Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Tak Ada Simptom Pun Belum Tentu Selamat, 7.6 Juta Rakyat Malaysia Ada Kolesterol Tinggi
Masalah tinggi kolesterol khususnya paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-C) yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Malah, keadaan ini lazimnya tidak mempunyai gejala, menyebabkan ramai individu tidak menyedari paras kolesterol mereka sehinggalah menjalani pemeriksaan kesihatan atau mengalami masalah kardiovaskular yang serius.
Justeru, pakar menekankan bahawa pengurusan LDL-C bukan sekadar bergantung kepada gaya hidup sihat, terutama bagi individu yang mempunyai profil risiko tinggi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannyadi sini.
Tinggi kolesterol masih menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia
Bersempena Hari Jantung Sedunia, Sesi Perbincangan Meja Bulat bersama wakil media bertajuk Pastikan Ia Rendah, Pastikan Ia Stabil (Keep it Low, Keep it Stable) menekankan kepentingan memahami bagaimana kolesterol dihasilkan dan dikawal oleh tubuh.
Dianggarkan satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia, bersamaan sekitar 7.6 juta individu, mengalami masalah kolesterol tinggi, manakala empat daripada 10 mempunyai paras LDL-C yang tinggi.
Hampir separuh daripada mereka bagaimanapun tidak menyedari keadaan tersebut kerana masalah ini biasanya tidak menunjukkan gejala.
Golongan yang mempunyai risiko tinggi kolesterol dan komplikasi kardiovaskular termasuk individu yang pernah mengalami serangan jantung atau strok, menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti, mempunyai LDL-C tinggi atau beberapa faktor risiko serentak.
Punca kolesterol tinggi bukan hanya disebabkan pemakanan
Apabila membincangkan punca kolesterol tinggi, pemakanan bukan satu-satunya faktor yang perlu diberi perhatian.
Dr Lim Bee Chian, Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Sunway, Sunway City KL menjelaskan bahawa hati menghasilkan kira-kira 80% kolesterol dalam badan, manakala selebihnya diperoleh daripada sumber makanan.
Faktor biologi dan genetik juga boleh menyebabkan LDL-C kekal tinggi walaupun seseorang mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurut beliau, bagi individu berisiko tinggi, perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menurunkan LDL-C kepada sasaran yang disyorkan.
Selain pemakanan dan senaman, rawatan perubatan mungkin diperlukan untuk mencapai kawalan yang lebih baik dan mengurangkan risiko kardiovaskular.
Berapa tahap kolesterol tinggi yang perlu diberikan perhatian?
Persoalan berapa tahap kolesterol tinggi perlu dinilai berdasarkan profil risiko seseorang kerana sasaran LDL-C tidak sama untuk setiap individu.
Dr Lim menjelaskan bahawa semakin tinggi risiko seseorang, semakin rendah sasaran LDL-C yang mungkin diperlukan.
Sebagai contoh, individu berisiko tinggi perlu mengekalkan LDL-C di bawah 1.8 mmol/L. Paras LDL-C yang lebih rendah dan dikekalkan dalam tempoh lebih panjang boleh membantu menstabilkan, malah mengurangkan plak pada sesetengah pesakit.
Justeru, fokus pengurusan tinggi kolesterol bukan sekadar menurunkan bacaan LDL-C buat sementara waktu, tetapi memastikan paras tersebut kekal rendah dan stabil.
Tiga tonggak bantu urus risiko tinggi kolesterol
Cik Celeste Lau, Penolong Pengarah Dietetik, berkongsi pendekatan pemakanan praktikal bagi menyokong kesihatan kardiovaskular yang lebih baik.
Sesi tersebut turut memperkenalkan konsep “Tiga Tonggak Kesihatan Jantung” (Heart Health Trifecta) yang menggabungkan:
Pemakanan bagi mengurangkan pengambilan kolesterol dan menyokong kesihatan metabolik.
Senaman untuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular dan kesihatan keseluruhan.
Rawatan perubatan apabila dipreskripsikan bagi mencapai serta mengekalkan sasaran LDL-C.
Cik Celeste Lau, Penolong Pengarah Dietetik, Pusat Perubatan Sunway, Sunway City KL berkata, pemakanan mesra jantung tidak semestinya rumit.
Perubahan kecil secara konsisten dan penggantian makanan dengan pilihan lebih sihat boleh membantu membentuk tabiat jangka panjang serta memperbaiki paras kolesterol.
Cik Nathalie Goh, Jurufisioterapi di pusat perubatan sama pula menekankan bahawa aktiviti fizikal untuk individu berisiko tinggi dan pesakit kardiovaskular perlu dirancang dengan sesuai.
Konsistensi dan kesesuaian senaman dengan keadaan individu penting bagi menyokong pemulihan jantung, keupayaan fungsi dan kualiti hidup.
Rawatan mungkin diperlukan bagi sesetengah individu
Bagi pengurusan tinggi kolesterol, Dr Lim turut membincangkan pilihan terapi penurunan lipid yang digunakan dalam penjagaan kardiovaskular, termasuk statin, ezetimibe, perencat PCSK-9 dan terapi berasaskan RNA.
Pilihan tambahan turut dipertimbangkan untuk pesakit yang masih tidak mencapai sasaran LDL-C melalui kaedah konvensional.
Pendekatan rawatan perlu dipantau oleh pakar dan disesuaikan mengikut keperluan pesakit bagi menyokong pengurangan LDL-C secara berterusan.
Sanjeev Balachandran, Presiden Serantau Novartis Malaysia, Brunei dan Pasaran Membangun Asia (AEM) berkata, ramai rakyat Malaysia mungkin hanya menyedari risiko tinggi kolesterol selepas mengalami masalah kardiovaskular serius.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kefahaman masyarakat, penilaian risiko lebih awal dan pengurusan risiko kardiovaskular untuk jangka panjang.
Jangan tunggu gejala untuk mengetahui paras kolesterol
Memandangkan tinggi kolesterol lazimnya tidak menunjukkan gejala, saringan awal boleh membantu seseorang mengetahui profil risiko dan sasaran LDL-C mereka.
Rakyat Malaysia turut digalakkan melayari laman mikro Unblocked Movement untuk menyemak risiko kardiovaskular serta sasaran LDL-C yang bersesuaian sebelum berbincang dengan doktor mengenai strategi pengurusan jangka panjang mengikut profil risiko masing-masing.
Pendekatan yang menggabungkan saringan awal, perubahan gaya hidup secara berterusan dan rawatan berdasarkan keperluan klinikal boleh membantu individu mengurus kolesterol serta faktor risiko kardiovaskular dengan lebih tersusun.
Kalkulator BMI
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Sesi Perbincangan Meja Bulat, “Pastikan Ia Rendah, Pastikan Ia Stabil (Keep it Low, Keep it Stable)” anjuran bersama Sunway Medical Centre and Novartis Malaysia pada 18 Ogos 2026.
Versi Terbaru
15/09/2026
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor