Anda sudah cuba banyak jenis diet turun berat badan namun tidak berjaya atau kurang mendatangkan hasil? Anda sebenarnya mungkin salah pilih jenis diet!
Ya, memang benar bahawa usaha untuk menurunkan berat badan bukanlah sesuatu yang mudah namun tidak bermakna ia adalah sesuatu yang mustahil.
Individu yang mengalami masalah berat badan atau obesiti sebenarnya mampu untuk memiliki berat badan yang ideal asalkan kena pada caranya.
Sebelum cuba apa-apa jenis diet turun berat badan, tanyakan soalan ini pada diri anda sendiri.
Diet turun berat badan ada banyak?
Kenapa perlu bertanya soalan sebelum cuba sebarang jenis diet turun berat badan? Jawapannya adalah kerana terdapat banyak jenis diet seperti ini.
Berikut adalah beberapa jenis diet yang anda boleh cuba dalam usaha untuk turun berat badan:
- Diet seimbang: DASH, Mediterranean, Mayo Clinic ,Weight Watchers
- Diet tinggi protein: Dukan, Paleo
- Diet rendah lemak: Ornish
- Diet rendah karbohidrat: Atkins, South Beach
- Diet rendah kalori: Optifast
- Diet gantian sajian: Jenny Craig, HMR, Medifast, Slimfast, Nutrisystem
Meskipun kesemua diet ini membawa tujuan yang sama yakni turunkan berat badan, namun cara pengamalan dan pengambilan makanannya adalah berbeza.
Disebabkan itu, anda perlu lebih teliti dalam memilih mana satu jenis diet yang ideal, sesuai dan terbaik buat diri agar usaha yang dicuba itu akan berhasil.
Bagaimana pilih diet turun berat badan?
Baiklah, sekarang kita semua sudah tahu bahawa diet sebegini memang ada banyak namun persoalannya, bagaimana untuk pilih yang mana satu sesuai untuk anda?
Ambil masa untuk meneliti, mengkaji dan menilai setiap jenis diet-diet yang wujud dan jangan hanya bersandarkan pada testimoni orang lain sahaja!
Ini kerana ada diet yang mungkin kena dengan orang lain namun tidak kena dengan diri anda. Sila ukur baju di badan sendiri dan tepuk dada, tanya selera.
#1. Mampukah anda amalkan diet ini?
Sudah terang lagi bersuluh, soalan paling utama perlu dijawab adalah sama ada anda mampu atau tidak untuk amalkan diet yang dipilih ini dalam jangka masa yang agak panjang?
Sebagai contoh, anda merupakan seorang penggemar daging haiwan namun ingin cuba diet vegetarian kononnya untuk turunkan berat badan. Ia bukan pilihan yang bijak!
Sebaliknya, cuba cari jenis diet turun berat badan yang masih boleh membenarkan anda untuk makan makanan kegemaran walaupun dalam kuantiti yang sedikit.
#2. Adakah diet itu benar bagus?
Di sini, anda perlu meneliti, mengkaji dan menilai diet itu di samping melihat pada ulasan kajian saintifik yang telah mengesahkan bahawa ia benar bagus.
Jika masih tidak mampu mendapatkan jawapan, sila rujuk kepada para doktor dan pakar diet untuk memperolehi maklumat yang sudah pasti akan membantu.
#3. Adakah diet itu wujud risiko?
Ada jenis diet yang mungkin boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan anda terutamanya jika ia melibatkan pengambilan beberapa jenis suplemen tertentu.
Oleh itu, tanyakan pada diri sendiri sama ada risiko tersebut adalah berbaloi untuk diambil ataupun anda terpaksa memilih jenis diet lain yang lebih selamat.
#4. Berapakah tempoh yang diperlukan?
Setiap individu yang berusaha untuk turun berat badan pasti akan meletakkan matlamat tentang berat badan dan tempoh yang diperlukan bagi usaha itu berjaya.
Mungkin ada diet yang cepat hasilnya dan ada juga yang lambat kesannya, jadi bergantung kepada anda untuk memilih yang mana lebih bagus buat diri anda.
#5. Bagaimanakah tahap kesihatan anda?
Antara soalan yang juga penting, anda perlu tahu tahap kesihatan tubuh badan anda sendiri untuk memastikan diet yang dipilih itu adalah kena dengan diri sendiri.
Sebagai contoh, anda menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Maka diet jenis DASH adalah bagus untuk anda kerana ia membantu anda mengehadkan pengambilan garam.
Kunci penting untuk turun berat badan!
Setelah soalan berkaitan diet ini dijawab, maka barulah anda boleh memilih diet turun berat badan mana yang terbaik buat diri sendiri dan mulakan ia segera.
Pun begitu, sekadar mengamalkan diet ini mungkin tidak mencukupi lebih-lebih lagi jika anda hanya seorang yang gemar bersifat hangat-hangat tahi ayam.
Oleh itu, terus mengamalkan diet tersebut dengan jayanya meskipun terdapat banyak halangan dan rintangan yang boleh menyebabkan anda terkandas daripada landasan.
Kunci paling penting selain diet-diet ini pula adalah senaman. Di samping menjaga pemakanan, aspek kesihatan dan kecergasan anda jangan pula dilupakan ya!
[embed-health-tool-bmi]