Minuman berais atau air sejuk menjadi pilihan utama setiap orang yang berpuasa kerana dengan seharian berpuasa sudah tentu inginkan sesuatu yang menyegarkan. Namun tanpa disedari ia sebenarnya akan menganggu kesihatan.
Kebanyakan percaya bahawa minum air sejuk boleh menyebabkan lemak menjadi beku dan kemudiannya menjadi lemak pada bahagian perut. Ini dikatakan punca berlakunya obesiti. Baca artikel ini untuk mengetahui kesan minuman berais terhadap kesihatan semasa berpuasa.
Kesan Minum Air Sejuk
Pencernaan lemak
Lemak terdiri daripada 2 kompaun iaitu gliserol dan asid lemak yang bergabung menjadi trigliserida. Disebabkan trigliserida bersifat takut kepada air (hydrophobic), ini membuatkannya tidak larut di dalam air. Sedangkan enzim lipase yang digunakan untuk menguraikan lemak tersebut adalah jenis yang larut dalam air sahaja.
Badan menangani keadaan ini dengan merembaskan garam hempedu yang akan membuatkan gumpalan lemak tadi pecah menjadi gumpalan yang kecil yang akan meningkatkan luas permukaan untuk enzim lipase menguraikan lemak tersebut.
Ketika diuraikan menjadi gliserol dan asid lemak, barulah ia akan diserap oleh dinding usus dan akan dibawa ke seluruh anggota badan yang lain untuk digunakan sebagai tenaga ataupun tempat penyimpanan tenaga seperti lemak.
Menambahkan berat badan
Pengambilan air sejuk semasa puasa menyebabkan pembekuan lemak yang ada dalam darah. Ini mengakibatkan peredaran darah menjadi tidak lancar. Apabila peredaran darah tidak lancar maka proses pembakaran lemak dan metabolisme tubuh akan terganggu. Keadaan ini boleh menyebabkan badan menjadi gemuk. Ketika selesai makan dan mengambil minuman sejuk, air sejuk itu boleh menyempitkan usus dan mengganggu proses pencernaan. Kesannya perut boleh menjadi buncit.
Risiko kerosakan buah pinggang
Pengambilan air yang bersuhu dingin dan air bergas semasa Ramadan tidak merosakkan buah pinggang. Sebaliknya jika anda sering mengambil air bergas semasa puasa mungkin akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang pada bulan-bulan Ramadan akan datang kerana air bergas mengandungi kandungan gula yang tinggi. Kajian menunjukkan pengambilan air bergas meningkatkan risiko kencing manis dan menyebabkan kerosakan buah pinggang.
Oleh itu, untuk mengelakkan gangguan kesihatan sepanjang Ramadan, biasakan meminum air putih yang tidak sejuk terlebih dahulu dan kemudiannya makan makanan manis seperti kurma dan manisan. Selepas 5-10 minit, barulah boleh mengambil air sejuk kerana keadaan perut sudah stabil.
[embed-health-tool-bmr]