Ramai percaya bahawa terdapat banyak kebaikan soda bikarbonat untuk kesihatan termasuk boleh membantu merawat masalah asid refluks. Adakah ia fakta atau auta?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.
Masalah asid refluks, apa anda perlu tahu?
Sebelum terus kepada kesan sampingan menggunakan soda penaik untuk merawat GERD, jom fahami terlebih dahulu tentang masalah asid refluks.
Asid refluks turut dikenali sebagai penyakit refluks gastroesophageal (GERD).
Ini adalah penyakit pencernaan kronik di mana asid perut mengalir kembali ke esofagus – saluran yang menghubungkan mulut ke perut.
Situasi asid perut yang naik kembali itu boleh merengsakan esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati.
Pedih ulu hati adalah sensasi terbakar yang boleh berlaku pada mana-mana bahagian tengah perut hingga ke kerongkong.
Simptom lain asid refluks adalah seperti:
- Alami masalah nafas berbau
- Sakit pada bahagian dada atau perut atas
- Rasa loya dan muntah
- Kesukaran atau kesakitan untuk menelan
- Gigi sensitif
- Masalah dengan pernafasan
- Rasa tidak sedap dalam mulut
- Batuk yang mengganggu aktiviti harian
Jika simptom konsisten dan bertambah buruk, ia mungkin berkembang menjadi penyakit refluks gastroesophageal.
Ini bermakna asid refluks berlaku sekurang-kurang untuk tempoh 2x seminggu, menjejaskan kehidupan seharian dan mungkin merosakkan saluran esofagus anda.
Jika anda didiagnosis dengan GERD, ikuti arahan doktor untuk mengendalikan gejala yang dialami.
Malahan sekiranya anda mengesyaki menghidap GERD, lakukan pemeriksaan segera untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang.
Pun begitu dikatakan ada rawatan di rumah, mudah yang boleh digunakan untuk merawat asid refluks, iaitu menggunakan soda bikarbonat.
Tetapi benarkah ia berkesan atau ada risiko kesan sampingan yang mungkin berlaku?
Apa kegunaan soda bikarbonat untuk kesihatan?
Sebelum menjawab persoalan tersebut, mesti ada yang ingin mengetahui, kenapa baking soda yang menjadi pilihan rawatan, kan?
Baking soda atau soda bikarbonat adalah bahan yang sama. Ia adalah kaedah yang popular untuk merawat masalah pencernaan seperti pedih ulu hati, pencernaan asid dan sakit perut.
Baking soda atau sodium bicarbonate (natrium bikarbonat) adalah garam yang terdiri daripada ion natrium dan ion bikarbonat.
Ia selalunya dilihat sebagai pepejal kristal putih atau serbuk halus. Tablet dan kapsul yang mengandungi natrium bikarbonat juga tersedia.
Ramai individu memilih menggunakan baking soda itu sebagai agen penaik, misalnya dalam pembuatan kek. Ia juga merupakan ramuan dalam produk pembersih semula jadi.
Untuk tujuan perubatan, natrium bikarbonat dapat menjadikan air kencing lebih beralkali, ia sesuai untuk individu yang mengalami masalah jangkitan saluran kencing.
Pun begitu, pengawasan daripada doktor diperlukan kerana ia berisiko memberikan kesan buruk.
Soda penaik mempunyai pH alkali, dan ia adalah ubat biasa untuk menghilangkan pedih ulu hati dan refluks asid. Ia akan meneutralkan lebihan asid perut yang menyebabkan gejala.
Walau bagaimanapun, doktor hanya akan menyarankan penggunaan sodium bicarbonate ini untuk tempoh sementara sahaja, terutamanya ketika gejala pertama kali muncul.
Ini kerana jika digunakan terlalu kerap untuk tempoh yang panjang, ia berisiko mengembangkan masalah lain apabila badan menjadi terlalu beralkali.
Lebih membimbangkan adalah baking soda adalah garam. Maka pengambilan garam secara berlebihan pastinya boleh menimbulkan masalah kesihatan lain.
Risiko kesan sampingan jika guna soda bikarbonat!
Walaupun soda penaik dapat memberikan kelegaan yang cepat, namun kaedah ini tidak sesuai untuk diamalkan setiap individu.
Kesan sampingan lazim jika mengambil natrium bikarbonat adalah:
- Gas dan kembung perut
- Peningkatan rasa haus dan dahaga
- Sakit perut dan kekejangan
- Loya
- Cirit-birit
Penggunaan soda bikarbonat berlebihan untuk jangka panjang boleh meningkatkan risiko:
- Hipokalemia, atau kekurangan darah kalium
- Hipokloremia, atau kekurangan darah klorida
- Hipernatremia, atau kenaikan kadar natrium
- Memburukkan lagi penyakit buah pinggang
- Memburukkan lagi kegagalan jantung
- Kelemahan otot dan kekejangan
- Peningkatan pengeluaran asid perut
Natrium dalam baking soda cenderung meningkatkan dehidrasi dan memburukkan gejala lain.
Lakukan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda mempunyai simptom seperti:
- Kerap kencing
- Kehilangan selera makan dan/ atau penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
- Kesukaran bernafas
- Bengkak pada anggota badan dan kaki
- Najis berdarah atau seperti tar
- Darah dalam air kencing
- Muntah yang kelihatan seperti serbuk kopi
Wanita mengandung dan kanak-kanak di bawah usia 6 tahun perlu mengelakkan penggunaan soda penaik sebagai cara untuk merawat asid refluks.
[embed-health-tool-bmr]