar mengenai rintangan terhadap leptin? Sel lemak pada badan kita akan melepaskan sejenis hormon yang dikenali sebagai leptin.
Untuk pengetahuan anda, leptin merupakan hormon yang membuatkan kita rasa kenyang.
Jika anda mengalami rintangan terhadap leptin, anda akan rasa lapar sepanjang masa dan banyak makan!
2. Tidur tidak cukup punca perut buncit
Bukan makan sahaja yang boleh menyebabkan perut buncit, tidak cukup tidur juga mempunyai efek yang sama!
Sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Clinical Sleep Medicine telah mengaitkan masa tidur yang pendek dengan penambahan berat badan.
Malah, tidak cukup tidur juga boleh membuatkan anda makan secara tidak sihat lebih-lebih lagi jika anda makan pada waktu tengah malam.
Jika anda sering makan lewat malam, ketahuilah bahawa risiko anda untuk menghidap diabetes dan juga perut buncit akan meningkat!
3. Kurang melakukan senaman
Semua orang tahu kepentingan senaman yang mencukupi. Tanpa senaman, tidak mungkin kita akan mendapat bentuk badan idaman dengan badan kurus tapi perut buncit.
Jika anda mengambil lebih banyak kalori daripada apa yang badan anda bakar setiap hari, sudah tentulah berat badan akan meningkat.
Malah, gaya hidup yang tidak sihat juga menyukarkan pembuangan lemak berlebihan, terutamanya pada kawasan keliling pinggang.
4. Perut buncit disebabkan tekanan
Apa agaknya yang kebanyakan kita akan lakukan jika stres? Makan!
Tapi, sebelum anda membeli apa-apa makanan segera untuk melegakan tekanan, ingatlah bahawa amalan ini bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan, malahan ia juga akan menyebabkan perut kembung dan buncit!
[embed-health-tool-bmr]