backup og meta

Ada 1001 Khasiat Susu Kurma! Ibu Hamil & Menyusu Pun Boleh Amalkan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/11/2022

    Ada 1001 Khasiat Susu Kurma! Ibu Hamil & Menyusu Pun Boleh Amalkan

    Susu kurma mengandungi banyak manfaat terhadap kesihatan. Ia kaya dengan pelbagai nutrisi serta antioksidan yang dapat meningkatkan tenaga, menambah zat besi dalam badan dan memudahkan proses pencernaan. Sebab itulah, khasiat susu kurma sering dicanang-canang, terutamanya untuk ibu mengandung.

    Kurma merupakan buah yang berasal daripada pokok Phoenix dactylifera. Ia merupakan makanan ruji bagi mereka yang tinggal di Timur Tengah. Terkenal sebagai makanan sunnah, sebiji buah kurma mengandungi 60-70% gula, menjadikannya sebagai satu sumber tenaga yang ideal untuk wanita hamil.

    Buah kurma juga sangat baik untuk ibu yang menyusukan anak. Pendek kata, wanita yang sedang mengandung atau sedang menyusukan anak amat digalakkan untuk mengambil susu campur kurma sebagai sebahagian daripada diet harian.

    Tetapi mengapa? Apakah keistimewaan serta rahsia buah kurma sehingga ia sering diamalkan untuk kesihatan? Mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah untuk ketahui lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Khasiat susu kurma untuk ibu mengandung

    susu kurma

    Ada sebabnya mengapa susu ini sering diamalkan oleh ibu mengandung. Makanan sunnah ini mengandungi pelbagai nutrisi yang baik untuk kesihatan badan, terutamanya bagi mereka yang berbadan dua.

    Antara kebaikan susu ini kepada ibu mengandung ialah:

    1. Dapat mengurangkan craving makanan manis

    Makan kurma merupakan antara cara yang terbaik untuk mengurangkan craving terhadap makanan manis. Disebabkan buah ini mengandungi fruktosa semula jadi, ia dapat memberikan tenaga tambahan untuk ibu yang sering rasa penat dan lesu disebabkan kehamilan.

    2. Kaya dengan serat

    Bukan itu sahaja, buah kurma juga mengandungi serat yang dapat memastikan sistem pencernaan wanita berjalan dengan baik. Ibu yang mengamalkan pengambilan kurma kurang berisiko untuk mengalami sembelit ketika hamil.

    3. Susu kurma mengandungi banyak folat

    susu kurma

    Selain itu, kurma juga kaya dengan folat yang sangat diperlukan ketika hamil untuk mencegah sebarang kecacatan janin.

    Wanita hamil memerlukan sekitar 400 mikrogram asid folik setiap hari. Selain pengambilan suplemen, anda juga boleh tambah kurma ke dalam diet harian.

    4. Mengandungi zat besi, potassium dan vitamin K

    Zat besi sangat penting untuk melawan anemia ketika hamil. Vitamin K pula sangat bermanfaat untuk memupuk pembentukan tulang bayi yang sihat. Ia juga boleh membantu menguatkan otot dan memantapkan sistem saraf ibu ketika hamil.

    Kurma juga kaya dengan potassium, sejenis mineral yang dapat membantu mengawal tekanan darah.

    Baik untuk ibu yang sedang menyusukan anak

    Susu ini bukan sahaja baik untuk ibu mengandung, ia juga bagus untuk ibu yang sedang menyusukan anak. Antara kebaikan susu ini ialah:

    1. Dapat membantu ibu menghasilkan lebih banyak susu

    Buah kurma boleh membantu menambah jumlah prolaktin, sejenis hormon yang dapat menggalakkan penghasilan susu badan wanita. Selain buah kurma, wanita juga boleh meningkatkan jumlah susu dengan pengambilan makanan lain seperti halba, quinoa atau oat.

    2. Mengandungi banyak nutrisi

    Buah kurma mengandungi banyak nutrisi. Ia kaya dengan potassium, magnesium, mangan, zat besi dan vitamin B6, semuanya amat penting untuk tumbesaran bayi serta kesihatan ibu.

    3. Mengembalikan tenaga selepas bersalin

    Sebiji kurma dikatakan mempunya 1.8-2% protein, 2-4% serat dan 50-57% glukosa. Semua nutrisi ini amat penting untuk mengembalikan tenaga ibu selepas melahirkan anak.

    Malah, kurma juga bersaiz kecil dan mudah untuk didapati. Jadi, anda boleh dapatkannya pada bila-bila masa, sesuai dijadikan snek untuk mengalas perut.

    Baca juga:

    Cara menyediakan susu kurma

    susu kurma

    Tidak dinafikan, ada banyak khasiat susu kurma. Malah, anda juga boleh sediakannya sendiri di rumah! Anda boleh sediakan susu ini dengan pelbagai cara. Namun, cara di bawah adalah antara yang paling mudah dan sedap.

    Pertama sekali, sediakan bahan-bahan yang diperlukan:

  • 7 biji kurma.
  • 2 cawan susu.
  • 5 biji kacang almond.
  • Cara-caranya:

    1. Basuh dan kopek kurma. Di dalam pengisar, tambahkan ½ cawan susu, kurma yang sudah dikopek tadi dan juga 5 biji kacang almond.
    2. Kisar bahan-bahan tadi. Kemudian, tuangkan baki susu ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati. Siap!

    Mudah bukan! Jika anda sukakan potongan kurma yang lebih besar, anda boleh potong 2-3 biji kurma secara kasar dan tambah ke dalam susu. Anda juga boleh gunakan susu sejuk atau tambah secubit serbuk pelaga untuk rasa yang lebih ummph!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 25/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan