backup og meta

Jagung Dalam Tin Tak Segar Macam Jagung Tongkol? Anda Silap, Ini 3 Manfaat Makan Jagung Tin

Jagung Dalam Tin Tak Segar Macam Jagung Tongkol? Anda Silap, Ini 3 Manfaat Makan Jagung Tin

Anda biasa menggunakan jagung dalam tin untuk tujuan masakan? Anda mungkin tidak begitu perasan bahawa terdapat dua jenis jagung tin iaitu jagung tin kernel dan juga jagung manis ala krim. Apakah perbezaan antara dua jenis jagung ini dan manakah yang lebih baik?

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Perbezaan jagung tin kernel dan juga jagung manis ala krim

jagung dalam tin

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis jagung dalam tin yang dijual di pasaran iaitu jagung tin kernel dan jagung manis ala krim.

Untuk jagung tin kernel, ia merupakan biji jagung utuh (jagung butir) yang ditinkan tanpa sebarang bahan tambahan lain.

Dalam erti kata lain, ia hanyalah biji jagung semata-mata tanpa gula atau garam.

Manakala bagi jagung manis ala krim, ia merupakan biji jagung yang telah dimasak bersama gula, garam dan juga kanji. Disebabkan itu, teksturnya lebih hancur dan berkrim. Rasanya juga lebih manis.

Jagung manis ala krim ini biasa kita gunakan ketika membuat apam balik atau air batu campur.

Jagung tin kernel pula banyak digunakan ketika membuat salad, atau masakan lain.

Jadi, jika anda bertanya manakah produk yang lebih baik, sudah tentulah jagung tin kernel kerana ia tidak mengandungi kandungan gula dan garam tambahan. 

Fakta nutrisi jagung dalam tin

Mari kita lihat kandungan nutrisi yang terdapat pada jagung tin kernel.

Untuk makluman anda, bagi setiap 100 gram jagung tin (sekitar setengah tin), ia mengandungi sebanyak 67 kalori.

Untuk nilai nutrisi lainnya, sila lihat di bawah ini:

Selain itu, jagung tin juga mengandungi beberapa kandungan vitamin yang baik untuk tubuh.

Jagung secara umumnya mengandungi hampir kesemua kandungan vitamin B.

Vitamin B diperlukan dalam penghasilan tenaga selain memastikan jantung, sel tubuh, otot dan otak berfungsi dengan baik.

Bukan itu sahaja, jagung juga mengandungi kandungan antioksidan penting yang membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.

Antioksidan melindungi badan anda daripada molekul oksigen berbahaya yang disebut sebagai radikal bebas.

Pengambilan 100 gram jagung tin juga boleh memberikan anda beberapa kandungan mineral untuk kebaikan tubuh seperti fosforus, kalium, magnesium, mangan dan juga zat besi.

Manfaat makan jagung dalam tin

jagung dalam tin

Jika anda mengambil jagung tin kernel, ia sebenarnya mempunyai nilai nutrisi dan kebaikan yang hampir sama dengan jagung segar.

Antara kebaikan pengambilan jagung ini ialah:

#1. Baik untuk kesihatan mata

Jagung kaya dengan kandungan lutein dan zeaxanthin.

Kedua-dua fitokimia ini terkumpul secara khusus dalam retina dan melindungi mata anda daripada kerosakan cahaya biru dan membantu anda melihat dengan lebih jelas.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2015 melaporkan bahawa, jagung adalah sumber zeaxanthin yang sangat baik berbanding sumber-sumber yang lain.

Memandangkan tubuh badan manusia tidak berkemampuan menghasilkan dua jenis zat ini, maka ia perlu diperoleh daripada sumber makanan seperti jagung.

#2. Membantu mengekalkan berat badan ideal

Percaya atau tidak, pengambilan satu hidangan jagung manis rendah lemak boleh membantu anda untuk menguruskan berat badan.

Kandungan serat yang tinggi dalam jagung membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama.

Oleh itu, ia boleh membantu menahan rasa lapar. Dengan cara ini, ia boleh menghalang anda daripada makan secara berlebihan.

Jika anda boleh mengurangkan jumlah pengambilan kalori harian, maka lebih mudah untuk anda menurunkan berat badan berlebihan.

#3. Menguatkan tulang anda

Kandungan mineral penting yang terdapat dalam jagung membuatkan tulang anda menjadi lebih kuat.

Magnesium adalah salah satu daripada beberapa mineral dalam jagung tin yang boleh memberi manfaat kepada kesihatan tulang.

Tulang anda menyimpan kira-kira 50 hingga 60 peratus magnesium dalam badan.

Magnesium yang terkandung dalam jagung manis boleh membantu meningkatkan kepadatan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis dalam kalangan wanita selepas menopaus.

Kalium dalam jagung manis juga penting untuk meningkatkan kepadatan mineral dalam tulang.

Kekurangan kalium boleh mengurangkan kalsium dalam tulang anda.

Selain itu, kalium juga berperanan penting untuk fungsi buah pinggang dan jantung yang betul, kawalan otot dan transmisi saraf.

Benarkah jagung dalam tin tidak sama seperti jagung segar?

jagung dalam tin

Ramai yang beranggapan bahawa jagung tin tidak segar, berbahaya kepada kesihatan dan juga tidak mengandungi nutrisi seperti jagung segar.

Sebenarnya, nilai nutrisi yang terdapat dalam jagung tin boleh dikatakan agak sama dengan jagung segar.

Malah, jagung tin mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding jagung segar.

Bagi satu tin jagung, ia mempunyai jangka hayat sekitar satu hingga dua tahun jika ia tidak dibuka.

Jadi, dakwaan seperti di atas hanyalah sekadar satu mitos kerana jagung dalam tin selamat untuk dimakan. 

Kesimpulan

Untuk pilihan jagung dalam tin yang lebih sihat, ambillah jagung tin kernel berbanding jagung manis ala krim.

Ini kerana, jagung tin kernel atau jagung butir ini tidak mengandungi gula dan garam tambahan berbanding jagung krim. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Innovating The Kernel. https://corn.org/. Accessed on July 22, 2022.

EWG’s Food Scores. https://www.ewg.org/foodscores/products/?category=Canned+Vegetables+-+Corn. Accessed on July 22, 2022.

Corn, It’s Everything. https://www.iowacorn.org/media-page/corn-facts. Accessed on July 22, 2022.

Corn: A versatile, nutritious choice. https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/speaking-of-health/corn-a-versatile-nutrition-choice. Accessed on July 22, 2022.

O’Hare, T. J., Fanning, K. J., & Martin, I. F. (2015). Zeaxanthin biofortification of sweet-corn and factors affecting zeaxanthin accumulation and colour change. Archives of biochemistry and biophysics, 572, 184–187. https://doi.org/10.1016/j.abb.2015.01.015. Accessed on July 22, 2022.

Versi Terbaru

22/11/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Biar Kadar Gula Dalam Darah Tinggi Tanpa Rawatan? Hati-Hati, Bimbang Jadi Keracunan Diabetes!

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan