backup og meta

Slipped Disc: Apakah Rawatannya?

Slipped Disc: Apakah Rawatannya?

Apabila disc atau cakera di antara tulang belakang tergelincir keluar, ia berpotensi menekan urat saraf berhampiran sehingga menyebabkan rasa sakit serta boleh mengganggu fungsi urat saraf terbabit. Keadaan ini disebut sebagai slipped disc atau gelinciran cakera.

Bagaimana diagnosis slipped disc dibuat?

Individu terbabit kebiasaannya mengadu sakit belakang yang mungkin menjalar ke bahagian belakang punggung, paha dan betis. Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal untuk mengenal pasti karakter rasa sakit tersebut serta kedudukannya.

Sebagai permulaan, X-ray mungkin akan dilakukan. Dalam sesetengah kes, ujian lain seperti CT scan, myelogram dan MRI turut dijalankan bagi mengesahkan diagnosis terutamanya jika terdapat simptom yang lebih serius seperti lemah otot, kebas, serta gagal menahan air kencing dan najis.

Pembedahan mungkin diperlukan dalam kes tertentu

Slipped disc mempunyai tahap yang berbeza. Setiap tahap dirawat dengan kaedah tertentu.

Bagi kes ringan yang tidak melibatkan tekanan serius ke atas urat saraf, rawatan konservatif kebiasaannya menjadi pilihan. Pesakit dinasihatkan untuk menjaga postur badan agar duduk lurus dan tidak membongkok kerana ia akan membuatkan cakera membonjol ke luar. Kerja-kerja fizikal yang berat juga perlu dielakkan bagi mengurangkan lagi tekanan ke atas tulang belakang.

Ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit, anti-radang, dan pengendur otot mungkin diberikan untuk mengawal rasa sakit serta memudahkan pesakit menjalani aktiviti harian. Fisioterapi dan senaman bagi menguatkan otot belakang turut membantu mengawal simptom serta mempercepatkan proses pemulihan.

Bagi sesetengah pesakit, teknik lumbar traction didapati berkesan. Teknik ini dilakukan dengan menarik pinggang pesakit menggunakan pemberat bagi meregangkan ruas antara tulang belakang seterusnya mengurangkan tekanan antara tulang belakang tersebut.

Namun jika keadaan adalah lebih serius, rawatan konservatif mungkin tidak berkesan. Pembedahan diperlukan untuk membebaskan urat saraf terbabit daripada tekanan. Kes yang memerlukan pembedahan adalah kurang daripada 10 peratus.

Pembedahan tersebut dijalankan menggunakan kamera X-ray khas di dalam bilik bedah. Ia hanya melibatkan bukaan yang kecil pada kulit untuk membuang cakera yang terbabit.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sakit Belakang Angkara Slipped Disc – http://www.mmgazette.com/sakit-belakang-angkara-slipped-disc-dr-ahmad-mahyuddin/

Do I Have a Herniated Disc? – https://www.webmd.com/pain-management/do-i-have-a-herniated-disk#1

Slipped (Herniated) Disc – https://www.healthline.com/health/herniated-disk

Versi Terbaru

16/10/2018

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Muhamad Firdaus Rahim


Artikel Berkaitan

Kerap Diserang Sakit Belakang Selepas Bangun Tidur? Pakar Kongsi Petua Atasinya!

7 Nutrien Ini Perlu Ada Untuk Membina Tulang Yang Kuat, Ini Cara Untuk Anda Dapatkannya!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 16/10/2018

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan