backup og meta

Bubble Tea: Bahaya Boba Tersangkut Dalam Usus

Bubble Tea: Bahaya Boba Tersangkut Dalam Usus

Telah menjadi lumrah atau norma masyarakat kita untuk mengikut trend semasa. Daripada gajet, fesyen, makanan atau minuman, sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan. Kini, fenomena air minuman teh boba atau bubble tea sedang hangat menjadi buah mulut orang ramai. Anda boleh menemuinya di mana-mana sahaja sama ada di pasar raya atau pasar malam kerana banyak kedai yang menjualnya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. 

Bukan itu sahaja, ia juga sebenarnya hadir dalam pelbagai variasi. Bagi anda yang bukan penggemar teh susu, anda boleh memesan teh o. Atau jika anda bukan penggemar teh, anda boleh memesan air selain teh seperti kopi, mocha, hazelnut atau jus, bergantung kepada cita rasa anda. Apa yang penting adalah ia mengandungi boba di dalamnya. Pun begitu, pasti anda akan tertanya-tanya, apakah bahan asal boba ini, bukan?

Jawapannya ada dalam artikel ini. Oleh itu, teruskan membaca untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu bubble tea?

Bubble tea adalah air minuman berasaskan teh daripada Taiwan yang dicipta di Tainan dan Taichung pada abad ke-90. Resepinya mengandungi teh, susu atau gula (opsyenal). Paling penting, ia semestinya mengandungi bebola ubi kayu (boba). Ataupun, ia juga boleh digantikan dengan jeli atau puding. Selain itu, ada juga versi teh boba sejuk beku jika anda merupakan penggemar ice-blended.

Terdapat dua kategori teh boba iaitu teh dengan susu (teh susu) atau teh tanpa susu (teh o). Kedua-duanya datang dengan teh pelbagai warna seperti teh hitam, teh hijau atau teh oolong serta didatangkan dengan pelbagai perisa seperti buah-buahan dan lain-lain. Susu di dalam teh juga boleh divariasikan dengan penggunaan susu sejat, susu pekat, susu cair, susu tepung atau susu segar. Di Eropah dan Amerika, teh ini biasa dicampurkan dengan krimer. 

Teh boba popular di Taiwan pada sekitar abad ke-90. Akan tetapi, penciptanya sehingga kini masih lagi misteri. Dikatakan teh boba yang paling tertua terdapat di Taiwan. Ia menggabungkan teh hitam Taiwan, boba, susu sejat, sirap dan madu. Selepas itu, ia mula bervariasi mengikut peredaran masa. Lama-kelamaan, boba yang besar mula digantikan dengan boba yang lebih kecil untuk memudahkan individu memakannya. 

Pada hari ini, ia kian popular di serata dunia. Seiring dengan itu, telah lahir banyak kedai yang khusus membuat dan menjual minuman ini. Kebanyakan kedai akan menggunakan bekas plastik yang telah dipatrikan dengan selofan pada penutupnya. Metode ini akan memudahkan pengguna menggoncang dan meminum teh boba tanpa menumpahkannya. Selain itu, kebanyakan kedai juga akan menyediakan straw yang bersaiz besar bagi membolehkan boba itu memasukinya dan mudah untuk disedut oleh individu.

Namun begitu, mungkin ada dalam kalangan kita yang gusar mengenai boba ini. Antara persoalan yang sering diutarakan mengenainya adalah:

  • Apakah bahan asal boba?
  • Bagaimanakah cara pembuatan boba?
  • Adakah ia selamat untuk ditelan?
  • Adakah ia halal untuk dimakan?

Sedikit sebanyak mengenai boba

Mungkin ada antara anda yang belum tahu, boba sebenarnya sejenis kanji yang diperbuat daripada ubi kayu. Ia adalah bebas daripada gluten dan biasanya dicampurkan dengan gula merah untuk mendapatkan rasa manis, dan ini menerangkan mengapa warnanya yang hitam dan gelap. Teksturnya adalah sangat lembut dan rasanya juga akan menyerap rasa minuman. 

Walaupun terdapat banyak debat dan kekeliruan mengenai asal usulnya, boba dipercayai berasal dari Hanlin Teahouse di Tainan, Taiwan. Pemilik kedai itu, Tu Tsong-he, buat kali pertamanya memasarkan minuman ini dengan boba yang berwarna putih pada tahun 1986. Lama kelamaan, beliau mula menukar boba ini kepada warna hitam seperti yang terdapat pada hari ini. Sekitar tahun 1990, boba sudah mula menjadi kegilaan sepanjang kawasan selatan dan timur Asia. Di utara Amerika pula, ia mula menjadi trend apabila populasi orang Asia mulai bermigrasi ke negara luar.

Persoalan utamanya adalah, adakah ia menyihatkan? Sebenarnya ia bergantung kepada minuman itu sendiri. Sama seperti kebanyakan minuman kopi dan teh, kandungan nutrisinya akan bergantung kepada penyediaannya. Kebanyakan minuman boba adalah kaya dengan gula, karbohidrat dan kalori. Jika anda bimbang akan kandungan gula dalam darah anda, anda seharusnya mengurangkan pengambilannya.

Untuk pengetahuan anda, ubi kayu itu sendiri sebenarnya memang mempunyai nutrisinya yang tersendiri. Namun, disebabkan ia telah dicampur dengan pelbagai air minuman, nutrisinya itu tadi telah terbendung. Ketahuilah anda bahawa 16 auns boba di dalam teh atau apa-apa sahaja minuman lain boleh membawa 50 gram karbohidrat, 40 gram gula dan 240 kalori.

Tambahan itu, menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh University Hospital in Aachen, Germany mendedahkan bahawa boba mungkin mengandungi carcinogen di dalam bentuk polychlorinated biphenyls (PCBs). Walau bagaimanapun, ada yang mempersoalkan keputusan kajian ini berdasarkan kepincangan dalam metadologi kajian ini yang agak meragukan. 

Pendek kata, boba ini adalah bebola ubi kayu yang dicampurkan di dalam minuman seperti teh atau pelbagai lagi minuman lain untuk dijadikan sebagai ‘popcorn’ di dalam minuman itu. Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya selain bebola ubi kayu, terdapat pelbagai lagi jenis boba yang lain?

Jenis-jenis boba di dalam minuman

#1. Bebola ubi kayu

Ini adalah jenis yang paling biasa ditemui di kebanyakan kedai yang menjual bubble tea. Bahan utama pembuatannya adalah ubi kayu yang telah direbus dan dicampur dengan gula merah atau madu untuk mendapatkan rasa manis. Rasanya yang manis dan teksturnya yang lembut menjadikannya sangat seronok untuk dikunyah semasa meminum air sebegini. Jika anda ingin mencuba minuman ini buat pertama kali, pilihan yang klasik ini adalah yang paling disarankan.

#2. Puding

Anda tidak seharusnya membayangkan boba daripada puding yang digunakan sebagai snek. Puding di kedai air minuman boba adalah lebih seperti kastard yang diperbuat daripada kuning telur, krim dan gula. Pun begitu, ia adalah lebih pejal ekoran penambahan gelatin. Ia sangat lembut dan sedap untuk dimakan lebih-lebih lagi jika ia dicampurkan di dalam teh yang ditambah dengan susu atau krimer. Kadangkala, kebanyakan kedai juga akan menawarkan puding yang mempunyai perisa buah-buahan seperti mangga atau taro.

#3. Cincau 

Anda tidak perlu risau kerana rasanya bukanlah seperti rumput kerana ia memang bukan diperbuat daripada rumput. Ia diperbuat daripada mesona, tumbuhan yang berada dalam kumpulan pudina. Cincau biasanya disalutkan dengan gula merah atau herba yang mempunyai rasa yang unik. Ia biasa dipotong di dalam bentuk kiub dan teksturnya adalah lebih pejal berbanding puding.

#4. Lidah buaya

Lidah buaya adalah sangat kaya dengan antioksidan dan sangat bermanfaat untuk kulit anda, mencampurkannya dalam minuman anda pasti merupakan idea yang baik, bukan? Jeli yang jernih dan lutsinar ini sangat sesuai untuk dicampurkan ke dalam minuman kerana ia akan menghasilkan rasa yang sedap dan menyegarkan. Pun begitu, ia lebih sesuai dicampurkan ke dalam minuman yang mempunyai rasa tropikal seperti minuman sitrus terutamanya minuman buah-buahan.

#5. Sagu

Sagu mempunyai rasa yang lebih kurang sama seperti boba. Teksturnya juga adalah kenyal, tetapi lebih lembut daripada bebola ubi kayu. Bahan ini sebenarnya sangat popular di dalam pencuci mulut di Asia dan sangat sesuai dipadankan dengan perisa kelapa, kacang merah dan matcha. 

#6. Bebola taro

Berbeza dengan boba yang mempunyai tekstur yang kenyal ketika dikunyah, bebola taro adalah lebih lembut dan akan cair di dalam mulut. Bahan asalnya adalah buah taro yang telah dicampurkan dengan tepung ubi dan air untuk membentuknya seperti bebola. Di Taiwan, bebola ini selalunya dimakan di dalam mangkuk sebagai pencuci mulut sama ada secara sejuk atau panas. Ia sangat sesuai dicampurkan ke dalam teh susu atau teh oolong.

#7. Bebola kacang merah

Jika anda sangka kacang tidak tergolong dalam kategori pencuci mulut, anda sangat rugi dan terlepas serat di dalam diet anda. Kacang merah atau lebih dikenali sebagai kacang azuki disediakan dengan memanaskannya di dalam gula lalu menyebabkannya menjadi adunan yang lembut dan wangi. Secara tradisionalnya, ia sangat sesuai dengan matcha.

#8. Whipped foam

Krim ini adalah tanda peredaran zaman teh boba. Ia biasanya ditaburkan ke atas minuman yang telah siap disediakan. Ia boleh terdiri daripada krim tiramisu, krim garam laut atau krim keju. Teksturnya adalah seperti buih air dan tidak mempunyai rasa yang kuat. Ketika meminumnya, anda perlu berhati-hati bagi mengelakkan mulut anda daripada menjadi comot.

Bahaya boba tersangkut dalam usus

“Kalau kita sengaja makan atau tertelan boba yang terdapat dalam bubble tea, apakah yang berlaku kepadanya semasa berada dalam perut kita?”.

Persoalan ini pasti akan bermain di fikiran setiap kali kita ingin minum minuman yang mempunyai boba. Sebenarnya boba ini adalah lebih berbahaya kepada golongan kanak-kanak dan individu dewasa kerana ia mungkin boleh mengakibatkan pneumonia. Jadi, ia sememangnya agak berbahaya jika diambil secara berlebihan.

Baru-baru ini di China, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun didapati mempunyai lebih kurang 100 biji boba di dalam saluran penghadamannya. Kejadian ini telah memeranjatkan para doktor dan mula menimbulkan keraguan terhadap bahaya boba tersangkut dalam usus.

Pada awalnya, kanak-kanak perempuan itu mula mengadu sakit perut dan sembelit selama 5 hari berterusan lamanya. Selepas dibawa ke hospital, doktor mula menjalankan rawatan dan diagnosis menggunakan alat pengimbas CT. Alangkah terkejutnya mereka apabila menemui lebih kurang 100 biji boba di dalam saluran penghadamannya, menurut Shaoxing News.

Doktor yang mengendalikan kes kanak-kanak perempuan tersebut iaitu Dr. Zhang, menjelaskan bahawa boba yang tersangkut di dalam ususnya adalah sejenis bebola ubi kayu yang kini tular sebagai minuman trend terbaharu.

Kanak-kanak perempuan itu menegaskan bahawa dia hanya mengambil satu cawan sahaja bubble tea sebelum mengalami sakit perut dan sembelit. Pun begitu, Dr. Chang mempercayai bahawa dia sudah minum lebih daripada satu cawan sehingga boleh menyebabkan gangguan dan halangan yang teruk pada ususnya.

Dr. Rabia de Latour yang merupakan seorang pakar gastroenterologist dan pembantu profesor perubatan di NYU Langone Health berkata, kanak-kanak perempuan itu pasti sangat takut untuk memberitahu perkara sebenar tentang berapa cawan pengambilan teh boba kepada ibu bapanya.

Menurut beliau lagi, ada individu yang tidak mampu untuk memproses boba ini dalam sistem pencernaan mereka dengan betul. Disebabkan oleh ubi kayu adalah sejenis bahan kanji, ia sangat kaya dengan karbohidrat. Kanji adalah serat dalam tubuh badan, jadi individu yang sihat mampu untuk mencernakan bebola ubi kayu ini tanpa sebarang masalah.

Manakala pada tahun 2009, sebuah kajian telah dijalankan terhadap bahan-bahan berasaskan kanji seperti keladi, taro dan keledek adalah sangat mudah untuk dicernakan. Pun begitu, ini semua bergantung kepada itu sendiri. Jadi, anda perlu lebih mengenali tubuh badan anda sendiri dan segera dapatkan bantuan doktor sekiranya berlaku apa-apa masalah.

Bagi menyelesaikan masalah kanak-kanak perempuan terbabit, doktor telah memberikannya julap bagi mengeluarkan boba itu daripada ususnya.

Pun begitu, kejadian ini tidak bermakna bubble tea adalah berbahaya. Ia cuma menunjukkan bahawa tidak semua benda di dunia anda boleh diambil mudah terutamanya berkaitan dengan hal nutrisi.

Mudarat bubble tea terhadap kesihatan

Seperti yang ramai sedia maklum, teh boba mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Bukan itu sahaja, kebanyakan minuman ini mempunyai kandungan gula tambahan seperti sukrosa, fruktosa, galaktosa dan melezitosa. Ini sudah cukup untuk meningkatkan risiko diabetes berlaku pada anda.

Selain itu, ia juga mengandungi kandungan kalori yang sangat tinggi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jae Eun Min, David B. Green dan Loan Kim, teh boba mengandungi kandungan gula sebanyak 38 gram dan kalori sebanyak 299 kcal untuk setiap bahagiannya. Ini adalah sangat berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kegemukan kerana berdasarkan pendapat American Hearts Association, keperluan kalori tidak boleh lebih daripada 150 kcal/hari bagi lelaki dan 100 kcal/hari bagi wanita. 

Sekiranya anda memesan teh  menjadi lebih tinggi lagi yakni sebanyak 250% keperluan gula buat lelaki dan 384% untuk keperluan gula bagi wanita. 

Apabila anda memesan bubble tea dalam ukuran yang besar (946 ml), ditambah dengan topping seperti jeli dan puding, maka kandungan gula akan menjadi semakin tinggi, iaitu sebanyak 250% keperluan gula buat lelaki dan >384% untuk keperluan gula buat wanita.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Dietary Guidelines Advisory Comittee, keperluan gula bagi individu sudah cukup sebanyak 10 peratus dari tenaga secara total. Pun begitu, jika anda minum teh boba dengan tambahan campuran boba, ini akan menambahkan gula kepada lebih daripada 16 peratus dari total tenaga, dan menambahkan kalori sebanyak 500 kcal yang sudah mencapai 25 peratus keperluan kalori secara total.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Caitlin Batt, et al pula, individu yang sering minum minuman manis seperti bubble tea lebih daripada 2 kali sehari, akan lebih tinggi risiko mengalami sakit jantung sebanyak 1,78 kali ganda buat lelaki dan 3,05 kali ganda buat wanita. Ini disebabkan oleh kadar fruktosa dan kalori yang tinggi dalam tubuh badan.

Dalam pada itu, kandungan gula yang tinggi dalam minuman ini akan menyebabkan terjadinya rintangan insulin. Ini seterusnya akan mencetuskan masalah diabetes jenis 2. Minum bubble tea secara berlebihan juga dapat memicu peningkatan deposit lemak, peningkatan kadar trigliserida dan kolesterol yang seterusnya akan menyebabkan masalah obesiti dan sakit jantung.

Konklusi

Konklusinya, bubble tea adalah minuman yang sedap dan mempunyai pelbagai aneka jenis pilihan sesuai dengan cita rasa anda. Lebih-lebih lagi, ia sangat terkenal dengan bebola ubi kayu atau boba yang terdapat di dalamnya. Ia boleh dikunyah seperti popcorn menjadikan minuman ini adalah minuman yang unik dan menarik.

Pun begitu, anda perlu tahu bahawa ia juga datang dengan beberapa bahaya dan mudaratnya. Ia berkemungkinan boleh tersangkut di dalam usus atau sistem pencernaan anda seperti yang terjadi kepada seorang kanak-kanak perempuan di China. Atau lebih membimbangkan, ia boleh meninggikan risiko penyakit seperti diabetes, obesiti dan sakit jantung.

Jadi, fikirkan sejenak sebelum anda membeli dan meminumnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Bubble tea. https://en.wikipedia.org/wiki/Bubble_tea. Accessed on July 11, 2019.

 

What Is Boba? A Must-Read for Tea Lovers. https://www.mydomaine.com/what-is-boba. Accessed on July 11, 2019.

 

Everything You Ever Needed to Know About Boba

. https://www.thrillist.com/eat/nation/what-is-boba-bubble-tea-tapioca-balls. Accessed on July 11, 2019.

 

Over 100 Bubble Tea Balls Got Stuck In A Teen’s Digestive Tract And Made Her Constipated For Nearly A Week. Here’s How That’s Possible. https://www.insider.com/can-you-digest-bubble-tea-boba-balls-2019-6. Accessed on July 11, 2019.

 

Min J. E, Green D. B., Kim L. Calories and sugars in boba milk tea: implications for obesity risk in Asian Pacific Islanders. Food Science & Nutrition. 2017; 5(1): 38-45

 

Murphy R, et  al. Sugar Sweetend Beverage Consumption among Adults with Gout and or Type 2 Diabetes. PLOS One. 2015: 1-10

 

Versi Terbaru

01/07/2020

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Betulkah Biji Chia Berkhasiat? Ini 7 Kebaikan Chia Seed Untuk Kesihatan

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 01/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan