brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

6 Jenis Vitamin & Mineral Yang Penting Untuk Wanita Sepanjang Tempoh Hamil!

Merancang untuk menimang cahaya mata, tetapi tidak pasti apakah suplemen ibu mengandung yang perlu wanita ambil? Tidak dinafikan, multivitamin untuk ibu mengandung amat penting untuk memastikan kesihatan bayi dalam kandungan.

6 Jenis Vitamin & Mineral Yang Penting Untuk Wanita Sepanjang Tempoh Hamil!

Jika anda sedang hamil, atau merancang untuk hamil, ibu perlulah berhati-hati dalam pengambilan vitamin dan suplemen. Kadangkala, ada vitamin yang boleh membawa keburukan jika diambil secara sembarangan.

Jadi, apakah vitamin yang perlu diambil oleh wanita mengandung? Jom ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Apakah suplemen ibu mengandung?

Ada banyak vitamin dan mineral yang penting untuk ibu mengandung. Namun, ada 6 vitamin yang sangat penting dan wajib diambil oleh ibu dalam tempoh kehamilan. 

1. Asid folik

suplemen ibu mengandung

Tidak dinafikan, asid folik amat sinonim dalam kalangan ibu hamil. Ia memainkan peranan yang sangat penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan.

Tetapi, apa sebenarnya asid folik? Asid folik ialah sejenis vitamin B yang diperlukan oleh setiap sel dalam badan kita. 

Pengambilan asid folik sebelum dan semasa kehamilan boleh menghalang sebarang kecacatan yang mungkin berlaku pada bayi.

Kajian menunjukkan, pengambilan asid folik dapat membantu mengelakkan kecacatan jantung dan mengurangkan risiko sumbing dalam kalangan bayi.

Wanita juga amat digalakkan untuk mengambil asid folik sebelum hamil. Sebagai panduan:

  1. Wanita biasa boleh mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari, walaupun tidak merancang untuk hamil.
  2. Ketika hamil, ambil asid folik sebanyak 600 mikrogram.

2. Zat besi

suplemen ibu mengandung

Zat besi atau iron merupakan salah satu suplemen ibu mengandung yang sangat penting. 

Zat besi membantu perkembangan fetus dan plasenta. Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengelakkan anemia sewaktu kehamilan.

Ketika mengandung, badan kita memerlukan lebih banyak zat besi daripada biasa supaya darah boleh membawa oksigen kepada bayi dalam kandungan. Si manja juga perlukan zat besi untuk menghasilkan darah sendiri.

Ibu mengandung perlu mengambil 27 miligram zat besi setiap hari. Kebanyakan vitamin pranatal atau multivitamin untuk ibu mengandung mempunyai zat besi dengan jumlah yang disarankan.

3. Kalsium

Selain zat besi dan asid folik, ibu hamil juga memerlukan lebih kalsium untuk menyokong kehamilan.

Jika anda tidak mendapat kalsium yang mencukupi ketika kehamilan, badan anda akan ‘mengambil’ kalsium tersebut daripada tulang dan memberikannya kepada bayi dalam kandungan.

Ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti osteoporosis di kemudian hari. Tulang juga mudah retak dan patah.

Ketika kehamilan, ibu memerlukan 1000 miligram kalsium setiap hari. Selain mengambil vitamin tambahan, ibu juga boleh menambah makanan seperti susu, keju, yogurt, brokoli atau jus oren ke dalam diet seharian.

4. Vitamin D

suplemen ibu mengandung

Satu lagi suplemen ibu mengandung ialah vitamin D. Vitamin ini bertujuan membantu penyerapan kalsium. 

Jadi, disamping mengambil vitamin atau makanan yang tinggi kalsium, ibu juga perlulah mengambil vitamin D.

Selain itu, vitamin D juga membantu menguatkan sistem imun badan. Dalam masa yang sama, ia juga membantu menguatkan tulang dan gigi bayi.

Semasa hamil, ibu memerlukan 600 IU vitamin D setiap hari.

5. DHA atau docosahexaenoic acid

DHA ialah sejenis lemak yang tergolong dalam kategori asid lemak omega 3. Ketika hamil, ibu perlukan DHA sebagai suplemen ibu mengandung untuk membantu perkembangan otak dan mata bayi.

Bukan semua vitamin pranatal mengandungi DHA, jadi ibu perlulah bertanya doktor mengenai keperluan mengambil suplemen ini.

Sewaktu hamil, wanita perlukan DHA sebanyak 8 hingga 12 auns seminggu.

Ingin berkongsi lebih lanjut mengenai pengalaman semasa hamil? Jom ikuti Komuniti Kehamilan Hello Doktor dan kongsi pendapat anda bersama ibu-ibu lain. Soalan anda juga bakal dijawab oleh pakar yang berpengalaman!

6. Iodin

Iodin merupakan sejenis mineral yang diperlukan badan untuk menghasilkan hormon tiroid. Ibu memerlukan iodin ketika hamil untuk membantu sistem saraf anak berkembang.

Malah, sistem saraf juga membantu bayi bergerak, berfikir dan merasa.

Ketika hamil, ibu memerlukan 220 mikrogram iodin setiap hari. Iodin boleh didapati dalam makanan seperti susu, keju dan yogurt. Kadangkala, bijirin dan roti tertentu juga mempunyai iodin.

Bila perlu ambil suplemen ibu mengandung?

Wanita yang merancang untuk hamil perlulah mengambil vitamin sebelum mengandung. 

Bukan itu sahaja, wanita yang berusia antara 20 hingga 30 tahun juga amat digalakkan untuk mengambil vitamin pranatal walaupun masih belum mengandung. 

Vitamin untuk ibu hamil amat penting. Tiub neural bayi yang akan menjadi otak dan saraf tunjang, akan berkembang pada bulan pertama kehamilan. Selalunya, pada waktu ini ibu tidak tahu mereka sedang hamil.

Oleh sebab itu, lebih baik jika wanita melakukan persiapan awal dan mengambil vitamin pranatal seawal mungkin.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, jangan malu untuk bertanya doktor. Pakar dapat membantu menjawab sebarang persoalan anda. 

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada tadi