backup og meta

Ada Anak Bersekolah Rendah? Ini 6 Perkara Yang Boleh Buatkan Anak Anda Jadi Obes!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/12/2022

    Ada Anak Bersekolah Rendah? Ini 6 Perkara Yang Boleh Buatkan Anak Anda Jadi Obes!

    Ada banyak punca atau faktor faktor yang menyebabkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah. Malah, ada antara faktor obesiti ini yang mungkin dipengaruhi oleh tindakan ibu bapa itu sendiri.

    Artikel ini akan menjelaskan mengenai faktor obesiti yang sering terjadi kepada kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Mengapa obesiti dalam kalangan kanak-kanak perlu diberikan perhatian?

    Obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu keadaan atau trend yang perlu diberikan perhatian yang serius.

    Ini kerana, ia bukan sahaja memberikan kesan terhadap kanak-kanak pada waktu tersebut, tetapi juga boleh menjejaskan masa hadapan sewaktu mereka sudah dewasa kelak.

    Pertambahan berat badan akan menyebabkan kanak-kanak tersebut berpotensi mendapat penyakit yang pada kebiasaannya hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa.

    faktor obesiti

    Antaranya ialah seperti penyakit kencing manis atau diabetes, tinggi kolesterol dan juga tekanan darah tinggi.

    Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang obes juga akan mengalami keyakinan diri yang rendah dan juga kemurungan.

    Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa, kita perlu mengetahui punca obesiti kanak-kanak agar ia boleh dicegah sebelum terus menjadi lebih parah.

    Kanak-kanak bersaiz besar seorang yang obes?

    Tidak semua anak dengan saiz badan yang besar boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang berlebihan berat badan.

    Ini kerana, sesetengah kanak-kanak ini mempunyai rangka tubuh yang lebih besar daripada kanak-kanak yang lain.

    Malah, kanak-kanak juga biasanya mempunyai lemak badan yang berlainan pada tahap tumbesaran yang berbeza.

    Jadi, sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak dapat mengetahui anak anda seorang yang obes atau tidak dengan hanya melihat kepada bentuk fizikalnya sahaja.

    Anda boleh mengetahui sama ada si kecil mempunyai berat badan yang normal atau tidak berdasarkan nilai indeks jisim badan atau BMI

    Faktor obesiti: Faktor faktor yang menyebabkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak

    Terdapat beberapa faktor risiko obesiti yang boleh menyebabkan kanak-kanak berisiko menjadi obes.

    Kebiasaannya, terdapat gabungan beberapa faktor yang meningkatkan risiko obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

    Antara faktor faktor yang menyebabkan obesiti kanak-kanak sekolah rendah ialah:

    #1. Kurang bersukan atau bersenam

    Jika anak anda kurang bersenam atau bersukan, ia boleh menjadi antara faktor obesiti utama bagi kanak-kanak.

    Kanak-kanak yang kurang atau tidak bersenam lebih cenderung untuk mendapat pertambahan berat badan disebabkan kalori yang tidak dibakar dengan optimum.

    Selain itu, menjalani kehidupan yang tidak aktif dengan hanya menonton televisyen atau bermain permainan video juga boleh menyebabkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah. 

    #2. Diet yang tidak sihat

    faktor obesiti

    Sudah kebiasaan jika seorang kanak-kanak itu menggemari makanan ringan dan kerap mengambilnya setiap masa.

    Jika kanak-kanak kerap mengambil makanan yang tinggi kalori seperti makanan segera, makanan ringan atau snek, ia juga boleh menyebabkan mereka menjadi obes.

    Begitu juga dengan makanan atau minuman bergula seperti kek, gula-gula, jus buah dan juga minuman berkarbonat lain, ia boleh menyebabkan pertambahan berat badan anak. 

    #3. Faktor keluarga

    Jika susur galur keluarga anda menunjukkan ramai yang mempunyai berat badan berlebihan, maka tidak mustahil juga untuk anak anda menjadi obes.

    Ini kerana faktor genetik juga boleh menjadi antara faktor obesiti bagi kanak-kanak sekolah rendah.

    Tabiat ahli keluarga yang kerap mengambil makanan tinggi kalori atau makanan ringan juga boleh menjadi faktor yang menggalakkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. 

    #4. Kesan ubat-ubatan

    faktor obesiti

    Jika anak anda ada mengambil jenis ubat-ubatan tertentu, ia juga boleh meningkatkan risiko obesiti si kecil.

    Antara jenis ubat yang boleh meningkatkan risiko obesiti ialah seperti paroxetine, prednisone, gabapentin dan juga propranolol. 

    #5. Faktor sosioekonomi

    Ada sesetengah keluarga khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman mungkin tidak mempunyai akses terhadap sumber makanan sihat atau segar.

    Oleh itu, makanan yang tidak cepat rosak seperti makanan dalam tin, makanan sejuk beku atau makanan kering seperti biskut menjadi pilihan utama mereka.

    Makanan seperti ini biasanya tinggi kandungan garam, lemak dan juga gula. Oleh itu, ia juga boleh menjadi antara punca obesiti kanak-kanak. 

    Faktor obesiti #6. Psikologi

    Percaya atau tidak, faktor psikologi juga boleh menjadi antara punca kanak-kanak menjadi obes.

    Masalah peribadi, ibu bapa atau keluarga boleh meningkatkan tahap stres kanak-kanak, sekali gus meningkatkan risiko mereka untuk menjadi obes.

    Ini kerana, apabila kanak-kanak menjadi stres, mereka cenderung untuk makan dengan lebih banyak ketika berhadapan dengan tekanan atau sebarang perubahan emosi yang mereka alami. 

    Faktor obesiti boleh dicegah lebih awal

    Kanak-kanak sekolah rendah boleh menjadi obes disebabkan oleh pelbagai faktor seperti faktor-faktor di atas.

    Risiko obes kanak-kanak juga akan menjadi lebih tinggi sekiranya terdapat gabungan beberapa faktor-faktor risiko.

    Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda perlu bijak mengawal situasi dan keadaan semasa anak anda di rumah atau di sekolah agar mereka tidak mengalami obesiti. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan