backup og meta

Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)

Definisi

Apa itu Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Osteoporosis ialah penipisan tulang berpanjangan dan pengurangan pada kepadatan tulang (jisim tulang) menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah dengan hentakan yang minor. Pengurangan pada ketinggian dan sakit belakang adalah biasa berlaku dalam penyakit ini. Perempuan secara khususnya berisiko tinggi untuk mengalami osteoporosis selepas menopause. Tulang patah yang terkait dengan osteoporosis kebiasaannya berlaku di tulang pinggul, pergelangan tangan atau tulang belakang. Walaubagaimanapun, ia juga boleh melibatkan mana-mana tulang yang lain. Sesetengah tulang yang patah kemungkinan tidak akan pulih terutamanya jika berlaku pada tulang pinggul.

Osteoporosis adalah penyakit yang senyap dan ia mungkin tidak dapat dikenalpasti melainkan selepas berlakunya patah tulang. Ramai yang menyangka bahawa osteoporosis adalah satu proses normal penuaan dan tidak dapat dielakkan. Namun, pakar perubatan kini percaya bahawa osteoporosis boleh dielakkan. Malah mereka yang sudah menghidapi osteoporosis boleh mengambil langkah untuk menghalang atau melambatkan perkembangannya serta mengurangkan risiko patah tulang pada masa akan datang.

Apakah kebarangkalian Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Osteoporosis melibatkan lelaki dan perempuan dari semua bangsa. Tetapi orang kulit putih dan perempuan Asia – terutamanya perempuan berumur menopause – adalah paling berisiko menghidapi penyakit ini. Anda boleh mengurangkan risiko osteoporosis dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Tiada simptom yang jelas di peringkat awalnya tetapi semakin lama, simptom-simptomnya mula dikenalpasti seperti sakit belakang di bahagian bawah, sakit leher, membongkok dan hilang berat badan secara beransur. Dalam kes yang lain, tanda pertama adalah patah tulang (tulang rusuk, pergelangan tangan atau pinggul). Tulang (vertebrae) di bahagian tulang belakang boleh runtuh (menjadi leper atau terhimpit) dan patah dimana ia merupakan patah yang paling kerap berlaku. Patah tulang pinggul mengakibatkan ketidakupayaan atau kecacatan yang paling teruk.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu berjumpa doktor untuk berbincang tentang osteoporosis jika anda mengalami menopause pada umur yang lebih muda dari biasa, mengambil kortikosteroid selama beberapa bulan dalam satu masa atau ibubapa anda pernah mengalami patah tulang pinggul. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah Punca Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Pembentukan tulang yang normal memerlukan mineral kalsium dan fosfat. Jika badan kita tidak mendapatkan kalsium yang cukup dari pemakanan, pembentukan tulang dan tisu tulang akan terkesan.

Sebab utama osteoporosis adalah penuaan menyebabkan penurunan tahap estrogen bagi perempuan menopause dan penurunan tahap testosterone (hormon lelaki) bagi lelaki.

Tulang anda sentiasa dalam proses pembaharuan – tulang baru dihasilkan dan tulang lama dihapuskan. Semasa anda masih muda, badan anda menghasilkan tulang baru lebih pantas daripada ia menghapuskan tulang lama dan ini membuatkan jisim tulang bertambah. Kebanyakan orang mencapai jisim tulang maksimum pada umur awal 20-an. Semakin tua, tulang kehilangan jisimnya lebih pantas daripada kadar ia dihasilkan.

Kebarangkalian untuk anda menghidapi osteoporosis sebahagiannya bergantung kepada banyak mana anda mencapai jisim tulang ketika muda. Semakin tinggi kemuncak jisim tulang anda, semakin banyak tulang anda “di dalam bank” dan semakin kurang kebarangkalian untuk mendapat osteoporosis.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Faktor risiko termasuk kurang berat badan, cara hidup (hidup sedentari atau tidak aktif), pengambilan alkohol, merokok, masalah gangguan pemakanan, pengambil sesetengah ubat, sebahagian penyakit kronik dan rehat atau imobilisasi dalam tempoh yang lama.

Banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan osteoporosis. Sebahagiannya boleh diubah dan sebahagiannya tidak.

Faktor risiko yang tidak boleh diubah adalah:

  •    Jantina: Perempuan mengalami osteoporosis lebih kerap berbanding lelaki.
  •          Umur: Semakin tua umur, semakin tinggi risiko mendapat osteoporosis.
  •          Saiz badan: Perempuan yang kecil dan kurus mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  •          Sejarah keluarga: Osteoporosis cenderung untuk berlaku dalam kalangan keluarga. Jika seorang ahli keluarga menghidapi osteoporosis, anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit yang sama

Faktor risiko yang boleh diubah pula adalah:

  •   Hormon seks: Kadar estrogen yang rendah akibat masalah pada haid atau menopause boleh menyebabkan osteoporosis kepada perempuan. Testosteron yang rendah pula boleh mengakibatkan osteoporosis bagi lelaki.
  •          Anoreksia nervosa: Sejenis gangguan pemakanan yang boleh mengakibatkan osteoporosis.
  •          Pengambilan kalsium dan vitamin D. Diet yang kurang kalsium dan vitamin D membuatkan anda lebih cenderung kepada osteoporosis.
  •          Pengambilan ubatan. Sesetengah ubat boleh meningkatkan risiko mendapat osteoporosis.
  •          Kadar aktiviti. Kurang senaman atau rehat dalam tempoh yang lama boleh melemahkan tulang.
  •          Merokok adalah tidak sihat untuk tulang, jantung dan juga paru-paru.
  •          Pengambilan alkohol. Pengambilan yang berlebihan menyebabkan kehilangan jisim tulang dan boleh mengakibatkan patah tulang.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Kerapuhan Tulang (Osteoporosis) didiagnosis?

