brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Bukan Thanos Tapi Thonon! Diet Jenis Ini Mampu Buat Anda Lebih Cepat Kurus?

Apabila berat badan sudah meningkat dengan mendadak, maka baru individu akan kelam-kabut mencari menu diet rendah kalori seminggu, kurang atau lebih. Tenang, ini kerana ada satu jenis diet yang ideal buat anda iaitu diet Thonon! Tidak pernah tahu tentangnya?

Bukan Thanos Tapi Thonon! Diet Jenis Ini Mampu Buat Anda Lebih Cepat Kurus?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

Thonon, antara jenis diet rendah kalori?

Seakan nama antagonis dalam filem Avengers dari Marvel, diet dengan nama Thonon ini pertama kali diamal di Hospital Thonon-les-Bains di Perancis namun tidak diiktiraf.

Tetapi sejak kebelakangan ini, sudah makin ramai orang ternama dari barat yang mula memberi perhatian dan mengamal diet ini sebagai usaha untuk mengawal berat badan.

Dipercayai bahawa ia mampu menurunkan 5 kilogram dalam masa 2 minggu! Adakah ia benar?

Sebagai permulaan, diet ini akan mengutamakan pengambilan protein berbanding nutrien lain selama 14 hari sebagai cara untuk menurunkan berat badan dengan lebih cepat.

Pada ketika itu juga, anda akan dinasihatkan untuk hanya mengehadkan pengambilan tidak kurang 600 dan tidak lebih 800 kalori per hari. Jadi, ia memang diet rendah kalori.

Begini cara betul amal diet Thonon!

Seperti mana yang telah kami kata di atas tadi, diet ini memerlukan anda untuk mengutamakan pengambilan protein dan mengehadkan pengambilan kalori dalam usaha untuk jadi lebih kurus.

Turut sama dengan pola dan cara makan untuk kurus yang lain, diet Thonon ini juga ada contoh menu diet rendah kalori seminggu seperti berikut pada 14 hari yang pertama:

Sarapan

Mengambil minuman berkafein seperti kopi atau teh tanpa pemanis tambahan seperti susu atau gula. Kadangkala, anda juga boleh menambah sepotong roti gandum bersaiz kecil.

Makan tengah hari

Mengambil lauk-pauk yang tinggi protein contohnya daging ayam, ikan atau telur rebus bersama dengan sayur-sayuran atau buah-buahan, sesuai dengan cita rasa masing-masing.

Makan malam

Mengambil lauk-pauk yang tinggi protein contohnya daging lembu atau kambing (200 g) bersama dengan sayur-sayuran atau buah-buahan, sesuai dengan cita rasa masing-masing.

Seterusnya, peralihan ke fasa pengekalan…

Dalam erti kata lebih mudah, anda perlu untuk mengamalkan menu yang tinggi protein dan kurang kalori pada 3 waktu makan utama yakni pada waktu pagi, tengah hari dan malam.

Selepas 14 hari mengamalkan menu diet seperti di atas tadi, maka anda akan beralih pula ke fasa ‘pengekalan’ untuk mencegah berat badan anda daripada naik seperti sedia kala.

Contoh menu diet sesuai di dalam fasa ini pula adalah hampir sahaja dengan yang sebelum ini cuma ia mungkin akan sedikit longgar dan anda boleh mula tambah menu ringan lain.

Jadi, 14 hari pertama adalah waktu yang amat penting. Sila tahan selera untuk berat badan ideal!

Adakah ia sihat, selamat dan berkesan?

Jika hendak dibandingkan dengan diet rendah kalori yang lain, Thonon adalah pola dan cara makan yang sangat mudah kerana tiada syarat ketat melainkan anda cuma perlu mengutamakan pengambilan protein dan mengehadkan pengambilan kalori per hari.

Mungkin pada dasar, diet ini adalah sihat selamat dan berkesan namun tidak kurang ramai juga pihak atau pakar yang tidak sokong kerana masih kurang penelitian tentang diet ini.

Dalam pada itu, menu diet rendah kalori seminggu yang menjadi contoh di atas tadi itu juga agak membosankan lantas membuatkan anda mudah putus asa pada permulaan diet itu.

Tidak lupa juga, diet ini mungkin tidak begitu sesuai jadi amalan sesetengah golongan termasuk:

  • Bayi
  • Kanak-kanak
  • Warga emas
  • Wanita hamil
  • Individu yang ada isu kesihatan

Aneka diet lain yang mungkin lebih bagus!

Sebelum anda memutuskan untuk memulakan diet Thonon, adalah sangat penting untuk anda berjumpa dan berbincang tentang perkara ini dengan doktor terlebih dahulu ya.

Dengan konsultasi itu, anda mungkin akan diperkenalkan dengan pelbagai lagi variasi diet lain:

  1. Diet suku-suku separuh
  2. Diet intermittent fasting
  3. Diet eat clean

Selain 3 jenis diet yang sangat popular ini, wujud juga cara atau pola makan untuk menurunkan berat badan lain seperti diet mediterranean, militari, keto, mayo, paleo dan macam-macam lagi.

Apa yang paling penting, anda tidak boleh terus cuba tanpa pandangan serta saranan daripada doktor atau pakar diet terlebih dahulu. Ia penting untuk elak komplikasi yang tidak diingini.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 3 hari lalu