
Anak Selalu Sembelit? Ada 5 Makanan Tinggi Prebiotik Yang Boleh Dicuba
Anak susah membuang air besar, kerap kembung atau mempunyai tabiat makan yang sangat memilih? Sebelum menyalahkan makanan kegemarannya, mungkin sudah tiba masanya ibu bapa memberi lebih perhatian kepada kesihatan usus si kecil. Usus bukan sekadar tempat makanan diproses. Di dalamnya terdapat trilion mikroorganisma yang membentuk mikrobiota usus dan memainkan peranan dalam kesihatan sistem pencernaan. Salah satu cara untuk menyokong bakteria baik ini adalah melalui pengambilan makanan prebiotik.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa itu prebiotik?
Prebiotik boleh dianggap sebagai ‘makanan’ untuk bakteria baik dalam usus.
Ia merupakan komponen makanan yang tidak dicerna sepenuhnya oleh tubuh dan kemudiannya digunakan oleh mikroorganisma tertentu di dalam usus besar.
Prebiotik berbeza daripada probiotik. Probiotik ialah mikroorganisma hidup, manakala prebiotik menyediakan sumber makanan yang membantu menyokong mikroorganisma tertentu dalam sistem pencernaan.
Ingin ibu bapa, penting bagi kanak-kanak mendapatkan serat daripada pelbagai sumber makanan bagi menyokong corak pemakanan yang seimbang dan kesihatan pencernaan!
Kenapa kesihatan usus penting untuk si kecil?
Kesihatan usus berkait rapat dengan fungsi sistem pencernaan.
Pengambilan makanan yang mengandungi serat boleh membantu menyokong pergerakan usus dan menjadikan diet kanak-kanak lebih seimbang.
Namun, ibu bapa tidak perlu terlalu fokus kepada satu jenis makanan sahaja.
Apa yang lebih penting ialah memberikan pelbagai jenis makanan dan serat dalam diet harian, barulah dapat nutrisi yang cukup!
Antara kebaikan makanan prebiotik:
- Membantu pergerakan usus
- Menghasilkan neurotransmiter yang bergerak pergi balik antara usus dan otak anda untuk mencetuskan perubahan mood dan proses lain
- Merangsang badan untuk menghasilkan hormon yang menggalak selera makan dan lain-lain
- Membantu tulang menyerap kalsium serta fosforus, yang boleh meningkatkan ketumpatan tulang
- Meningkatkan fungsi sistem imun
- Meningkatkan tindak balas anti-radang badan
- Meningkatkan pengeluaranbakteria baik dan mengurangkan bakteria jahat yang boleh menyebabkan penyakit
5 Makanan prebiotik yang mesra kanak-kanak
Makanan prebiotik tidak semestinya mahal atau sukar dicari. Malah, beberapa makanan yang biasa terdapat di dapur boleh menjadi pilihan untuk si kecil.
1. Pisang, makanan prebiotik yang baik
Pisang merupakan antara buah yang mudah diberikan kepada kanak-kanak.
Pisang yang kurang masak mengandungi lebih banyak resistant starch, iaitu sejenis karbohidrat yang tidak dicerna sepenuhnya di usus kecil.
Pisang boleh diberikan sebagai snek, dipotong kecil atau dicampurkan ke dalam oat dan yogurt mengikut kesesuaian umur serta kebolehan mengunyah anak.
2. Oat

Oat mengandungi beta-glucan dan merupakan sumber serat yang baik.
Ia boleh dijadikan bubur oat dan digabungkan dengan buah-buahan seperti pisang, epal atau beri.
Gabungan ini bukan sahaja menjadikan sarapan lebih menarik, malah membantu memperkenalkan lebih banyak jenis makanan kepada anak.
3. Bawang putih dan bawang merah
Contoh makanan prebiotik yang lain ialah bawang putih dan bawang merah.
Bawang mengandungi fructans, termasuk inulin, yang mempunyai sifat prebiotik.
Walaupun anak mungkin belum gemar makan bawang secara langsung, ibu bapa boleh menggunakannya sebagai bahan dalam masakan keluarga seperti sup, bubur, pasta atau nasi goreng.
4. Kekacang, antara makanan yang kaya dengan prebiotik
Kacang kuda, kacang merah dan lentil merupakan sumber serat serta karbohidrat kompleks.
Untuk kanak-kanak, kekacang boleh dimasukkan ke dalam sup, bubur atau dijadikan sebahagian daripada hidangan utama.
Pastikan teksturnya sesuai dengan umur dan kemahiran makan anak bagi mengurangkan risiko tercekik.
5. Buah-buahan
Selain pisang, pelbagai buah-buahan boleh membantu meningkatkan pengambilan serat kanak-kanak.
Daripada bergantung kepada jus buah, ibu bapa boleh menawarkan buah dalam bentuk asal yang sesuai dengan umur anak.
Cuba pelbagaikan pilihan supaya anak terdedah kepada rasa, warna dan tekstur yang berbeza.
Sebagai contoh, buah epal, avokado, kiwi, delima, beri dan buah bersitrus seperti oren.
Utamakan makanan betul, bukan produk tambahan
Kesihatan usus si kecil tidak semestinya memerlukan makanan tambahan atau produk yang mahal.
Dalam kebanyakan keadaan, asasnya bermula dengan diet yang pelbagai, seimbang dan mengandungi sumber serat yang mencukupi.
Jadi, apabila merancang hidangan anak selepas ini, jangan hanya fikir tentang bagaimana untuk memastikan mereka kenyang.
Fikir juga tentang bagaimana makanan tersebut boleh membantu menyokong sistem pencernaan mereka.