Ujian jisim mineral tulang (bone mineral density test) adalah cara terbaik untuk memeriksa kesihatan tulang anda. Semasa ujian yang tidak menyakitkan ini dijalankan, anda perlu baring di atas meja yang beralas dan mesin imbasan akan bergerak melalui badan anda. Dalam kebanyakan kes, hanya sebahagian tulang yang diperiksa – kebiasaannya tulang pinggul, pergelangan tangan dan belakang.

Bagaimana pesakit Kerapuhan Tulang (Osteoporosis) dirawat?

Perubahan pada gaya hidup boleh membantu mengurangkan risiko tulang patah. Perubahan tersebut termasuk senaman menampung berat (weight-bearing) dan menguatkan otot (muscle-strenthening) secara berkala, berhenti merokok, mengehadkan pengambilan alkohol dan mengambil kalsium (sekurang-kuranya 1200mg/hari) serta vitamin D (sekurang-kurangnya 800 IU/hari) dalam pemakanan. Rawatan memfokuskan pada melambatkan atau menghentikan kehilangan jisim tulang dan mengelakkan tulang patah dengan meminimakan risiko untuk jatuh.

Ubat-ubatan yang berbeza, termasuk bifosfonat seperti alendronate. Selain tiu, suplemen kalsium dan vitamin D yang mencukupi turut digunakan.

Program rawatan yang komprehensif termasuk fokus pada pemakanan yang betul, senaman dan mencegah dari jatuh yang boleh menyebabkan tulang patah. Doktor anda mungkin juga akan mempreskrip beberapa ubat yang telah terbukti membantu melambatkan atau menghentikan kehilangan pada jisim tulang atau yang membantu membina tulang baru, meningkatkan jisim tulang serta mengurangkan risiko tulang patah.

Nutrisi: Makanan yang kita ambil mempunyai pelbagai jenis vitamin, mineral, dan nutrien lain yang penting bagi mengekalkan kesihatan badan kita. Kesemua nutrien ini diperlukan dalam kadar yang seimbang. Kalsium dan vitamin D, secara khususnya diperlukan untuk menguatkan tulang.

Senaman: Senaman adalah satu komponen penting dalam pencegahan dan rawatan osteoporosis. Senaman tidak hanya meningkatkan kesihatan tulang, tapi juga menguatkan otot, koordinasi dan kestabilan yang akhirnya menjadikan kita lebih sihat secara keseluruhannya. Walaupun senaman adalah bagus untuk mereka yang menghidapi osteoporosis, ia haruslah dikawal agar tidak berlaku tekanan yang berlebihan atau mengejut pada tulang.

Ubat-ubatan: Terdapat beberapa ubat yang boleh digunakan untuk mencegah dan/atau merawat osteoporosis termasuk: bifosfonat; estrogen agonis/antagonis, kalsitonin; hormon paratiroid; terapi estrogen; terapi hormon.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kerapuhan Tulang (Osteoporosis)?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi osteoporosis:

  •          Patuhi temu janji doktor untuk memantau perkembangan simptom dan keadaan kesihatan anda.
  •          Dengar arahan doktor, jangan mengambil ubat yang tidak dipreskrip oleh doktor atau terlepas dos ubat anda.
  •          Berunding dengan ahli terapi fizikal atau pakar rehabilitasi senaman untuk menguatkan otot anda.
  •          Ambil makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D. Sila ikut amalan pemakanan yang sihat, kaya dengan makanan yang mengandungi kalsium, seperti produk tenusu, ikan, kekacang, dan sayur hijau.
  •          Jangan merokok.
  •          Elakkan pengambilan alkohol berlebihan. Pengambilan lebih daripada 2 minuman alkohol sehari boleh mengurangkan pembentukan tulang. Mabuk juga boleh meningkatkan risiko jatuh.
  •          Elakkan jatuh. Sila pakai kasut tumit rendah dengan tapak yang tidak licin dan pastikan perkara-perkara yang boleh membuatkan anda jatuh di dalam rumah dijauhkan seperti wayar elektrik, alas lantai dan permukaan licin. Pastikan bilik mendapat pencahayaan yang cukup, pasang pemegang di dalam dan luar pintu bilik mandi dan pastikan anda dapat masuk dan keluar dari bilik dengan mudah.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ferri, Fred. Ferri’s Netter Patient Advisor. Philadelphia, PA: Saunders / Elsevier, 2012. Print edition. Page 213.

Porter, R. S., Kaplan, J. L., Homeier, B. P., & Albert, R. K. (2009). The Merck manual home health handbook. Whitehouse Station, NJ, Merck Research Laboratories. Print edition. Page 544.

Osteoporosis. http://www.niams.nih.gov/Health_Info/Bone/Osteoporosis/osteoporosis_hoh.asp. Accessed July 14, 2016.

Osteoporosis. http://www.niams.nih.gov/Health_Info/Bone/Osteoporosis/overview.asp. Accessed July 14, 2016.

Osteoporosis. http://www.niams.nih.gov/Health_Info/Bone/Osteoporosis/osteoporosis_ff.asp. Accessed July 14, 2016.

Versi Terbaru

27/11/2019

Ditulis oleh Mellisa Lim

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Pastikan 5 Perkara Ini Sebelum Anda Beli Susu Untuk Orang Tua!

5 Rutin Ini Bantu Kurangkan Risiko Tulang Patah & Reput, Jom Amalkan!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Mellisa Lim · Disemak pada 27/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan