Kegatalan adalah rasa tidak menyenangkan yang mencetuskan keinginan untuk menggaru. Ia boleh berlaku pada kulit berpenyakit atau kulit yang tidak berpenyakit. Kulit gatal boleh berpunca daripada masalah kulit, penyakit organ dalaman, penyakit neurologi dan lain-lain. Ia adalah masalah paling biasa dihadapi pesakit tua semasa mendapatkan rundingan dermatologi. Kulit gatal atau pruritis pada orang tua ditakrifkan sebagai rasa kegatalan kronik pada orang yang berusia lebih daripada 65 tahun.
Kulit, seperti organ-organ lain, mengalami kemerosotan dengan peredaran masa. Hampir setiap aspek biologi kulit dipengaruhi penuaan. Keupayaan epidermis mempembaharui diri, yang penting untuk fungsi menghadang, berkurang dengan usia. Kandungan ekstrasellular kolagen pada kulit, yang menyumbang kepada kekuatan dan daya tahan, mengalami perpecahan secara beransur-ansur, yang memudaratkan sifat-sifat kulit dan fungsi sel kulit. Perubahan kulit mengakibatkan kerapuhan kulit dan penyakit berkaitan dengan usia.