backup og meta

Vaksin Influenza, Rupanya Ada Banyak Sebab Kenapa Anda & Keluarga Perlu Mengambilnya!

Vaksin Influenza, Rupanya Ada Banyak Sebab Kenapa Anda & Keluarga Perlu Mengambilnya!

Jika anda mempunyai rakan atau ada dalam kalangan anda yang telah dijangkiti dengan virus influenza, pasti anda tertanya-tanya akan keperluan untuk ambil vaksin. Vaksin untuk influenza telah mendapat permintaan yang tinggi sejak akhir tahun 2019.

Kebanyakan orang awam mengambil vaksin tersebut daripada fasiliti swasta memandangkan stok yang ada di hospital kerajaan terhad dan dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja.

Artikel ini akan membicarakan berkenaan dengan keperluan anda sekeluarga untuk mengambil vaksin. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

Perlu ke ambil vaksin untuk influenza

vaksin influenza

Perlukah ambil vaksin? Vaksin untuk influenza adalah alternatif selamat jika anda ingin melindungi diri anda daripada jangkitan influenza. Mereka yang mempunyai sistem pertahanan yang normal kebiasaannya boleh sembuh dalam masa seminggu dua. 

Namun bagi golongan berisiko seperti orang tua, kanak-kanak yang berusia di bawah 2 tahun dan mereka yang mempunyai masalah dengan sistem imun, mereka mudah untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat daripada jangkitan tersebut.

Oleh itu mereka yang terbabit, digalakkan untuk mengambil vaksin. Bagaimana pula dengan ahli keluarga yang lain? Adakah mereka yang tidak mempunyai sebarang penyakit berkaitan sistem imun tidak perlu mengambil vaksin?

Semua individu digalakkan untuk mengambil vaksin. Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) menyarankan semua  individu yang berusia 6 bulan dan ke atas perlu mendapatkan vaksin setiap tahun berikutan virus tersebut mudah untuk mengalami mutasi.

Mereka yang berusia 6 bulan sehingga 8 tahun memerlukan 2 dos vaksin manakala individu yang berusia 9 tahun dan ke atas memerlukan satu dos suntikan vaksin setahun.

Walaupun vaksin yang diberikan tidak memberikan perlindungan kepada semua jenis strain namun ia masih berkesan dalam menghindarkan jangkitan influenza daripada berlaku.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Mekanisme vaksin influenza

Vaksin berupaya untuk menghasilkan antibodi bagi strain virus tertentu untuk mengelakkan jangkitan influenza. Kandungannya berubah setiap tahun mengikut kepada kajian terbaharu mengenai strain paling lazim dijumpai. 

Penghasilan antibodi akan memakan masa selama 2 minggu selepas anda mengambil suntikan vaksin. Ia digunakan bagi merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus influenza. 

Maklumat berkenaan strain influenza tersebut akan disimpan dalam ingatan sel darah putih. Jika virus yang sama memasuki tubuh badan individu, ia akan menghasilkan antibodi pada kadar yang cepat untuk melawan virus tersebut.

Individu tersebut dianggap imun terhadap jangkitan virus influenza memandangkan sistem pertahanan badan sudah mempunyai “senjata” untuk membasmi kemasukannya ke dalam tubuh badan.

Selamat ke vaksin untuk influenza untuk kanak-kanak?

vaksin influenza

Seperti produk vaksin yang lain, vaksin untuk influenza telah melalui pelbagai jenis kajian dan ujian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya.

Ada ura-ura yang mengatakan bahawa vaksin ini akan menyebabkan terjadinya masalah selesema sebagai kesan sampingan. Namun menurut CDC, tiada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa vaksin ini akan menyebabkan permasalahan tersebut.

Jika ingin dibandingkan kesan sampingan vaksin dengan komplikasi yang berisiko dialami oleh individu, ia tidaklah seserius mana. Perkara yang perlu anda ingat adalah virus influenza kerap mengalami mutasi dan ia berpotensi untuk menyebabkan komplikasi yang serius.

“Kalau saya alergi dengan telur, bolehkah saya mengambil vaksin?”.

Menurut CDC, vaksin untuk influenza masih boleh diberikan jika pengambilan telur hanya menyebabkan anda mengalami hives (gegata). Namun, jika anda risau atau khuatir dengan risiko terhadap kesan alergi tersebut, rujuk doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat perubatan.

Dengan kata lain, jika anda alergi dengan telur, keputusan untuk membenarkan atau melarang pengambilan vaksin adalah bersifat klinikal. Tanpa pemeriksaan yang teliti oleh doktor, tiada keputusan boleh dibuat memandangkan risiko kesan sampingan berbeza pada setiap individu.

Namun, jika anda mempunyai sejarah komplikasi teruk akibat mengambil vaksin yang berasaskan telur, maka ia merupakan kontraindikasi (keadaan yang menandakan ketidaksesuaian suatu bentuk rawatan) kepada pengambilan vaksin.

Apa yang anda boleh buat adalah menggalakkan pengambilan vaksin oleh individu yang berada dalam lingkungan sosial anda.

Jika mereka terlindung daripada jangkitan influenza, maka anda turut terlindung. Perkara ini memberi penekanan terhadap pengambilan vaksin oleh ahli keluarga anda terutamanya mereka yang berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi influenza.

Baca juga:

Vaksin untuk bayi berusia 6 bulan ke bawah?

vaksin influenza

Jika anda sedar, CDC menyarankan had usia minimum bagi menerima vaksin iaitu pada usia 6 bulan. Anda mesti tertanya-tanya kan? Bagaimana pula dengan mereka yang berusia 6 bulan dan ke bawah? Adakah mereka tidak berisiko untuk mendapat jangkitan influenza?

Tidak banyak kajian yang dijalankan bagi menyiasat kesan vaksin untuk influenza dari konteks fisiologi dan kesan negatif terhadap kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah.

Buat masa sekarang, masih tiada lagi bukti yang menunjukkan bahawa pemberian vaksin kepada golongan tersebut dapat memberikan kebaikan imunologi untuk melawan virus influenza.

Kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami komplikasi serius jangkitan influenza. Terutama sekali jika anak tersebut dilahirkan oleh ibu yang tidak pernah terdedah kepada virus influenza.

Walau bagaimanapun, jumlah kajian yang membuktikan mengenai hal ini sangatlah sedikit.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. The Flu Shot Can’t Infect You and Other Flu Facts. https://www.healthline.com/health-news/which-flu-vaccine-should-you-get. Accessed on January 20, 2020.
  2. The Annual Flu Shot: Is It Necessary? (https://www.healthline.com/health/cold-flu/flu-shot#who-needs-it). Accessed on January 20, 2020.
  3. Vaccine Information Statements (VIS) – CDC. https://www.cdc.gov/vaccines/hcp/vis/vis-statements/flu.html. Accessed on January 20, 2020.
  4. Key Facts About Flu Vaccines. https://www.cdc.gov/flu/prevent/keyfacts.htm. Accessed on January 20, 2020.
  5. How the flu vaccine works. https://www.nhs.uk/conditions/vaccinations/how-flu-vaccine-works/. Accessed on January 20, 2020.
  6. Why the whole family should get the flu shot. https://chw.org/newshub/stories/why-flu-shot-is-important. Accessed on January 20, 2020.
  7. Seasonal influenza immunization in early infancy? https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3533639/#!po=38.8889. Accessed on January 20, 2020.
  8. Influenza vaccination coverage among pregnant women — United States, 2010-11 influenza season. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21849964. Accessed on January 20, 2020.
  9. Effectiveness of maternal influenza immunization in mothers and infants. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/18799552. Accessed on January 20, 2020.
  10. Flu Vaccine and People with Egg Allergies. https://www.cdc.gov/flu/prevent/egg-allergies.htm. Accessed on January 20, 2020.

Versi Terbaru

18/11/2024

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ini 7 Mitos Tentang Vaksin Kanak-kanak, No. 3 Paling Ramai Orang Percaya!

Semakin Celik Vaksin! Orang Malaysia Kini Ramai Sedar Kepentingan Vaksinasi- Kajian


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/11/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan