backup og meta

Benarkah Jika Kerap Mandi Malam Boleh Buat Paru-Paru Berair? Ini Jawapannya!

Benarkah Jika Kerap Mandi Malam Boleh Buat Paru-Paru Berair? Ini Jawapannya!

“Ahmad, jangan mandi lewat malam, nanti dapat penyakit paru-paru berair!”

Perkara ini selalu diutarakan oleh orang-orang yang sudah berusia kepada golongan muda. Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik kenyataan ini?

Mandi malam mempunyai banyak kebaikannya yang tersendiri. Di samping dapat membuatkan badan jadi lebih segar, mandi waktu malam juga sudah terbukti membuatkan kita tidur dengan lebih lena!

Tapi, mana satu yang betul? Keliru rasanya!

Penyakit paru-paru berair: Air di dalam paru-paru

Air di dalam paru paru, atau turut dikenali dengan nama efusi pleura ataupun pleural effusion merupakan satu keadaan di mana air berkumpul di antara lapisan tisu yang melapisi paru-paru dan juga rongga dada.

Kawasan di antara lapisan tisu ini dipanggil ruang ataupun rongga pleura (pleural space).

Selalunya, kawasan tersebut mengandungi sedikit cecair yang bertindak sebagai pelincir sewaktu paru-paru mengembang ketika bernafas.

Paru-paru berair merupakan keadaan yang lazim berlaku. Menurut National Cancer Institute, sebanyak 100,000 kes didiagnosis di Amerika Syarikat setiap tahun.

Walaupun ia merupakan sesuatu yang kerap berlaku, efusi pleura boleh membawa maut. Dalam sebuah kajian, 15 peratus pesakit yang dimasukkan di hospital akibat masalah ini meninggal dunia dalam masa 30 hari.

Ramai yang berkata, mandi malam boleh menyebabkan peparu jadi berair. Menurut mereka, mandi malam boleh akibatkan air masuk ke dalam paru-paru.

Namun, adakah kenyataan ini berasas? Jika anda ingin tahu lebih lanjut, jom baca artikel kami di bawah!

Punca sebenar penyakit paru-paru berair

penyakit paru-paru berair

Cecair dalam paru-paru boleh jadi kurang protein (transudative) ataupun kaya dengan protein (exudative).

Transudantive pleural effusion disebabkan oleh cecair yang bocor masuk ke dalam ruang plural akibat daripada peningkatan tekanan di dalam salur darah.

Antara penyebab utama transudative pleural effusion ialah sakit jantung.

Selain itu, exudative effusion pula berpunca daripada saluran darah yang tersumbat ataupun mengalami inflamasi, jangkitan, kecederaan pada paru-paru ataupun tumor.

Pneumonia, tuberkulosis, limfoma dan arthritis boleh sebabkan individu mengalami exudative effusion.

Beberapa jenis ubat-ubatan juga boleh akibatkan paru-paru jadi berair.

Individu yang mempunyai kanser seperti kanser paru-paru dan kanser payudara juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap efusi pleural.

Kadang-kadang, cecair tersebut sendiri boleh menjadi malignan (kanser). Selain itu, paru-paru boleh jadi berair disebabkan oleh rawatan kanser seperti kemoterapi.

Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan peparu berair termasuklah:

  1. Merokok dan minum minuman keras.
  2. Tekanan darah tinggi.
  3. Pernah terdedah kepada asbestos.

Tidak ada lagi bukti yang mengaitkan mandi malam dengan peparu berair. Malah, mandi pada waktu malam terbukti boleh membuatkan anda tidur dengan lebih nyenyak!

Kenali simptom penyakit paru-paru berair

Individu yang mengalami peparu berair mungkin akan alami simptom berikut:

  1. Sesak nafas.
  2. Batuk kering.
  3. Rasa ketat pada kawasan dada.
  4. Tidak boleh berbaring.
  5. Tidak boleh bersenam.
  6. Kerap rasa tidak sihat.

Namun, bukan semua pesakit yang mengalami peparu berair mengalami simptom yang sama seperti di atas.

Jika anda rasa tidak selesa pada kawasan dada, segeralah berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Boleh ke air masuk ke dalam peparu disebabkan mandi malam?

penyakit paru-paru berair

Setakat ini, tidak ada lagi bukti kukuh yang boleh mengaitkan mandi malam dengan paru-paru berair.

Seperti yang digariskan di dalam artikel di atas, individu yang mempunyai kanser, sakit jantung, pneumonia, ataupun tuberkulosis merupakan antara yang berisiko untuk mendapat masalah paru-paru berair.

Jika anda mempunyai masalah kesihatan berikut, anda boleh elak penyakit paru-paru berair dengan cara:

1. Jangan merokok

Merokok boleh menambah risiko anda untuk mendapat penyakit jantung, kanser dan sebagainya. Jika anda tidak mampu untuk berhenti sendiri, cuba dapatkan nasihat daripada pakar.

Anda juga boleh melawat Klinik Berhenti Merokok yang terletak di hospital-hospital besar seluruh negara.

2. Makan makanan yang sihat

Amalkan makan makanan yang sihat dan berkhasiat. Elakkan makanan tinggi kandungan gula, garam dan berlemak.

3. Pantau kadar kolesterol dalam darah

Kadar kolesterol yang tinggi dalam darah boleh membuatkan anda menghidap pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit jantung dan juga kanser.

Dengan cara mengubah gaya hidup, anda boleh menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Kesimpulan

Mandi pada waktu malam tidak mungkin menjadi punca penyakit paru-paru berair. Berdasarkan artikel di atas, sakit kanser, sakit jantung dan lain-lain merupakan punca sebenar penyakit ini.

Jadi, adakah anda boleh mandi malam atau tidak?

Tidak ada masalah untuk mandi malam. Malah, mandi waktu malam amat digalakkan terutama sekali untuk menghilangkan rasa stres setelah seharian berkerja.

Selepas ini, sebelum anda percaya apa-apa kenyataan yang tidak masuk akal, buat kajian terlebih dahulu ya!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Pleural Effusion Causes, Signs & Treatment: Diagnosis and Tests. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17373-pleural-effusion-causes-signs–treatment/diagnosis-and-tests. Accessed July 30, 2020.
  2. Pulmonary edema. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pulmonary-edema/symptoms-causes/syc-20377009. Accessed July 30, 2020.
  3. Pleural effusion. https://medlineplus.gov/ency/article/000086.htm. Accessed July 30, 2020.
  4. Pleural effusion. https://radiopaedia.org/articles/pleural-effusion. Accessed July 30, 2020.
  5. Fluid Around the Lungs (Pleural Effusion). https://www.yalemedicine.org/conditions/fluid-around-the-lungs/. Accessed July 30, 2020.

Versi Terbaru

09/08/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Jangan Biar Gangguan Intim Ketika Tidur Berterusan, Ini 4 Cara Atasinya!

Padah Hidu Bau Stoking Busuk, Paru-paru Lelaki Dijangkiti Kulat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/08/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan