Daging yang liat dan susah dikunyah boleh menyebabkan kita hilang selera makan walaupun ia dimasak dengan begitu sedap. Oleh sebab itu, setiap individu perlu tahu cara potong daging yang betul. Ada beberapa prinsip memotong dan menghiris daging yang anda mesti tahu.
Barulah daging mudah disediakan dan hidangan cepat dimasak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Mengapa ada sesetengah daging begitu liat ketika dimakan?
Untuk pengetahuan anda, daging merupakan otot yang terdiri daripada gabungan gentian serat.
Gentian otot ini pula disatukan melalui tisu penghubung seperti kolagen dan juga elastin.
Otot yang paling banyak bergerak, seperti pada bahagian paha atau bahu haiwan, akan menghasilkan lebih banyak tisu penghubung dan lebih banyak gentian otot yang kasar.
Ini menjadikan daging di kawasan ini lebih liat dan perlu dimasak dengan menggunakan air seperti direbus.
Otot yang kurang bergerak seperti daging batang pinang pula mengandungi tisu penghubung yang lebih sedikit selain gentian otot yang lebih halus.
Oleh sebab itu, daging otot di kawasan ini agak lembut dan boleh dimasak dengan cara dipanggang sahaja.
Cara potong daging dan pilih daging yang betul
Prinsip memotong dan menghiris yang betul semestinya amat penting agar daging cepat disediakan dan tidak liat setelah dimasak.
Namun, ada juga beberapa perkara penting lain yang perlu diambil berat semasa proses penyediaan daging sebelum dimasak.
Berikut ialah beberapa kaedah lain yang amat penting untuk dilakukan semasa penyediaan daging:
#1. Bekukan daging terlebih dahulu
Tahukah anda, daging yang separa beku sebenarnya lebih mudah untuk dipotong berbanding daging pada suhu bilik?
Air bekuan daging akan menyebabkan daging menjadi:
- Keras
- Berstruktur
- Mudah dihiris
Walau bagaimanapun, jangan biarkan daging berada di dalam peti sejuk terlalu lama.
Bekukan daging dalam tempoh 45 hingga 60 minit sahaja dan ini merupakan tempoh yang paling ideal untuk daging yang hendak dipotong dengan ketebalan sekitar 1 inci.
Daging yang telah membeku sepenuhnya akan memerlukan lebih banyak tenaga sewaktu hendak dipotong, dan ini pasti memenatkan anda.
#2. Pilih daging yang betul dan sesuai dengan masakan
Pemilihan daging merupakan salah satu cara potong daging yang penting kerana ia akan mempengaruhi waktu penyediaan dan seterusnya masakan anda.
Jika anda ingin memasak hidangan yang berkuah seperti sup dan stew, daging otot yang berserat kasar amat sesuai untuk digunakan.
Namun, jika anda ingin menyediakan hidangan yang agak kering dan cepat dimasak seperti rendang, daging yang berserat halus dan mudah empuk seperti batang pinang, adalah lebih sesuai digunakan.
Daging yang berserat kasar tidak sesuai digunakan untuk memasak hidangan seperti rendang kerana akan memerlukan waktu yang lebih lama untuk benar-benar empuk.
#3. Pilih pisau yang betul
Selain daripada daging itu sendiri, anda juga perlu memastikan pisau yang akan digunakan untuk memotong daging adalah pisau yang tepat dan sesuai.
Anda tidak boleh menggunakan pisau yang pendek dan kecil seperti pisau memotong sayur atau mengupas bawang kerana ia semestinya tidak tajam.
Tambahan pula, pisau yang lebih pendek agak berbahaya jika anda mahu memotong urat daging lembu atau kambing yang agak liat.
Bagi potongan daging yang lebih besar seperti tulang rusuk, pisau atau parang yang besar dan berat lebih sesuai untuk digunakan.
Untuk memisahkan daging daripada tulang pula, gunakan pisau yang lebih kecil dan halus tetapi tajam.
#4. Cara potong daging lawan urat
Perkara yang paling penting sekali ialah anda mesti tahu cara potong daging lawan urat.
Untuk kaedah potong daging ini, lihat arah serat otot daging tersebut terlebih dahulu.
Jika arah serat otot tersebut memanjang, maka anda perlu memotong atau menghiris daging tersebut secara menegak dan begitulah sebaliknya.
Cara potong daging ini penting, lebih-lebih lagi jika urat daging lembu atau kambing agak liat. Ia boleh membantu daging untuk menjadi lebih empuk setelah siap dimasak nanti.
Kesimpulan
Anda juga perlu tahu jenis daging yang sesuai dengan hidangan kerana ada jenis daging yang mungkin tidak sesuai dengan masakan anda.
Semoga prinsip memotong dan menghiris daging yang dikongsikan di atas ini dapat membantu anda untuk melapah dan memotong daging dengan lebih cepat.
[embed-health-tool-bmr]